Kronologi insiden tragis ibu hamil 7 bulan ditemb@k, tiga tahun diburu suspek dicekup. 'Keluar untuk berurut, ditemui perut dipenuhi d@rah'
TIGA tahun berlalu, insiden berdarah di Repek, Pasir Mas ini kembali tular apabila media melaporkan suspeknya berjaya dicekup.
Memetik Sinar Harian, Aimay atau nama sebenarnya Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 7 malam, Rabu.

Luluh hati jika mengimbas kembali kisah mangsa. Ibu kepada tiga cahaya mata, Farrah Emirah Mazlan dikatakan keluar untuk berurut ditemui dalam keadaan tragis pernah meruntun hati rakyat Malaysia pada tahun 2022.
Tidak hanya maut dalam keadaan hamil, wanita itu juga meninggalkan tiga cahaya yang masih kecil berusia tiga hingga 10 tahun!
Malah, lebih menyedihkan ibu muda itu baharu sahaja membuat pemeriksaan kandungan dan gembira memaklumkan yang dia sedang mengandung bayi lelaki.
Mengenang kembali kisah memilukan menimpa Farrah Emirah yang merupakan seorang usahawan, SinarPlus kongsikan kronologi kejadian:
1-Pada 4 petang, 4 Jun 2022, mayat wanita itu ditemui maut dengan kesan tembakan pada perut di dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang diparkir di tepi jalan berhampiran Kampung Repek.
2-Menurut Datuk Muhamad Zaki Harun yang merupakan Pemangku Ketua Polis Kelantan ketika itu, hasil keterangan saksi awam, kenderaan berkenaan disedari berada di tepi jalan itu sejak petang 3 Jun 2022.

3-Mayat ditemui di tempat duduk pemandu dengan terdapat kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri dan terdapat satu kelongsong peluru pada bahagian kaki penumpang belakang sebelah pemandu.
4-Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat manakala siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
5-Katanya, susulan penemuan mayat itu, polis menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai buruh kampung pada jam 11.25 malam, bagi membantu siasatan.
6-Menurut nenek Allahyarham Farrah Emirah iaitu Zawiyah Sulong, cucunya itu berpisah dengan suami pada Februari 2022 dan ketiga-tiga anak mereka dijaga oleh Farrah Emirah.

7-Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Farrah Emirah pada Jumaat malam, sebelum cucunya itu keluar dari rumah untuk berurut.
8-Katanya, arwah sempat meminta kain batik sarung selain tertinggal kunci kereta sebelum berpatah balik ke dalam rumah untuk mengambilnya.
9-Zawiyah berkata, dia mula bimbang keadaan Farrah Emirah apabila cucunya itu tidak pulang selepas jam 10.30 malam dan telah cuba menelefon beberapa kali namun wanita itu gagal dihubungi.

10-Keesokannya, warga emas itu membawa ketiga-tiga anak Farrah Emirah menaiki kereta b menuju ke beberapa lokasi di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang mencari Allahyarham tetapi gagal.
11-Kira-kira jam 4.30 petang ada penduduk datang ke rumah di Bukit Lata, Rantau Panjang memberitahu arwah yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta.
12-Dia terus bergegas ke lokasi dan luluh hatinya apabila melihat Farrah Emirah sudah tiada dan bahagian perut dipenuhi darah.

13-Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bechah Kelubi selepasselesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Pasir Mas.
SUSPEK TIDAK MENGAKU SALAH
Terima kasih kepada PDRM yang terus menyiasat kes ini sehingga suspek dijejaki. Keluarga berharap pesalah akan menerima hukuman setimpal.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed suspek iaitu Aimay tidak mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
Menurut beliau, siasatan lanjut akan diteruskan oleh polis selepas tempoh reman diperolehi.
Ujar Kama Azural, dalam serbuan itu PGA turut menahan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun.
Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek tidak menjumpai barang yang menyalahi peraturan. Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methampitamine.
Malah, semakan mendapati suspek yang ditangkap bersama Aimay itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Sumber: Awani, Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

