“Minta maaf Manja, tak dapat jaga keselamatan kamu…,’Ayah kesal tindakan pemandu tidak bertanggungjawab, kaki anak perempuan terpaksa dipotong
AKIBAT kecuaian orang lain, darah daging sendiri menjadi mangsa. tulah dugaan yang menimpa Muhd Muaz Aiman Maslan, seorang ayah yang sentiasa berhati-hati ketika membawa anak kesayangannya, Annasya Miqaila, pulang ke rumah di Kampung Batu 4, Batu Berendam.
“Aku dengan anak aku dalam perjalanan nak pergi berkhemah di Asahan, Jasin. Tapi disebabkan hujan, tak jadilah nak pergi mandi jadi kami pun nak balik rumah," ujarnya.
Perjalanan pulang keluarga kecil itu bertukar mimpi ngeri apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah SUV yang membuat pusingan U secara haram di garisan berkembar.
"Tengah-tengah bawa motor, tiba-tiba ada kereta dari bahu jalan buat u-turn dekat garisan berkembar langgar mereka.
Muaz tercampak jauh dari motosikalnya, dan kaki kirinya patah teruk. Sementara anak perempuannya, Annasya, terbaring di sebelah motosikal.
Luluh hati seorang ayah ketika melihat kaki kecil anak perempuannya terkulai layu ketika diangkat oleh orang ramai.
Dengan kudrat yang ada, Muaz menyeret kakinya yang patah mengesot bagi mendekati puterinya sambil memanggil-manggil nama anaknya yang tidak sedarkan diri.
"Aku tengok dari jauh kaki anak terkulai dan tanpa fikir panjang terus seret kaki kiri yang patah untuk pergi dekat sambil memanggil namanya untuk kejutkan dia dari pengsan,"ceritanya.
Sepanjang perjalanan ke hospital, susuk tubuh seorang ayah iti tidak henti-henti berdoa berharap ada keajaiban agar kaki anaknya boleh diselamatkan. Namun, takdir tidak berpihak kepada mereka apabila doktor memaklumkan, kaki kiri Annasya terpaksa dipotong.
“Kenapa anak aku, bukan aku yang kena semua ini. Aku berdoa dekat ALLAH untuk turunkan segala kesakitan dia dekat aku. Dia baru enam tahun, Ya ALLAH," rintih Muaz.
Kehilangan kaki Annasya atau lebih mesra dipanggil Manja adalah permulaan bagi segalanya apabila anak perempuannya juga terpaksa mengambil ubat khas untuk membantunya tidur dengan tenang kerana trauma yang dialaminya.
"Semalam, doktor pakar beritahu Manja kena rujuk psikologi sebab ada trauma yang agak teruk dan diberi ubat sebelah malam supaya dia boleh rehat dan tidur bagi mengelak ia mengganggu proses penyembuhan," jelas beliau lagi.
Bagi Muaz pula, kaki kirinya kini bergantung kepada besi yang dimasukkan melalui pembedahan untuk menyokong kakinya yang patah. Namun, kecederaan itu tidak seberapa berbanding luka pada emosinya.
Sebagai seorang ayah, Muaz tidak henti-henti menyalahkan diri kerana tidak dapat menjaga anaknya sendiri. Malah, brliau juga tidak dapat memaafkan kecuaian pemandu SUV berkenaan kerana telah menyebabkan anak perempuan tunggalnya cacat seumur hidup.
"Ayah minta maaf Manja, tak dapat jaga keselamatan anak ayah. Bawa motosikal betul pun tetap kena juga. Ayah bersalah sangat dengan Manja, ayah tak akan maafkan orang yang langgar kita," ungkapnya.
Sumber: Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang