Pengunjung tidak putus ziarah kubur Nur Farah Kartini, momen terakhir keluarga runtun hati warganet
PUSARA graduan Universiti Perguruan Sultan Idris yang ditemui meninggal dunia, Nur Farah Kartini Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang, tidak henti menerima kunjungan orang ramai.
Tular di laman sosial perkongsian daripada pengguna laman sosial TikTok bunkkos_mayatt06 berkongsi dakwaan itu.
"Aku duduk empat jam kawasan ini tak putus orang ziarah.
"Apakah amalan arwah? Serius saya dapat rasakan arwah lain daripada yang lain.
"Semoga ALLAH merahmati roh dan jasadnya," kongsi beliau menerusi video berdurasi 20 saat.
Video yang menerima 522,000 tontonan itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya.
Rata-rata mengakui Allahyarham Nur Farah Kartini dan keluarga suka membantu orang lain.
Ujar mereka:
"Arwah orang kampung saya. Beliau dan keluarganya Iban mualaf. Arwah dan ibunya selalu bersedekah tanpa mengira agama dan kaum. Semoga roh arwah rest in peace."
"Orang baik ALLAH tunjukkan kepada kita yang hidup ini. Kematiannya buat semua orang bersedih sebak walaupun kita tidak mengenalinya."
"Menurut kawan-kawannya, arwah sangat menjaga solat, selalu ingatkan kawan-kawan untuk solat dan suka tolong orang."
"Pusara arwah insya-ALLAH tidak akan putus dengan kehadiran orang ramai yang simpati dengan kematian tragisnya. Saya bersimpati kepada keluarga arwah Nur Farah kerana arwah satu-satu anak perempuan tunggal dan anak manja ibunya."
"Walaupn kuburnya bukan di tempat kelahirannya tapi ramai yang datang ziarah. Kematiannya satu Malaysia mendoakan."
"Dia adalah insan yang mempunyai peribadi baik.Satu amalan dia taat dan sayang kepada ibunya. Lihatlah penampilan yang sentiasa terjaga auratnya, tidak tinggal sholat serta rajin bersedekah."
'Kami balik dulu' - Keluarga
Terdahulu, kakak ipar Nur Farah, Syeril Nurfatihah berkongsi momen terakhir mereka sekeluarga mengunjungi kubur adik bongsu sebelum pulang ke Miri, Sarawak.
Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan wajah sayu ibu serta abang-abang Nur Farah sewaktu menyiram air di atas pusara Allahyarham.
“Mak balik dulu nak, kata-kata terakhir mak sebelum berangkat balik ke Miri Sarawak esok (hari ini). Pesanan kepada besan, ‘Tolong tengok dan jagakan Faa dekat sini.'
“Terus semua menangis. Semoga ALLAH terus merahmati Faa. Rumah Faa dah cantik, ramai orang bermurah hati sedekahkan rumah baru untuk Faa di negeri abadi.
"Terima kasih orang-orang baik,” kata @syerilhudsons di ruangan kapsyen video tersebut.
Terdahulu, abang Allahyarham, Mohd. Farizza Azmi, 28, menerusi hantaran di Facebooknya memuat naik foto sedang memegang batu nisan tertera nama adiknya itu dengan menyertakan kapsyen dalam dialek Sarawak.
“Kamek balit dolok, kelak kamek datang lagik (Saya balik dulu, ada masa saya datang lagi),” katanya.
Imbas kembali, 15 Julai lalu negara digemparkan dengan penemuan mayat Nur Farah Kartini kira-kira jam 6 petang selepas enam hari dilaporkan hilang.
Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Miri, Sarawak itu gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
Susulan itu, seorang anggota polis berusia 26 tahun telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sama-sama kita doakan penyiasatan kes ini berjalan dengan lancar dan kematian alumni Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) UPSI itu terbela.
Sumber: bunkkos_mayatt06
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang