'Bukan soal agama, ini tentang kemanusiaan...'Jemaah surau beli lampin dan susu, bantu ibu anak satu sehelai sepinggang cari tempat berteduh

No Image Caption
A
A
A

KEIKHLASAN dan keprihatinan jemaah Surau Madrasatul Huda, Lorong Nyior Setali menarik perhatian ramai apabila semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan yang mereka tunjukkan baru-baru ini dalam membantu orang dalam kesusahan.

Tular di media sosial, kisah seorang wanita berbangsa India yang ditemui dalam keadaan sehelai sepinggang di belakang rumah Setiausaha Surau Madrasatul Huda, Lorong Nyior Setali.

Menurut Shamsul Anuar Aziz, wanita dalam lingkungan usia 20-an itu jelas dalam ketakutan kerana mungkin bimbang akan dihalau.

Menurutnya, wanita yang enggan didedahkan nama tersebut dipercayai sedang mencari tempat berteduh selepas kehilangan tempat tinggal susulan suaminya dipenjara.

Wanita tersebut juga katanya mengambil keputusan meninggalkan rumah rakannya akibat tekanan kewangan yang semakin meruncing.

Melihat ketabahan seorang ibu mengendong bayi yang masih kecil, Shamsul bersama jemaah surau yang lain tampil menghulurkan bantuan dan menyediakan perlindungan sementara di surau.

Malah, mereka turut membeli susu dan lampin pakai buang bagi keperluan si kecil itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, jemaah surau turut membantu menghubungi abang kepada wanita berkenaan yang dikatakan menetap di Pulau Pinang, selain turut membelikan dua tiket tren elektrik (ETS) agar wanita itu dan bayinya dapat bertemu keluarga di sana.

Shamsul berkongsi, dia hanya mengikut kata hati untuk memastikan ibu dan anak itu dalam keadaan selamat tanpa memikirkan soal perbezaan bangsa atau agama.

"Saya hanya mahu memastikan dia dan bayinya selamat. Ini bukan soal bangsa atau agama, tetapi soal kemanusiaan," katanya.

Perkongsian yang meraih lebih 11,000 tanda suka itu turut mengundang reaksi warga maya.

Ruangan komen dibanjiri ucapan terima kasih dan rasa syukur melihat masih ada insan berhati mulia dalam dunia serba mencabar ini.

Surau bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, tetapi juga menjadi ruang berlindung yang selamat buat sesiapa sahaja yang sedang ditimpa ujian atau dalam musafir.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang