'Bijak, lembut & tak pernah marah student...' Pensyarah meninggal dunia dalam kolam renang didakwa hamil, pelajar pilu kehilangan
PEMERGIAN pensyarah muda, Nurhazwani Abd Halim ketika mandi bersama suaminya di kolam sebuah hotel di Kemaman cukup menyayat hati.
Nurhazwani yang merupakan tenaga pengajar Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama suaminya sekitar jam 5.30 petang Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, Allahyarham bersama suaminya mendaftar masuk ke resort berkenaan kira-kira jam 4 petang sebelum keluar mandi di kolam renang setengah jam kemudian.
Difahamkan, selepas hampir sejam berada di dalam kolam, lelaki berkenaan menyedari isterinya tenggelam dan tidak sedarkan diri.
Menurut Wan Muhamad, Nurhazwani segera dibawa naik dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Beliau berkata, proses bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Kemaman sekitar jam 10.30 pagi Ahad bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, bapa Allahyarham, Datuk Abd. Halim Jusoh berkata, ketika kejadian, beliau dan isteri sedang melayani cucu di kolam kanak-kanak bersebelahan kolam dewasa yang menjadi lokasi arwah mandi.
Kejadian berlaku terlalu pantas dan hanya beberapa saat anaknya tiba-tiba tenggelam di dalam air.
"Ketika mandi, anak saya dan menantu berada berdekatan, tetapi kejadian berlaku tidak sampai seminit selepas menantu berpaling ke arah lain, arwah terus tenggelam.
"Menantu segera menyelamatkan anak saya dan membawanya ke tepi kolam sebelum melakukan bantuan pernafasan (CPR) bersama kakitangan resort," katanya ketika ditemui pemberita Sinar Harian.

Abdul Halim yang juga Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Kemaman oleh pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia.
"Sejak awal lagi suami dan kakitangan resort sedaya upaya cuba menyelamatkan nyawanya sebelum disusuli pegawai perubatan. Saya berada di sisi anak, memegang erat tangannya sehingga dia disahkan meninggal dunia.
"Mereka sudah berusaha sedaya mungkin, namun ALLAH lebih menyayanginya. Saya reda dengan ketentuan ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini pada Ahad.
Abdul Halim yang kini menetap di Bangi, Selangor, berkata, meskipun anaknya tinggal berjauhan, Allahyarham seorang anak yang sangat mengambil berat dan sering merancang aktiviti keluarga.
"Sebelum ke resort tersebut, kami sempat mengadakan hari keluarga di daerah ini untuk meluangkan masa bersama keluarga besar kami.
"Wani (Nurhazwani) yang selalu merancang setiap aktiviti keluarga kerana dia sangat sistematik dan perancangannya selalunya menjadi," ujarnya.
Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 3.30 petang sebelum jenazah dibawa ke Bangi, Selangor kira-kira jam 4 petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang.
Madam Hazwani tak lemas, sedang hamil - Pelajar

Menerusi satu komen di laman sosial TikTok Sinar Harian, pengguna akaun Pika Pikaa menyatakan Nurhazwani yang dipanggil Madam Hazwani bukan lemas sebaliknya pengsan dan pensyarah muda itu sedang hamil.
Lebih memilukan, dakwanya pemergian pensyarah itu terjadi dua hari sebelum tarikh ulang tahun perkahwinan arwa.
"Husband wife lecturer UiTM Jengka. Madam Hazwani tak lemas, tapi pengsan dan dah pregnant.
"Ramai orang datang pengebumian madam dan anniversary Sir Arifi and Madam Hazwani esok, 14/10/25," coretnya.
Dalam pada itu, pelajar itu turut mengenang keperibadian dan sifat mulia Allahyarham sebagai pendidik yang cukup memberikan inspirasi kepada anak didiknya.
"Madam Hazwani seorang yang bijaksana, lemah lembut dan tidak pernah memarahi pelajar.
"Cara penyampaiannya mudah difahami menjadikan sesi pembelajaran sangat menyenangkan.
"Beliau seorang yang berpendidikan, cantik, awet muda, sering mengenakan tudung bawal dan cermin mata.
"Tidak pernah sekali pun mengeluarkan kata-kata kesat dalam kelas, malah sangat baik hati dan sentiasa melayani pelajar dengan penuh kebaikan dan kesabaran.
"Semoga Sir Arifi dan anaknya sentiasa diberikan kekuatan. Al-Fatihah," kongsinya.
SinarPlus cuba menghubungi Pika namun setakat ini bagaimanapun tidak berjaya.
Sumber: Sinar Harian 1, 2. Tiktok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
