'Pernah cakap bimbang dengan tugas baru.' Koperal Hafizul sempat jemput anak di sekolah sebelum maut dirempuh penjenayah
PEMERGIAN anggota polis, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, ketika menjalankan tugas meruntun hati ramai.
Dirempuh suspek pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar, bapa kepada empat cahaya mata itu rupanya baharu ditukarkan ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selepas berkhidmat di Unit Peronda Motosikal (URB).
“Dia pernah cakap agak bimbang dengan tugas barunya. Tapi dia tetap jalankan amanah dengan penuh dedikasi,” kongsi isteri Allahyarham, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36.

Menyifatkan Koperal Mohd Hafizul sebagai suami baik dan bapa penyayang, Nur Azhanis mengenang kebaikan arwah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Kerja sebagai anggota polis memang bukan mudah, banyak masa dan tenaga yang perlu dikorbankan namun tugas sebagai suami serta suami tidak terabai.
Malah di matanya, Allahyarham seorang suami dan bapa yang sangat bertanggungjawab serta disenangi keluarga dan rakan-rakan.

“Walaupun sibuk dengan kerja, arwah tetap ambil anak dari sekolah. Itu memang rutin dia sebagai seorang ayah yang penyayang.”
“Hari Selasa dia balik lewat dari kerja. Saya dah tidur sebab esok pagi nak kerja. Tapi semalam, sebelum kejadian, dia sempat ambil anak dari sekolah macam biasa
"Dia suka tolong keluarga, mentua, semua orang. Dia memang baik. Tak ada langsung tanda-tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sebak.
Papa pesan jangan tinggal solat
Sementara itu, anak sulung mereka, Muhammad Akif Naufal, 11, berpegang kepada pesan bapanya untuk tidak meninggalkan ibadat solat.
Malah, Akif juga sebak mengenang momen terakhir dimaklumkan pemergian lelaki tersayangnya itu.

"Papa pesan jaga solat, jangan tinggal solat. Kali terakhir saya jumpa papa masa dia jemput saya balik sekolah kira-kira jam 1.15 tengah hari
"Lepas tu papa hantar saya balik rumah. Saya dan seorang lagi adik ikut mak kawan ke Aman Sentral.
"Sebelah petang, ada anggota polis datang ambil saya di Aman Sentral. Saya ingatkan papa yang suruh saya balik rumah sebab ada kawan papa yang meninggal.

"Masa tu memang tak tahu langsung kejadian menimpa papa," katanya.
Lebih menyedihkan kata Akif, dia hanya mengetahui bapanya telah meninggal dunia selepas tiba di Hospital Sultanah Bahiyah sekitar jam 6.30 petang.
"Waktu tu saya nampak mama menangis dan baru tahu yang papa sebenarnya meninggal dunia," katanya.
Selain Akif, pasangan berkenaan yang sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga mempunyai dua lagi cahaya mata.
Sementara itu, empat suspek telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 457 kerana pecah rumah.
Difahamkan, ketika itu, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul dirempuh sebaik sahaja turun dari bahagian pemandu kereta.
Menurut, Ketua Polis Kedah CP Adzli Abu Shah, anggota berdedikasi itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Sumber: Sinar Harian, 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

