Gadis cari bapa kandung untuk walikan nikah, ditinggal ketika umur 40 hari. 'Tidak pernah kenal, terakhir balik 2008'

PERANANwali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah.
Oleh sebab pentingnya wali, seorang gadis dari Kampung Pulau Serai, Dungun, Terengganu cuba menjejaki bapa kandung yang terpisah sejak bayi.
"Saya ditinggalkan ketika berusia 40 hari, ketika ibu masih dalam pantang," demikian luah Nur Amylia Zulaikha Mohd Faiza, 19.
Beliau yang bekerja sebagai pembantu kedai mencari Mohd Faiza Mat Yaman, 42, untuk menjadi walinya pada majlis pernikahan dijadual berlangsung pada September depan.
Wanita yang tidak pernah mengenali sosok bapanya sempat berkongsi lelaki itu kali terakhir pulang ke rumah pada tahun 2008.
Katanya lagi, kedua ibu bapanya berkahwin pada Disember 2002 dan ketika itu mereka tinggal di Jalan Ustaz Omar Shukri sebelum berpisah secara rasmi pada Jun 2010.
"Saya membesar tanpa mengenali wajah ayah dan hanya tahu nama serta sedikit maklumat mengenainya," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, pelbagai usaha telah Nor Amylia termasuk bertanya kepada rakan-rakan bapanya dan menjejak ke lokasi yang dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Mohd Faiza di sekitar Serdang dan Kuala Lumpur.
Namun usaha berkenaan sehingga kini masih belum menemukan lelaki itu.
"Usaha saya mencari ayah sudah bermula sejak beberapa bulan lalu tetapi belum berhasil.
"Saya sangat berharap dia dapat dikesan kerana saya inginkan dia menjadi wali nikah saya," katanya.
Kepada rang ramai yang mengenali Mohd Faiza, yang dipercayai berasal dari Jalan Baru, Pak Sabah, Dungun itu bolehlah sama-sama membantu mempermudahkan urusan gadis ini.
Anda boleh menghubungi Amylia Zulaikha di talian 010-5960228 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki itu.
Tak semua boleh jadi wali

Tidak semua bapa atau waris lelaki boleh menjadi wali. Berikut adalah syarat-syarat sah wali iaitu:
- Islam
- Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun)
- Berakal - Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
- Lelaki
- Adil
- Merdeka
Manakala bagi orang buta atau bisu, diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita, selagi ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan memenuhi syarat sah menjadi wali.
Artikel berkaitan:
- Anak pelik urusan nikah jadi rumit, bongkar rahsia ibu ayah bersekedudukan hingga 7 zuriat
- Kahwin 34 tahun tak sah kena nikah semula, jangan main-main bab wali
Susunan wali mengikut tertib:

1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan)
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja atau sultan
Sekiranya wali pertama tidak ada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika yang kedua tidak ada hendaklah diambil ketiga dan begitulah seterusnya mengikut tertib.
Bagaimanapun, permohonan perkahwinan menggunakan wali hakim adalah dibolehkan atas beberapa sebab seperti berikut:
1. Tiada wali yang sah daripada nasab
2. Wali ghaib
3. Anak tidak sah taraf
4. Wali enggan
5. Wali dalam ihram atau umrah
6. Wali tidak cukup syarat
Sumber: Sinar Harian, Pejabat Mufti Wilayah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang