Tragedi Zara Qairina: Pasukan khas JSJ Bukit Aman ambil alih siasatan, istana tekankan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih
SUDAH hampir sebulan berlalu sejak kes Zara Qairina Mahathir, gadis dari Sipitang yang dipercayai maut akibat terjatuh dari tingkat tiga asrama perempuan di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Namun isu tersebut masih menjadi perbualan orang ramai dengan desakan dan gerakan solidariti menuntut keadilan ekoran terdapat kejanggalan dalam kes tersebut yang dikaitkan dengan buli.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian remaja itu.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata memaklumkan penghantaran pasukan task force terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
"PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.

"Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru siasatan dilaksanakan dengan penuh ketelusan serta ketelitian meliputi setiap aspek, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Musa mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarham.
Tegasnya, menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, ia adalah suatu perintah ALLAH untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.
Dalam pada itu, Istana Seri Kinabalu juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.

"Orang ramai terutamanya pengguna media sosial tidak wajar membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.
"Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan, malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka," katanya dalam kenyataan.
Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara, menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarham Zara akan diadakan pada Khamis (14 Ogos 2025) selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

