Inkues Zara Qairina: Ketua Warden dedah 3 diari, buku latihan & 15 catatan tulisan tangan ditemui dalam lokar, rak buku
SAKSI kelapan inkues kematian Zara Qairina, Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31, memberitahu tentang penemuan tiga diari, beberapa buku latihan dan 15 helaian catatan tulisan tangan dipercayai milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir, sebelum diserahkan kepada polis kepada Mahkamah Koroner.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Azhari berkata penemuan pertama berlaku pada 16 Julai kira-kira jam 11.15 pagi apabila seorang guru, Gloria, memaklumkan kepadanya mengenai dua diari berwarna hijau dan ungu yang ditemui di dalam lokar Zara Qairina.
“Ketika itu saya berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE). Saya arahkan dua diari itu disimpan sementara oleh Cikgu Yuslina,” katanya pada Rabu.

Penemuan kedua, katanya, berlaku pada 17 Julai kira-kira jam 3.30 petang apabila ibu Zara Qairina memaklumkan mahu mengambil barang peribadi anaknya di asrama.
Lelaki itu kemudian meminta seorang lagi guru, Miswati, membantu mengemas barangan mangsa dan meletakkannya di bilik isolasi tingkat bawah bangunan asrama.
“Cikgu Miswati kemudian memaklumkan dia menemui sebuah diari berwarna coklat dan sebuah buku latihan dalam lokar Zara.
"Saya arahkan supaya diserahkan juga kepada Cikgu Yuslina,” katanya.
Menurut Azhari, pada pagi 18 Julai, Yuslina menyerahkan ketiga-tiga diari serta buku latihan itu kepadanya sebelum beliau menyerahkan kesemua bahan tersebut kepada pegawai penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung pada jam 5 petang hari sama.
Beliau menambah, pada 19 Julai kira-kira jam 8 pagi, Miswati turut menemui 15 helaian catatan tulisan tangan dalam rak buku kelas Zara Qairina.
Catatan itu diserahkan kepada Yuslina sebelum disampaikan kepadanya dan diserahkan kepada Inspektor Wong pada jam 3 petang hari berkenaan.

Menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Mohd Fairuz, saksi berkenaan turut mengesahkan, menyerahkan dua lagi buku latihan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains milik Zara kepada pihak polis selepas diminta.
Sekadar info, Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di HQE dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada hari sama.
Arwah dimasukkan ke hospital pada 16 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayat remaja itu digali semula bagi tujuan bedah siasat sebelum mengumumkan inkues pada 13 Ogos lalu.
Sumber: Sinar Harian, Bernama, Awani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
