Sekelip mata yatim piatu, ibu ayah maut kemalangan, bayi 6 bulan selamat dalam car seat
SIAPA sangka perjalanan sepasang suami isteri bersama bayi mereka, Nur Laylaa Batrysha, enam bulan berakhir tragis apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan.
Dalam kemalangan di Kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, kereta Perodua Myvi yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri, meragut nyawa kedua-dua ibu dan ayah, Nur Fatihah Othman, 28, dan, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24.
Namun, di sebalik kententuan takdir itu, berlaku keajaiban kecil yang meruntun jiwa. Nur Laylaa yang diletakkan dalam tempat duduk bayi di bahagian belakang kenderaan terselamat.

Sementara itu, abang mangsa, Norsaiful Othman, 36, berkata Nur Laylaa stabil dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
"Pada awalnya anak mereka dirawat di Hospital Kota Tinggi kemudian dirujuk ke HSI untuk rawatan lanjut. Keadaannya baik-baik sahaja dan stabil.
"Cuma ketika di hospital, dia menangis mungkin kerana terkejut dengan apa berlaku.

"Laylaa adalah anak bongsu dan anak tunggal adik dan suami. Adik sangat gembira dikurniakan cahaya matanya itu selepas berkahwin pada tahun 2023," katanya.
Kongsinya lagi, perjalanan keluarga kecil itu adalah untuk menjemput ibu mereka yang kurang sihat.
Sementara itu, seorang rakan Allahyarham Nur Fatihah berkongsi kelainan pada si kecil seminggu sebelum kejadian, seolah-olah tahu akan terjadi perpisahan abadi.
"Mummy dia WhatsApp minggu lepas, mengadu anaknya tak mahu tidur siang. Rupanya baby hendak main-main lebih masa dengan mummy dia," kongsinya.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Waha.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kemalangan berlaku apabila Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan lori sawit tanpa muatan. Serpihan turut terkena Toyota Vios.
“Pemandu dan penumpang hadapan Myvi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi perempuan di bahagian belakang cedera,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

