Kematian Zara Qairina tiada kaitan VIP. Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi tidak tukar sekolah

No Image Caption
A
A
A

“KAMI dengan ini menyatakan bahawa anak guam kami, ibu kepada Zara, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.

“Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami."

Demi kenyataan yang dikeluarkan peguam ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45,  menegaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian anak tunggalnya dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau orang kenamaan.

Memetik Sinar Harian, kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, sebarang andaian atau dakwaan yang mengaitkan kematian tersebut dengan pihak tertentu adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam mereka.

No Image Caption

Jelasnya, Noraidah tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat jeritan 'kau pembunuh' oleh pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.

“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial.

“Anak guam kami juga tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha pada hari kematian Zara.

Artikel Berkaitan:

“Maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ia tular di media sosial,” kata mereka lagi.

Dalam masa yang sama, pasukan peguam berkenaan meminta orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara, anak guam mereka atau mana-mana individu lain.

“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.

“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” katanya.

Wana, Dedeng dan Tomboi tidak tukar sekolah - Pengarah JPN Sabah

No Image Caption

Sementara itu, tiga pelajar yang merupakan antara 60 individu yang telah diambil keterangan oleh pihak polis berhubung siasatan kes kematian remaja itu disahkan masih bersekolah di sekolah yang sama dan tidak dipindahkan ke institusi lain.

Tidak seperti digembar-gemburkan, ketiga-tiga pelajar terbabit juga bukan anak kepada individu kenamaan seperti yang didakwa dan ditularkan oleh warga maya di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin memaklumkan bahawa tiada seorang pun daripada pelajar berkenaan diberhentikan daripada sekolah dan status mereka sebagai pelajar kekal seperti biasa.

"Semua pelajar itu masih bersekolah, tiada yang berhenti sekolah.

"Juga tiada kaitan dengan orang kenamaan (VIP) dan pihak polis," katanya kepada Sinar Harian.

Raisin turut menegaskan bahawa pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan akan menunggu hasil siasatan rasmi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, tiga nama yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu yang terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, telah didedahkan di media sosial.

Nama-nama tersebut dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’, yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warga maya.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang