Adik lemas timbul selepas doa ibu, kronologi meruntun hati. 'Kakak sayang Zariff, tunggu kat sana sayang'
'KAKAK sayang Zariff… tunggu kakak di sana, sayang.'
Itulah luahan penuh pilu seorang kakak selepas satu-satunya adik lelaki ditemui tidak bernyawa, dua hari lalu selepas dilaporkan lemas.
Menerusi laman sosial TikTok, kakak kepada Allahyarham Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman memuat naik video kenangan memaparkan kenangan mereka bersama.
Kisah kehilangan ini bukan sekadar satu tragedi biasa, tetapi rentetan peristiwa yang menyayat jiwa daripada detik cemas pencarian sehinggalah kepada pertemuan terakhir yang penuh tangisan sebak.

"Sedekahkan al-Fatihah kepada adik kesayangan saya. Satu-satunya adik lelaki saya, Nik Zariff Maliqi Qausar Bin Nik Sulaiman.
"Dia seorang budak yang baik dan sangat manja dengan saya. Abang dan kakak sayang sangat kat Zariff. Tunggu kakak kat sana ye sayang," titipnya menerusi akaun TikTok @adorbezdoriz.
Doa si ibu, Yusliza Jusoh, 45, yang tidak putus-putus akhirnya termakbul apabila jasad kecil itu timbul selepas lebih 24 jam hilang, namun dalam keadaan yang meruntun hati seluruh keluarga.

"Baliklah sayang, lihatlah air mata ibu yang bercucuran di dalam sungai ini, ibu rayu timbullah sayang.
"Ya ALLAH inilah rayuanku, KAU dengarlah permintaanku ini," demikian rayuan terakhir Yusliza sebelum mayat anaknya ditemui pasukan penyelamat pada 8.25 pagi Isnin.
Berikut tragedi menyayat jiwa bermula dari detik cemas pencarian sehinggalah kepada pertemuan terakhir penuh tangisan sebak ibu dan ayah.

1-Nik Zariff Maliqi terdahulu mandi bersama empat rakannya di Sungai Kampung Delong, Dungun pada Sabtu.
2-Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Delong itu tiba-tiba dibawa arus deras sungai berkenaan sebelum disedari oleh rakan-rakannya. Memetik Berita RTM, ketiga-tiga rakan sempat berenang menyelamatkan diri manakala Nik Zarif gagal keluar selepas dihanyutkan arus deras.
3-Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Shamsudin memaklumkan, seramai 15 anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
4-Operasi pencarian dijalankan sehingga malam dengan bantuan anggota polis serta penduduk kampung.

5-Seramai tujuh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut melakukan selaman kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
6-Selain itu, pencarian di sepanjang pesisir sungai turut digerakkan dengan menggunakan dua buah bot.
7-Arus kuat menyukarkan usaha pencarian kanak-kanak itu. Bomba berharap jasad mangsa tidak dihanyutkan sehingga ke luar muara.
8-Lapor portal berita tempatan, ibu mangsa, Yusliza duduk di tebing sungai tidak putus-putus menangis sambil berdoa supaya Nik Zariff ditemukan segera. Ibu itu juga sudah reda jika si anak sudah tiada cuma berharap jasad dapat ditemukan.

9-Difahamkan, Yusliza dan suaminya, Nik Sulaiman Nik Ismail, 48, tidak menyangka Nik Zariff ke sungai memandangkan suami isteri itu sememangnya melarang keras anak ketiga mereka ke sungai.
10-Pada hari ketiga, kanak-kanak itu ditemui ditemui pada pukul 8.25 pagi. Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mayat Nik Zariff Maliqi dpada kedudukan kira-kira 700 meter dari lokasinya dilaporkan lemas.
11-Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut.
12-Yusliza biarpun sedih menyatakan rasa pasrah dan reda apabila doanya agar anak ditemukan termakbul.
13-Ketika pengecaman mayat, ibu berkenaan mengakui wajah anak sangat bersih seolah sedang tidur.
Difahamkan, jenazah Allahyarham yang berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Serdang, Dungun.
Sumber: Berita RTM, Kosmo, Bernama, Tiktok, TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

