'Mereka anak saya, bukan binatang' – Ibu pilu anak kembar tidur di kaki lima rumah ayah, didakwa hukuman kerana bermain api
HATI siapa tidak luluh mengetahui dan melihat anak sendiri terpaksa tidur di luar rumah!
Menerusi sebuah hantaran penuh emosi di Facebook, seorang ibu tunggal, Wana Talia mendakwa anak-anaknya bukan sekadar dipaksa tidur di kaki lima flat perumahan dengan hanya beralaskan tilam nipis tanpa bantal.
Tidak hanya itu, kedua-duanya dipercayai pernah diberi makan dalam keadaan mata ditutup dan perlu menghabiskan semua lauk dalam pinggan hanya kerana enggan makan sayur.
“Anak saya kot, bukan binatang buas. Mereka baru darjah dua. Jahat macam mana pun, mereka tetap ada hati dan perasaan,” kongsi si ibu.
Keputusan untuk memberikan hak penjagaan anak kembar itu tidak mudah. Menurut Wana ia dibuat ketika berpisah beberapa tahun lalu.
Dia merasakan anak-anak akan lebih selesa tinggal bersama bapa mereka yang berkemampuan dan telah pun berumah tangga semula, memandangkan kehidupannya yang serba kekurangan tanpa pekerjaan tetap dan rumah sendiri.
“Masa tu saya fikir semua baik-baik saja. Ingatkan anak-anak bahagia dalam pelukan babah mereka, ada mak tiri yang jaga makan pakai.
"Tapi rupa-rupanya… mereka tidur di kaki lima rumah,” tulisnya.

Ibarat peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Ibu tunggal itu terkejut melihat gambar yang diberikan oleh jiran bekas suaminya.
Mengetahui kebenaran di sebalik apa yang berlaku, Wana membuat keputusan untuk bangkit semula. Kini, dia berusaha menguatkan diri demi memperjuangkan hak anak-anak tersayang.
“Dulu saya jatuh terduduk, langsung tak mampu. Tapi kini saya cuba bangkit dengan sokongan keluarga.
"Ya ALLAH, kuatkan hati aku untuk terus lawan demi anak-anak,” tulisnya lagi.
DIMARAHI KERANA BAKAR KERTAS DALAM RUMAH
Menurut Sinar Harian, polis yang telah menjalankan siasatan berkaitan pengabaian itu dan mendedahkan pasangan kembar lelaki berusia lapan tahun tinggal di di Pangsapuri Idaman Prestij KPark, Balik Pulau.
Berikut info dikongsikan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam:
1-Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dijaga oleh ibu tiri mereka berusia 39 tahun.
2-Hasil rakaman percakapan kanak-kanak berkenaan mendapati, mereka tidur di luar rumah kerana dimarahi selepas bermain api dengan membakar kertas di dalam rumah.
3-Bagi insiden mata ditutup semasa makan pula, mangsa memaklumkan ia dilakukan kerana mereka enggan makan sayur.
4-Kedua-duanya turut mengesahkan tidak pernah didera secara fizikal oleh ibu tiri mereka.
5-Kedua-dua kanak-kanak telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.
6-Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak.

TIADA UNSUR DERA
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata tiada unsur dera namun laporan secara rasmi perlu ada.
Jika didapati tidak bersangkutam kes dera, JKM akan siasat unsur pengabaian dan lain-lain.
Sekiranya ada berlaku pengabaian, JKM akan segera ambil kanak-kanak berkenaan untuk diselamatkan.
Dalam pada itu, Siew Khim yang dipetik dari Kosmo berkata pihaknya setakat ini belum menerima rujukan dari Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital namun kedua-dua mangsa masih dalam pemerhatian JKM.
JKM akan melaksanakan dan melengkapkan laporan jika terdapat unsur pengabaian dan lain-lain.
Sumber: Sinar Harian, Kosmo, Facebook
;
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

