Rahsia ketinggian Tengku Hassanal terbongkar, perkongsian Tunku Azizah jadi perhatian. Usia empat bulan diberi hati ayam
SIAPA tidak kenal figura hebat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Selain karisma dan kepimpinannya, ramai tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik fizikal yang tinggi lampai.
Baru-baru ini, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi sebuah video yang tular tentang pengalaman baginda dalam membesarkan anakanda-anakanda baginda, khususnya berkaitan pemakanan dan gaya hidup yang boleh membantu tumbesaran termasuk ketinggian. Patutlah Tengku Mahkota Pahang tinggi orangnya!
Baginda berkongsi bahawa pemakanan seimbang dan tidur yang mencukupi amat penting, terutamanya dalam tempoh 1,000 hari pertama selepas kelahiran.
Permaisuri hati Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah itu turut berkongsi kebiasaan masyarakat Melayu yang cenderung memberi anak-anak nasi dalam kuantiti yang banyak, sedangkan keutamaan sebenar ialah sumber protein, zat besi dan sayur-sayuran.

“Saya masih ingat, anak umur empat bulan sudah diberi bayam, daging dan hati ayam.
"Saya memang lebihkan ayam dalam pemakanan mereka. Berdasarkan buku yang saya baca, kalau nak anak tinggi, lebihkan ayam, daging, ikan dan sayur. Nasi pula dikurangkan,” titah baginda.
Pandangan itu turut disokong oleh pempengaruh Dr Muhamad Hazwan Nazri ata Dr Wan Share.
Beliau menjelaskan, protein daripada ayam, daging, ikan dan hati ayam merupakan blok binaan utama bagi pembentukan otot dan tulang.
Selain itu, hati ayam yang tinggi zat besi penting untuk penghasilan hemoglobin iaitu komponen darah berperanan membawa oksigen ke seluruh tubuh, termasuk ke sel tulang dan otot, sekali gus menyokong pertumbuhan sihat serta optimum.

Baginda juga berkongsi, susu perlu dijadikan pilihan utama untuk anak-anak, manakala minuman manis seperti sirap atau air berperisa sebolehnya dielakkan.
Dalam masa yang sama, mantan Raja Permaisuri Agong ke-16 itu juga menekankan pengambilan air kosong dan susu yang cukup kerana kedua-duanya membekalkan kalsium dan protein yang penting bagi pertumbuhan tulang yang sihat.
Satu lagi tip penting menurut baginda ialah iaitu kepentingan tidur yang cukup dan awal.

“Kalau nak anak tinggi, pukul 7.30 malam dah masuk katil, pukul 8 lampu tutup. Apabila anak mendapat lebih tidur, mereka akan lebih tinggi,” titah baginda.
Dari sudut saintifik, hormon pertumbuhan (growth hormone) dirembeskan secara lebih aktif ketika kanak-kanak tidur nyenyak, terutamanya pada waktu malam. Justeru itu, tidur awal sangat membantu perkembangan fizikal mereka.
Bonda yang penyayang itu juga mengingatkan, pemakanan ketika hamil juga mustahak.

Tempoh sembilan bulan dalam kandungandan 1,000 hari pertama selepas kelahiran merupakan fasa emas yang menentukan tahap kesihatan, kecerdasan dan ketinggian anak.
Oleh itu, sepanjang tempoh ini, ibu disarankan mengambil makanan yang kaya dengan protein, zat besi, kalsium, vitamin D, serta memastikan waktu tidur yang mencukupi. Semua ini menjadi asas penting dalam melahirkan anak yang sihat, bertenaga dan memiliki ketinggian yang ideal.
Justeru, tidak hairanlah Tengku Hassanal tinggi lampai! Ternyata bukan dipengaruhi faktor genetik semata-mata, ia dipengaruhi oleh gaya hidup dan pemakanan sejak awal usia.
SUmber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
