‘Ayah, lama tak nampak…pergi mana? Nak air…’ Pertanyaan penuh kasih si kecil ini bikin netizen sebak
TINGKAH laku si kecil yang teruja melihat kedatangan seorang lelaki ini di sebuah kedai makan di tepi jalan membuatkan netizen sebak.
Mana tidaknya, seorang demi seorang meminta individu yang mesra dipanggil ayah itu membelikan mereka air dan makanan, barangkali kehausan atau kelaparan.
Seorang lagi kanak-kanak perempuan sambil menguis jeli bertanyakan ke mana ayah pergi kerana sudah lama tak nampak katanya.
Tak kurang juga ada yang duduk sendirian di meja apabila ditanya sudah makan ke belum? Budak lelaki itu hanya menggelengkan kepala.

Tanpa membuang masa, lelaki tersebut mengajaknya makan sekali bersama-sama memandangkan dirinya pun masih perut kosong.
Perkongsian video berdurasi satu minit lapan saat itu dikongsikan aktivis yang dikenali dengan nama Abbe Hae yang menyantuni anak-anak jalanan seperti zuriat sendiri.

Kapsyen ringkas yang dikongsikan: ‘Mereka seronok bila nampak kelibat ayah kat sini. #Abbehae #JejakJalanan #JagaHakAllah...’
Artikel penuh: https://sinarplus.sinarharian.com.my/lifestyle/kisah-masyarakat/anugerah-terindah-20-tahun-sahaja-pinjaman-paling-cantik-anak-tunggal-pergi-dalam-tidur-hari-jumaat-rintihan-ibu-runtun-hati
Mungkin sudah biasa bertemu, mereka tak kekok untuk bermanja dengan Abbe Hae yang rajin melayani permintaan si kecil.

Rata-rata netizen yang mengikuti perkongsian video menerusi platform TikTok itu juga tumpang simpati dengan nasib yang ditanggung anak-anak kecil berkenaan.
“Ya ALLAH sedihnya tengok anak-anak ini, semoga kamu menjadi anak-anak yang berguna di masa akan datang. Terima kasih Abbe Hae, semoga ALLAH je yang dapat membalas kebaikan Abbe Hae.” - Aidaida

“Rata-rata budak-budak ni semua tak merasa jauh dengan panggilan Abehae sebagai ayah...rindunya budak-budak kepada ayahnya bila soalan yang ditanyakan "lama tak nampak ayah? Ayah pergi mana? Ayah nak air." Soalan dengan penuh kasih sayang...Ambo doakan Abehae diberikan kekuatan dan kesihatan badan untuk berjuang..aminnnn...” - Are-lih Merlin King
“Bila kasih sayang itu dicurahkan dengan ikhlas pasti melekat di hati, jelas terlihat bagi mereka Abbe sangat special bukan hanya gelaran ‘ayah’, tapi bagi mereka Abbelah tempat mereka menumpang kasih dan bergantung harap, semoga Abbe terus sihat...” - NiK77

“Berkumpullah nanti anak-anak ini kelak bersama ayahanda mereka Abe Hae di syurga kelak...moga ALLAH kurniakan kehidupan yang terbaik di masa depan anak-anak ini..Insya-ALLAH aamiin..” - NEKMA
“Sebak mendengar suara-suara dan soalan anak-anak ini. Moga Abe sihat, murah rezeki & kekalkan momentum ini..” - mohdfaieznk

Jika ditinjau satu persatu video yang dikongsikan, Abbe Hae atau nama sebenarnya Aznan Adnan banyak mengetengahkan kisah gelandangan dan anak-anak jalanan.
Tidak lokek berkongsi rezeki, pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu aktif menghulurkan bantuan tak kira golongan asnaf dan fakir miskin sekitar ibu kota, bahkan sanggup terbang ke Sabah.

Memetik Sinar Harian, tujuan beliau ikhlas mendekati anak-anak asnaf dan fakir supaya mereka bersemangat untuk bersekolah dan tidak mewarisi kemiskinan hidup ibu bapa mereka.
Rela berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi melihat anak-anak Melayu maju, malah bapa kepada 11 cahaya mata itu terus mendidik mereka untuk berkelakuan baik.
Moga usaha murni anak jati Kelantan itu diteruskan dan menjadi contoh kepada anak muda lain untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

