Kelibat hilang, ZRA rupanya pulang senyap-senyap. 'Kami tahu dia tak suka disambut atau dijulang. Itu bukan dirinya' - Rakan
SUKARELAWAN Global Sumud Flotilla (GSF) dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad dicari-cari warganet menerusi siaran langsung di media sosial.
Menerusi laporan Sinar Harian, figura berusia 58 tahun itu rupanya berjaya meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekitar tengah malam Selasa selepas langkah pergerakan dirancang rapi oleh rakan-rakannya bagi mengelak perhatian orang ramai serta pihak media.
Memetik perkongsian sahabatnya, Syahril A Kadir, Zainal Rashid atau lebih mesra disapa ZRA tiba di kediamannya kira-kira jam 12.30 pagi dalam keadaan letih namun masih mengekalkan gaya 'rugged' yang menjadi identitinya.
"Ini ajalah yang ada," kata ZRA kepada rakan-rakannya sambil menunjuk ke arah satu-satunya beg pakaian yang dibawa, dipercayai berisi barangan peribadi dan ubat-ubatan.

Kongsi Syahril, ZRA tenang namun enggan dilayan seperti seorang wira.
"Kami tahu dia tak suka disambut-sambut atau dijulang. Itu bukan dirinya," ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, ZRA bersama 26 sukarelawan lain tiba di tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 pada malam Selasa dari Turkiye.
Khamis lalu, 23 aktivis GSF telah ditahan tentera zi0ni5 selepas kapal dinaiki mereka dipintas ketika memasuki perairan G4z4.
Antara aktivis terlibat ialah PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab. Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif.
Tambah Syahril, ZRA ketika ditanya oleh seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Nua sama ada ingin dibelikan makanan, namun pemilik laman sosial ZRA Strim itu menolak dan berkata akan makan di rumah sahaja.
"Bagi mereka yang mengenalinya lama, tindakan itu tidak mengejutkan. Lelaki itu sememangnya terkenal sebagai sosok wartawan berprinsip teguh, tidak suka publisiti dan tidak menggemari penghormatan yang melampau," katanya.

Jelasnya, ketika KLIA dipenuhi orang ramai dan suasana semakin sesak, usaha membawa keluar ZRA menjadi satu tugasan yang mencabar dan memerlukan gerak kerja taktikal. Ramai yang sedang mencari aktivis berkenaan ketika itu.
Namun, berkat perancangan rapi rakan-rakan seperjuangan termasuk Syirfan, misi itu berjalan lancar tanpa menarik perhatian orang ramai.
"Dia bukan mahu lari, tapi dia mahu ruang. ZRA tidak mahu dirinya dijadikan tontonan atau bahan politik. Itu prinsipnya," katanya.
ZRA menurut Syahril dikenali sebagai seorang yang berjiwa keras, berpegang pada prinsip, dan tidak mudah tunduk kepada sebarang tekanan.
"ZRA tidak suka cakap kosong. Apa yang dia tulis, itulah yang dia buat. Kalau orang lain hanya berdegar-degar di media sosial, dia pula turun padang dan bertindak," katanya.
Tambah Syahril, tidak semua orang mampu memahami sikap tegas dan pendirian lantang ZRA, namun itulah keunikannya sebagai wartawan dan aktivis.
"Kita boleh setuju atau tidak setuju dengan cara dia, tapi kita tidak boleh nafikan keberaniannya. Itu cara dia, jalan dia dan pilihan dia. Suka atau tidak, itulah Abang Nal yang kami kenal," kongsinya.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

