'Awak pergi tinggalkan amanah...' Isteri hamil kongsi luahan sayu suami lemas terjatuh jambatan Pulau Pinang, anak ketiga tidak sempat kenal bapa
DUA hari hilang dan dikhuatiri lemas, jasad Elmi Nur Zamani Aizat Abdul Azim, 25, akhirnya ditemukan selepas operasi pencarian besar-besaran dijalankan pihak berkuasa. Kehilangan ini meninggalkan luka mendalam buat isterinya yang sarat hamil, Nurul Natasha Amyra Ishak,19.
Menerusi perkongsian di laman sosial TikTok, Nurul Natasha berkongsi luahan menyayat hati mengenang pemergian suami tersayang.
"Pemergianmu sangat menyayat hati sayang. Tunggu saya dekat sana. Doa saya selalu mengiringi awak, cinta. Awak sudah tidak sakit dekat dunia.
"ALLAH tahu apa yang awak buat. Awak lelaki terbaik. Pergi awak tinggalkan amanah awak sayang, al-Fatihah," titipnya.

Dalam perkongsian berasingan, Nurul Natasha Amyra berkata dia reda dengan ketentuan-NYA dengan apa yang berlaku dan percaya suaminya tidak berniat buruk.
"Itu ketentuan ALLAH. Sebelum nak pergi pun baba cakap ALLAH ada. Percaya sayang. Mama tahu bukan dengan niat awak buat benda macam ni.
"Apa orang nak cakap, mama terima dengan hinaan orang. Orang tak tahu apa yang baba lalui hari-hari. Orang tak akan tahu kecuali Tuhan.
"Mama sayang baba. Mama janji dengan baba... tak akan mungkiri awak, sayang," jelasnya.
Menurut Sinar Harian, lelaki itu ditemukan terapung berhampiran jeti pelayaran di Pengkalan Weld di sini pada jam 9.35 pagi Isnin dengan jarak kira-kira 8 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Berikut kronologi kehilangan Allahyarham Elmi Nur Zamani:
1-Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.56 petang Ahad daripada orang awam selepas melihat lelaki itu terjatuh di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang arah pulau ke tanah besar.
2-Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai pada jam 7.06 malam dan turut mendapat bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bagan Jermal dan BBP Butterworth.
3-Operasi mencari diteruskan secara bersepadu bersama Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
4-Pada Selasa, operasi SAR disambung semula pada jam 8.30 pagi dengan kekuatan dua bot penyelamat JBPM, dua bot Polis Marin dan dua bot APM.
5-Akhirnya penemuan mayat lelaki berkenaan dilaporkan kira-kira 9.35 pagi oleh Polis Marin sebelum anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke lokasi penemuan untuk menaikkan mayat ke atas bot.
6-Kata John Sagun, mayat lelaki terbabit dibawa ke Jeti Jabatan Laut Batu Uban sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
7-Katanya, mayat dibawa untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi.
Sumber: Sinar Harian, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

