Lelaki iktikaf di surau dihalau, anak dedah bapanya hanya tunggu waktu dhuha. 'Tiada adab, ihsan & rasa hormat'
BARU-BARU ini tular video seorang lelaki warga emas dihalau dari sebuah surau oleh seorang wanita yang dipercayai pihak pengurusan.
Video berdurasi satu minit 36 saat yang melibatkan seorang lelaki tua yang sedang beriktikaf selepas solat Subuh mengundang kemarahan netizen.
Kejadian dipercayai berlaku di Bandar Rimbayu, Selangor itu dirakam memperlihatkan lelaki berkenaan dipaksa beredar susulan beberapa isu termasuk kes kecurian dan bayaran bil penyelenggaraan yang didakwa ditanggung oleh penduduk.

Menurut perkongsian pengguna Facebook yang juga anak lelaki berkenaan dikenali sebagai, Azhar Hilmi, ayahnya setiap pagi akan ke surau untuk solat, membaca al-Quran dan akan selepas selepas waktu Dhuha.
"Hari ini tular satu video, seorang pakcik sedang duduk beriktikaf dalam surau di Halaman 11, itu abah saya.
"Seawal pagi, abah ke surau untuk solat Subuh. Lepas solat, macam biasa… abah akan duduk sekejap, baca al-Quran sambil tunggu waktu dhuha. Sudah selesai solat sunat Dhuha, baru dia akan gerak balik.
"Tetapi pagi itu, datang seorang wanita dipercayai dari pengurusan dan terus halau abah keluar dari surau.
"Lebih menyakitkan, dia siap rakam video abah secara terbuka, seolah-olah abah buat salah besar. Tak ada adab. Tak ada ihsan. Tak ada rasa hormat," tulisnya.

Azhar dalam masa yang sama turut mempersoalkan tindakan wanita terbabit yang menularkan video berkenaan sementelah bapanya tiada membuat kesalahan.
"Rasa geram dan sakit hati bila tengok video tu. Saya tulis ini bukan sebab nak viralkan siapa-siapa tetapi nak tanya satu benda. Sejak bila surau jadi tempat eksklusif yang orang tua pun boleh kena halau?
"Abah saya bukan tidur dalam surau, buat bising atau ganggu sesiapa. Dia cuma duduk diam, baca al-Quran, tunggu waktu Dhuha lepas tu nak balik.
"Tapi inilah yang berlaku. Kalau beginilah layanan kita terhadap orang tua yang datang ke rumah ALLAH, apa yang tinggal pada kita sebagai masyarakat?
"Kita jaga surau, ya. Tapi jangan sampai kita jaga bangunan, tapi lupa jaga adab.
"Kita boleh halau orang dari surau. Tapi kita tak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit. Geramnya lahai. ALLAH!" titipnya.
'TINDAKAN MENGHALAU DIBANTAH SEKERAS-KERASYA'- AJK
Sementara itu, pentadbir dan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berkenaan dalam kenyataan rasmi memaklumkan tindakan tersebut bukan hasil dari persetujuan mereka.
Malah perbuatan menghalau warga emas itu dikecam.
"Assalamualaikum ahli kariah Bandar Rimbayu sekalian. Berikutan video yang tular berkaitan kes menghalau individu dari menggunakan fasiliti Musolla Halaman 11, kami barisan AJK menegaskan tindakan tersebut bukan hasil dari persetujuan kami.
"AJK Musolla amat mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja bagi mengimarahkan musolla.

"Tindakan menghalau berkenaan amat kami kesali dam kami bantah sekeras - kerasnya," kongsinya.
Pihak berkenaan juga telah menyatakan prinsip mereka untuk tidak mengunci rumah ibadat itu dan menyatakan dananya adalah sumbangan orang awam.
Pun begitu, aspek keselamatan tetap diutamakan dan setiap individu perlu melepasi palang keselamatan di pintu masuk perumahan tersebut.
"Untuk makluman, pihak AJK telah pun berjumpa dengan pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB), bagi menyelesaikan keadaan. Pendirian kami jelas, musolla boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar.
"Tindakan untuk kunci musolla sama sekali tidak akan berlaku.
"Selain itu, bil api dan bil air adalah atas tanggungan musolla sendiri hasil dari infak orang awam.

"Status musolla sebagai harta bersama penduduk itu adalah benar. Namun untuk tujuan ibadat, AJK tetap buka kepada semua.
"Seperti sedia maklum, bagi memasuki kawasan Halaman 11 perlu melepasi palang untuk jemaah luar kawasan Halaman 11. Ada prosedur keselamatan yang perlu dibuat sebelum masuk.
"Akhir kata, ayuh sebarkan kebaikan dan sama-sama menjaga keharmonian. Jika ada sebarang persoalan boleh terus berhubung dengan AJK," katanya dalam kenyataan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
