Perayaan tertunda, takdir tentukan pemergian Sarjan Perumal dalam nahas FRU. 'Saya tak sangka dia sudah tiada...'

No Image Caption
A
A
A

SUASANA sugul menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Teluk Intan hari ini dengan kehadiran ahli keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis pagi tadi.

Tidak terkecuali ahli keluarga Sarjan Perumal Sugunanathan yang turut meratapi pemergian mendiang yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.

Kehilangan Perumal yang secara mendadak nyata meruntun jiwa, lebih-lebih lagi buat isteri dan anak-anak kecilnya yang masih belum memahami erti sebuah kehilangan.

Adik kepada mendiang, Ahrentheren Sugunanathan, memaklumkan bahawa abangnya sebenarnya telah merancang untuk membawa keluarga tercinta meraikan perayaan Chitra Pournami pada Isnin lalu. Namun, takdir menentukan sebaliknya.

Hajat murni itu terpaksa ditangguhkan apabila mengenangkan keadaan dua anak perempuannya yang masih kecil, sekali gus tidak sesuai untuk berada dalam suasana sesak dan dipenuhi orang ramai.

Apatah lagi, anak perempuan sulung mereka yang berusia tujuh tahun merupakan kanak-kanak autistik dan memerlukan perhatian khusus, sekali gus menjadi cabaran besar untuk membawa dalam kerumunan orang.

Dengan alasan itu, Perumal yang berusia 44 tahun akhirnya memutuskan untuk menyertai rakan-rakannya bagi menjalankan tugasan kawalan keselamatan sempena perayaan yang pada asalnya ingin dihadiri bersama keluarga kecilnya.

Siapa sangka, keputusan untuk menyertai kawalan keselamatan pada Isnin lalu menjadi permulaan dan momen terakhir Perumal bersama keluarga sebelum pergi buat selama-lamanya dalam insiden penuh pilu yang meruntun hati.

Artikel Berkaitan:

"Dia merancang untuk datang ke sini untuk berdoa bersama semua ahli keluarganya, tetapi rancangan itu bertukar apabila isterinya menolak cadangan itu.

"Isterinya merasakan sukar untuk menguruskan anak-anak, terutama anak mereka yang autistik, dalam keramaian sebegitu. Jadi dia memutuskan untuk menyertai rakan-rakannya dalam trak FRU," luahnya.

Sementara itu, adiknya yang dikenali sebagai Ahrentheren tidak menyangka tragedi itu bakal menimpa darah dagingnya kerana menganggap abangnya hanya mengalami kecederaan.

Mengimbau kembali pertemuan terakhir mereka pada Sabtu lalu, Ahrentheren tidak melihat sebarang kelainan pada sikap mendiang.

Malah, abangnya kelihatan sihat dan ceria seperti biasa.

"Kali terakhir saya jumpa dia pada Sabtu lalu, dan dia kelihatan sihat, apabila mengetahui mengenai kejadian itu saya hanya sangka dia cedera parah.

"Saya tak sangka dia sudah tiada," katanya.

Ahrentheren berkongsi bahawa abangnya telah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi anggota polis, sebuah impian yang akhirnya tercapai.

Kehilangan itu semakin dirasai apabila mendiang 'pergi' setelah bertugas dalam Op Chariot di Teluk Intan, menjadikannya satu penghormatan terakhir buatnya.

Terdahulu, SinarPlus melaporkan bahawa seramai sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas tragis yang melibatkan lori muatan batu kerikil.

Kesemua jasad mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk menjalani bedah siasat yang dimulakan pada jam 2.30 petang dan dijangka selesai pada 8 malam.

Sebaik sahaja proses bedah siasat selesai, jenazah dilaporkan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk solat jenazah, sebelum diteruskan ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi memberi penghormatan terakhir.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang