Pengganti duit raya, bapa serah hibah kepada anak-anak, curi tumpuan ramai!. 'Tak mahu bergaduh berebut harta'
MENJADI kebiasaan ketika sambutan Aidilfitri, seorang bapa akan memberikan duit raya kepada anak-anak. Namun, berbeza pula dengan sebuah keluarga ini apabila si bapa menyerahkan geran hibah kepada setiap anak sempena Hari Raya baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian video yang tular di TikTok oleh pengguna dikenali sebagai Dr GTR, kelihatan si bapa menghulurkan kertas berupa dokumen hibah kepada anak-anak yang beratur untuk bersalaman dengannya.
Menurut kapsyen yang disertakan, pengguna tersebut memaklumkan bahawa bapanya berpandangan jauh walaupun hanya seorang petani dan tidak bersekolah tinggi, namun mengambil keputusan menghibahkan hartanya untuk mengelak pertikaian pada masa akan datang.
“Ayah ni seorang yang berpandangan jauh. Walaupun tak belajar tinggi dan hanyalah seorang petani sejak muda, tapi berjaya membesarkan kami lapan beradik.
"Dia tahu kalau suatu hari nanti dia tiada, dia tak mahu anak-anaknya bergaduh berebut harta. Jadi, dia ambil keputusan untuk menghibahkan semua hartanya kepada anak-anak. Allahuakbar ayahku,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata memuji tindakan si bapa yang membuat keputusan awal membahagikan harta agar tiada pertelingkahan kelak.
Warganet turut menasihatkan agar ibu bapa tidak dilupakan walaupun harta telah diagih, malah ada yang menyifatkan tindakan tersebut sangat wajar dilakukan semasa masih sihat dan waras.
“Bagus cara ayah dan mek ni. Bagi awal-awal masa sihat, masa masih waras. Depan saksi semua anak-anak. Tak ada isu berbangkit kemudian hari. Moga ayah dan mek sihat dan murah rezeki sokmo.”
“Terima kasih buat parents yang pentingkan ilmu ni. Kerana harta, pertalian adik-beradik boleh putus.”
“Ni baru betul. Bagi semasa masih hidup. Hitam putih jelas. Tak ada siapa berani bantah sampai bergaduh. Ada juga parents yang rasa dia tongkat langit. Bila meninggal tiba-tiba, berperang habis anak-anak.”
Apa Itu Hibah?
Hibah ialah pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris.
Perlu diingat, harta yang telah dihibahkan akan terkeluar daripada pusaka dan tidak akan diagihkan mengikut hukum faraid.
Terdapat dua jenis hibah:
1. Hibah mutlak – berkuat kuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hak milik telah dibuat, ia menjadi hak si penerima sepenuhnya. Jika penerima meninggal dunia, harta itu menjadi pusaka penerima.
2. Hibah bersyarat (umra dan ruqba) – penghibah meletakkan syarat tertentu bersama pemberian tersebut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
