Zara Qairina tiada bedah siasat: Pegawai penyiasat langgar SOP akan dikenakan tindakan, inkues kini diarahkan AGC
TRAGEDI yang meragut nyawa si kecil Zara Qairina Mahathir kini menimbulkan lebih banyak persoalan selepas pendedahan bahawa tiada permohonan bedah siasat dibuat oleh pegawai penyiasat.
Kegagalan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ini dianggap serius oleh Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), yang memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya akan diambil.
Pengarah JSJ, Datuk M Kumar berkata, pasukan task Force bermula pada 11 Ogos lalu dan hasil penemuan awal mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan kes Zara Qairina yang mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah undang-undang.
Katanya pada sidang Akhbar di Bukit Aman pada Rabu, SOP jelas mewajibkan bedah siasat dilakukan sekiranya punca kematian tidak diketahui atau wujud elemen mencurigakan.

“Siasatan pasukan petugas khas mendapati pegawai penyiasat tidak membuat permohonan itu walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian di bawah undang-undang.
"Ketidakpatuhan di sini ialah pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat pada peringkat awal, sedangkan itu adalah asas siasatan sekiranya kematian menimbulkan keraguan," katanya.
Menurut beliau, kegagalan pegawai penyiasat dan penyelianya melaksanakan tanggungjawab tidak akan dibiarkan. Tindakan tegas akan diambil setelah siasatan yang kini sedang dijalankan selesai.

Dalam pada itu, M Kumar menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangka permohonan inkues berhubung kematian remaja itu akan dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan melalui saluran undang-undang yang ditetapkan sebelum dibawa ke mahkamah.
"Kami sedang melengkapkan semua dokumen dan maklumat berkaitan bagi memastikan permohonan itu lengkap sebelum diserahkan kepada pihak terbabit.
"Jika semua berjalan lancar, permohonan itu dijangka dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan," katanya.
Menurutnya lagi, PDRM tetap teguh dalam komitmennya. Setiap langkah siasatan akan dipastikan mematuhi prosedur yang ditetapkan, dan kerjasama penuh akan diberikan kepada pihak mahkamah agar keadilan buat Zara Qairina tidak tergantung di awangan.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan penemuan tragis Zara Qairina, dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar, Sabah.

Kejadian yang berlaku pada pagi 16 Julai itu berakhir dengan pilu apabila remaja itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital, keesokan harinya.
Terdahulu Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu pada Rabu, inkues berkenaan bertujuan menentukan punca serta sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

