Bapa sebak laung azan, jasad Azri Fahmi akhinya ditemui 900 meter dari tempat terjatuh. 'Along nak periksa, ibu menunggu...'
USAHA bapa, Zaiful Afindi Hashim, 43, melaungkan azan untuk mengesan jasad anaknya, Azri Fahmi berhasil apabila mayat remaja itu selamat ditemukan di kira-kira 900 meter dari tempat terjatuh.
Menurut Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin atau Ustaz Zakuan, mayat remaja itu ditemukan pada jam 7.45 pagi.
"6 Januari 2024. Alhamdulillah, jasad almarhum Adik Azri Fahmi telah ditemui pada jam 7.45 pagi ini oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira 900 meter daripada tempat dia terjatuh.
"Sekalung penghargaan dan Terima kasih buat semua yang terlibat di dalam Operasi Mencari dan Menyelamat ini khasnya pihak PDRM, Bomba, Pejabat Daerah Jerantut, PPD Jerantut, MDJ, Jabatan Amal Malaysia Jerantut dan Kuala Krau, penduduk kampung dan orang ramai yang bermunajat dan berdoa sepanjang tempoh operası ini dijalankan.
"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya. Semoga dikurniakan kesabaran, ketabahan serta pahala yang berlipat ganda buat kedua ibu bapa serta ahli keluarganya di atas ujian yang besar ini," kongsi Ustaz Zakuan.
Terdahulu, remaja itu lemas selepas terjatuh dari rumah rakit ke dalam Sungai Pahang di Jalan Kampung Pedah dekat Kampung Jerantut Feri, Jerantut, Pahang berakhir apabila jasad anaknya
Hiba dan pilu. Penulis gagal menahan air mata menyaksikan video seorang bapanya yang sayu saat melaungkan azan di sekitar kawasan kehilangan anaknya.
Dibawa menaiki bot, Zaiful yang lengkap memakai jaket keselamatan sempat berkata-kata seolah-olah memujuk anak keduanya 'pulang.'
"Tolonglah Angah (panggilan untuk Azri Fahmi), kasihan Along nak periksa (Sijil Pelajaran Malaysia).
"Ayah merayu kepada Angah. Ibu menunggu, Wan datang. Abang janji nak jumpa Wan kan?
"Nanti ayah hantar Angah pergi. Baliklah Angah," tutur.
TERGELINCIR SEBELUM DIBAWA ARUS
Difahamkan, Azri Fahmi bersama dua rakannya dilaporkan sedang memancing di rumah rakit terbabit tergelincir ke dalam Sungai Pahang dan hilang dibawa arus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.17 petang.
"Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dengan menggunakan bot orang kampung pada jarak 1.5 kilometer.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) telah mengaktifkan pasukan PPDA (Pasukan Penyelamat Di Air) BBP Bukit Angin ke lokasi selain anggota polis dari Balai Polis Jerantut hadir ke lokasi," katanya.
Pada hari kedua, khidmat dua anjing pengesan, Grouse dan Lady turut digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki itu.
Menerusi sebuah video yang tular meberusi TikTok @buah.manggis07, lelaki mendakwa Azri terpijak lantai diperbuat daripada zink sebelum terjatuh ke dalam sungai. Rakannya telah cuba menyelamatkan namun tidak pandai berenang.
ATLET & AKTIF SUKAN
Kejadian menimpa Azri Fahmi benar-benar memberi kesan kepada keluarga. Menurut bapa, Zaiful Afindi, anaknya sudah sebulan tidak keluar bermain takraw berdekatan rumahnya.
Azri merupakan seorang remaja yang aktif sukan. Malah beliau juga atlet yang pernah mewakili negeri dalam permainan ragbi ketika di sekolah rendah dan merupakan atlet sekolahnya, Sekolah Menengah Temin, Jerantut bagi sukan ragbi serta bola sepak.
Mengenai kejadian anaknya terjatuh ke sungai ketika memancing, menurutnya, dia dimaklumkan bahawa anaknya itu ke tempat kejadian untuk meninjau kawasan itu dan cuba naik ke rumah rakit yang berada di tepi sungai Pahang dan dikatakan tergelincir sebelum jatuh ke dalam sungai.
"Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 5.40 petang selepas terima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
"Saya terus balik dari tempat kerja di bandar Jerantut untuk mengambil isteri saya dan terus ke Jerantut Feri (lokasi kejadian)," katanya.
Malah bapa itu juga terkenang sosok Azri yang periang dan menjadi penghibur dalam keluarganya.
Pada masa sama, Zaiful berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan moral dan motivasi serta semua agensi Kerajaan yang bertungkus lumus melakukan operasi pencarian.
Sementara itu, nenek mangsa, Tuan Hashimah Sulaiman, 62, bergegas ke Jerantut dari Rantau Panjang, Kelantan dengan menaiki tren dan tiba pada 5.00 pagi apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas solat Asar, petang semalam.
"Azri memang manja dengan saya semasa saya tinggal di sini (Jerantut) sebelum balik ke Kelantan kira-kira dua tahun lalu.
"Dia seorang yang periang dan tidak memberi masalah, malah mendengar cakap. Saya reda dengan ketentuan Illahi moga segera ditemukan jasadnya," katanya.
Sumber: harian Metro, TikTok, Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang