Pelajar Tingkatan Tiga ditidurkan, kritikal selepas didakwa jatuh tingkat 3 asrama dipercayai dibuli
KES membabitkan buli dalam kalangan penuntut terus membimbangkan. Terkini, timbul dakwaan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini kritikal dipercayai mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di Sabak Bernam, Selangor.
Lapor Sinar Harian, pelajar dikenali sebagai Ahmad Irfan Ahmad Hanafi mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
Menurut ibunya, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, kecederaan Ahmad Irfan itu dapat dilihat menerusi imbasan tomografi berkomputer (CT scan).
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli," katanya kepada Sinar Harian.
Susulan kejadian itu, Siti Muhani telah membuat laporan polis pada jam 5 pagi Selasa di Balai Polis Sabak Bernam.

Tambahnya, beliau juga mendakwa dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk siasatan, tetapi setakat ini kesemuanya enggan memberikan keterangan.
Pada masa yang sama, beliau turut mempertikaikan tindakan pihak sekolah yang didakwa lambat memaklumkan kejadian tersebut kepada penjaga.
Dakwanya lagi, terdapat percanggahan fakta.
“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.
“Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, dalam perutnya langsung tiada sisa makanan,” jelasnya.
Apabila ditanya sama ada Ahmad Irfan pernah mengadu mengenai perkara itu, Siti Muhaini menjelaskan bahawa anaknya sentiasa kelihatan ceria dan aktif di sekolah.
“Sebelum ini dia tidak pernah tunjuk ada sebarang masalah dengan rakan-rakan. Ahmad Irfan memang aktif, dia ada jawatan dalam biro agama asrama,” ujarnya.
Ahmad Irfan kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan.
Unsur buli terlalu awal untuk disahkan

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar berkenaan.
"Sejurus menerima laporan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekelilingnya.
"Buat masa ini, pihak polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan.
"Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian, termasuk dakwaan wujudnya unsur buli, adalah terlalu awal untuk disahkan.
"Pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa. Polis Selangor komited untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan.
Sumber: Sinar Harian, Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

