Dompet didakwa hilang ditemui sebelum Zara disiasat. 'Senior jumpa 15 Julai, cuma belum serah kepada pemilik'

Gambar dompet sekadar hiasan
Gambar dompet sekadar hiasan
A
A
A

INKUES kematian Zara Qairina Mahathir menyaksikan Ketua Warden, Azhari Abd Sagap memaklumkan kepada peguam, dompet hilang yang didakwa dicuri arwah sebenarnya sudah dijumpai pada petang 15 Julai lalu.

Menjelaskan dompet berkenaan ditemui di blok akademik sekolah oleh seorang pelajar senior, namun kata Azhari ia belum diserahkan kepada pemiliknya pada malam hari yang sama arwah Zara 'disiasat' atas tuduhan mencuri.

Berkata demikian ketika ditanya peguam yang mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, guru Bahasa Arab itu juga mendakwa hanya dompet yang dijumpai, manakala duit dan barangan lain dalam dompet itu tidak ditemukan.

Shahlan bertanya sama ada tiada mana-mana barangan yang didakwa hilang itu ditemui semula, termasuk dompet, kad pengenalan (IC) dan kad bank. Berikut adalah prosiding yang berlangsung petang tadi antara Azhari dan peguam berkenaan yang dipetik dari Berita Harian:

Peguam Shahlan Jufri
Peguam Shahlan Jufri

Shahlan: Tuduhan curi adalah kecurian duit?

Azhari: Duit, IC dan kad bank, itu yang saya ingat.

Shahlan: Berapa tuduhan curi hari itu yang cikgu tahu terhadap Zara?

Artikel Berkaitan:

Azhari: Ini sahaja pada 15 Julai itu.

Shahlan: Tidak ada dompet, IC atau duit dijumpai?

Azhari: Dompet. Kita tahu ada mengadu dengan ketua bilik, tapi dompetnya sebenarnya sudah dijumpai.

Shahlan: Di mana?

Azhari: Di blok akademik, bangunan sekolah, cuma belum diserah kepada dia pada waktu malam itu, yang pasal pengadu kepada ketua bilik.

Shahlan: Siapa jumpa dompet itu?

Azhari: Pelajar (senior) pada petang 15 Julai, cuma belum diserah kepada pemiliknya pada malam itu.

Shahlan: Maksudnya apa yang Zara buat, iaitu dengan bersumpah wallahi dia tidak curi dompet itu, betullah?

Azhari: Berdasarkan pengakuannya, iya. Cuma dompet itu, maksudnya duit tidak ada.

Shahlan: Tiada benda lain dijumpai di loker atau beg Zara oleh ahli dorm (bilik asrama)?

Azhari: Yang saya tahu itu sahaja.

Azhari turut mengiyakan bahawa tiada duit dan IC ditemui dalam almari di bilik asrama arwah Zara Qairina.

No Image Caption

Dalam pada itu itu, Azhari juga mengakui tiada laporan kepada warden mengenai kes kecurian yang dikaitkan dengan arwah Zara Qairina.

Apabila ditanya Shahlan sama ada boleh atau tidak ketua bilik dan pelajar senior mengambil tindakan sendiri terhadap arwah Zara Qairina, Ketua Warden itu juga mengakui kes seperti itu sepatutnya dilaporkan kepada warden untuk disiasat.

Sekadar info, Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth  dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada hari sama.

Arwah dimasukkan ke hospital pada 16 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.

Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayat remaja itu digali semula bagi tujuan bedah siasat sebelum mengumumkan inkues pada 13 Ogos lalu.

Sumber: Berita Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang