Pilu! Pekerja Sabah Electricity terkorban dihanyut banjir ketika bertugas, anak kelima dalam kandungan tak sempat tatap wajah bapa
PILU! Pemergian kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Masdeh Rosmin, 35 tahun menyayat hati apabila jasadnya ditemukan pada 6.18 petang Khamis selepas tiga hari hilang.
Penantian keluarga serta rakan-rakan berakhir apabila jenazah Masdeh ditemui di Sungai Kampung Liau Laut oleh pasukan penyelamat Team Gelen Star yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 21 kilometer (km) dari lokasi arwah terjatuh.
Sebelum itu, tular rakaman video dalam media sosial memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda SESB terperangkap dalam banjir dengan arus deras di Kampung Nuntunan Apin-apin, Keningau.
Berikut kronologi kejadian yang menyayat hati:
1-Pada kira-kira jam 8.30 malam Selasa, arwah dan dua rakan sekerja cuba menyeberang jambatan melaksanakan operasi pemulihan di pencawang berhampiran jambatan gantung susulan kampung berkenaan terputus bekalan elektrik.
2-Masdeh dan dua rakannya dikatakan cuba melintas jambatan simen di kawasan berkenaan, namun arus deras tiba-tiba melanda sehingga menyebabkan ketiga-tiganya panik.
2-Dua daripadanya sempat menyelamatkan diri namun mangsa dibawa arus deras.

3-Difahamkan, pakaian terakhir arwah ketika itu adalah vest Sabah Electricity.
4-Media melaporkan orang awam nampak kelibat Masdeh dibawa arus deras di Sungai Kepayan, Keningau pada jam 1.06 pagi Rabu.
5-Tidak lama selepas itu, Masdeh sekali lagi kelihatan di Sungai Baginda pada 1.15 pagi tetapi usaha menyelamat sukar dilakukan akibat arus air yang terlalu deras.
6-Sabah Electricity dalam satu kenyataan pada Rabu mengesahkan kehilangan dan memaklumkan pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.

5-Pencarian diteruskan pada Khamis dengan tumpuan pencarian di sekitar Kampung Linsudan selepas pasukan penyelamat menemui sepasang kasut dipercayai milik mangsa di kawasan itu.
6-Kira-kira 6.18 petang Khamis, jasad Masdeh ditemukan pasukan yang membantu JBPM Negeri Sabah, Team Galen Star di kawasan Sungai Kampung Liau Laut, Keningau.
ISTERI SEDANG HAMIL
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menerusi Facebook menyampaikan ucapan takziah buat keluarga arwah.
"Saya dan seluruh keluarga besar Amanah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Jawatankuasa AMANAH Pensiangan, Allahyarham Masdeh Rosmin yang telah kembali ke rahmatullah setelah dilaporkan hilang dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Kampung Nuntunan, Apin-Apin, Keningau.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan bersama orang-orang soleh dan keluarga yang ditinggalkan terus diberi kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian besar ini. Jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam perjuangan akan sentiasa dikenang, al-Fatihah," kongsinya.
Menurutnya, arwah meninggalkan seorang balu, Riziah Yunin dan empat cahaya mata yang masih kecil berusia antara dua hingga sembilan tahun.
Difahamkan, Riziah kini sedang hamil anak kelima.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

