'Alhamdulillah, langkah telah dimulakan.' Keluarga Zara Qairina lantik dua peguam
KES kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir terus menjadi perhatian warganet.
Dalam perkembangan terkini, keluarga Allahyarham sudah melantik dua peguam bagi mewakili pihak mereka dalam semua urusan berkaitan kes berkenaan.
Perkara itu dikongsikan pendakwah terkenal, Ustazah Marhamah Rosli menerusi Facebook.
"Hari ke-16 pemergian Zara Qairina. Pengumuman rasmi – Pasukan Undang-undang keluarga Zara Qairina.
"Beberapa hari ini, saya dihujani terlalu banyak pertanyaan sama ada melalui WhatsApp, Messenger, panggilan telefon dan DM. Siapa sebenarnya peguam keluarga Zara?"
"Siapa yang bantu urus kes ini? Bagaimana langkah seterusnya? Bukan sahaja daripada orang awam, sahabat-sahabat NGO, malah rakan-rakan wartawan juga tidak putus-putus menghubungi sejak beberapa hari lalu.
"Saya mohon maaf kerana tidak mampu membalas satu persatu. Telefon saya terlalu penuh dengan mesej dan notifikasi yang masuk hampir setiap jam. Jadi hari ini, saya buat pengumuman terbuka, agar semuanya jelas dan tidak timbul lagi sebarang kekeliruan.

"Dengan penuh tanggungjawab dan rasa hormat, saya ingin memaklumkan bahawa keluarga Allahyarham Zara Qairina telah melantik dua orang peguam sah dari Kota Kinabalu untuk mewakili mereka dalam semua urusan berkaitan kes ini.
"Peguam yang dilantik ialah Encik AlanShahlan Jufri dan Encik Hamid Ismail.
"Pelantikan ini telah dibuat secara rasmi oleh pihak keluarga dan segala urusan selepas ini akan dikendalikan dengan nasihat serta pemantauan daripada pasukan guaman ini.
"Sekiranya ada sahabat peguam yang ingin berikan idea atau cadangan, dialu-alukan untuk terus hubungi pasukan peguam yang telah dilantik dan tidak berhubung dengan waris atau saya," titipnya.

Dalam pada itu, beliau mewakili keluarga Allahyarham menyatakan penghargaan buat rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan memohon doa agar kes berkenaan berjalan lancar.
Dalam hantaran sama, Ustazah Marhamah berharap kejujuran dan ketelusan menjadi tonggak dalam menegakkan keadilan dalam kes berkenaan.
"Alhamdulillah, langkah telah dimulakan. Mohon doakan agar semuanya berjalan dengan tenang dan teratur. Semoga semua pihak yang terlibat dapat menjaga integriti, bukan sahaja kepada sistem keadilan tetapi lebih penting lagi kepada ALLAH.
"Dan cukuplah ALLAH sebagai saksi antara kami dan kamu, bahawa sesungguhnya kami telah menyampaikan amanah kepada kamu." (Surah Yunus, 10:29)

"Kes ini bukan sekadar isu undang-undang. Ia amanah, nyawa dan maruah. ALLAH sedang memperhatikan setiap langkah kita.
"Kita semua akan kembali kepada-NYA. Dan setiap urusan yang kita jalankan, sama ada sebagai wakil, wartawan, saksi, penyiasat, pengurus, mahupun orang awam, semuanya akan disoal kelak.
"Lakukanlah apa yang benar bukan kerana sorotan media atau tekanan awam tetapi kerana ALLAH sedang melihat.
"Semoga semua ujian yang ALLAH izin terjadi ini menjadi asbab turunnya rahmat dan kebaikan kepada semua yang terlibat. Terima kasih atas doa dan keprihatinan yang tidak putus-putus. Bismillah," kongsinya.
Terdahulu, Zara disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dalam keadaan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Papar, Sabah.
Menerusi tinjauan SinarPlus, tanda pagar #JusticeForZara telah 90,000 kali penggunaan di lama sosial Facebook menggambarkan ia terus tular.
Warganet di pelbagai platform media sosial lain menyatakan solidariti menuntut kebenaran buat arwah, yang kisah pemergiannya cukup menyayat hati.
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

