Dakwa susah, sebatang kara & kelaparan, lelaki OKU tular rupanya dibantu majlis agama sejak 2016

No Image Caption
A
A
A

 

BARU-baru ini kisah seorang lelaki kudung berjalan menggunakan tongkat dalam hujan demi membeli makanan menyentuh hati warganet.

Menerusi video dikongsikan TikTok @Storie.my, lelaki dikenali sebagai Jefree, dilihat berjalan menggunakan tongkat di tepi jalan raya sebelum disapa oleh pemilik akaun tersebut yang berhenti untuk menawarkan bantuan.

Dalam perkembangan terbaharu, video yang tular di laman media sosial itu mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, berdasarkan rekod, individu tersebut, Jefree Regan, 49, telah menerima bantuan bulanan secara tetap daripada MAIPk sejak tahun 2016.

Menurutnya, lelaki itu juga sering menerima bantuan kecemasan secukupnya setiap kali hadir ke pejabat hampir setiap minggu.

"Menurut rekod MAIPk, Jefree Regan merupakan salah seorang daripada 13,000 asnaf yang sedang menerima bantuan kewangan secara tetap bulanan daripada MAIPk sejak 2016.

"Beliau juga termasuk penerima sumbangan tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2025 yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kisah sebenar di sebalik kehidupan beliau tidak wajar kami dedahkan bagi menjaga maruah dan amanah harta zakat antara muzakki (pembayar zakat) dan asnaf (penerima zakat)," katanya dalam satu kenyataan.

Jangan sebar maklumat tidak sahih

Syamsul Hazeman berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan secara berterusan dan bersasar kepada golongan asnaf yang layak dan memerlukan.

Menurutnya, MAIPk mengucapkan penghargaan kepada individu dan orang awam yang sentiasa cakna terhadap golongan asnaf di Perak.

"MAIPk sentiasa menekankan prinsip keadilan dalam pengagihan zakat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan golongan asnaf dan OKU terus terbela.

"MAIPk juga menyarankan agar masyarakat mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga nama baik semua pihak," katanya.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok mengenai kisah hidup Jefree yang mendapat perhatian warganet termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk aktivis masyarakat Ebit Lew dan Adrian Edy.

Lelaki itu juga mendakwa hidup tidak menentu, malah makan minum juga tidak terjaga. Ada masa beliau terpaksa berlapar berhari-hari selain ditipu ketika berniaga.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang