'Saya tanya betul ke nak pergi, sebab hujan' - Isteri sebak, pendaki sempat repost video rindu sebelum maut, janji jumpa hari Isnin
LIMA tahun berkongsi hidup, Nur Faratin Mohd Othman terpaksa menerima kenyataan suami tercinta, Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34 sudah tiada.
Allahyarham yang merupakan eksekutif teknologi maklumat meninggal dunia dalam akiviti pendakian Gunung Liang di Perak dikatakan sempat membuat siaran semula (repost) video kerinduan isterinya di media sosial sebelum dilaporkan hilang.
Ujar Nur Faratin, hantaran itu dibuatnya beberapa jam selepas Mustaqqeem memaklumkan akan memulakan pendakian bersama kumpulannya dari Bukit Fraser, Pahang pada Jumaat.
Video berkenaan adalah luahan perasaan rindunya kepada Mustaqqeem.

Tidak lama selepas dimuat naik, Allahyarham sempat membuat 'repost' dengan kapsyen “jumpa hari Isnin”.
“Saya tak tahu kenapa waktu itu saya buat hantaran video, baru dua tiga jam dia pergi pun saya dah rindu.
"Saya tak sangka arwah sempat repost dan tulis ‘jumpa hari Isnin’,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Nur Faratin turut bercerita tentang perbualan terakhir mereka suami isteri pada Jumaat apabila Mustaqqeem memaklumkan akan mula memasuki kawasan pendakian.
Artikel berkaitan:
- 'Dia ada cakap ini yang terakhir...' Abang ipar Riezman Khuzaimi meninggal dunia, terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani
- 'Jenazahnya cukup sempurna, sangat menjaga adik-adik.' Solat jenazah pendaki maut terjatuh gunung diimamkan anak sendiri

“Saya pesan supaya dia hubungi saya dulu sebelum masuk sebab saya tahu kalau dah masuk, susah nak hubungi.
“Dia telefon dan kata dah nak masuk dalam. Saya cakap elok-elok, nanti keluar hari Isnin kan? Dia jawab ya, jumpa hari Isnin,” katanya.
Nur Faratin mengakui, hatinya berasa berat ketika menghantar suaminya pergi kerana hujan lebat dan tidak menyangka pesanan itu menjadi kata-kata terakhir antara mereka.
“Saya tanya betul ke nak pergi, sebab hujan, bahaya.
"Tapi dia jawab tak apa, kawan-kawan semua tahu apa nak buat. Biasanya dia pergi tak pernah ada masalah,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Penaga, Pulau Pinang selepas solat Subuh.
Terdahulu, Allahyarham ditemui meninggal dunia di puncak gunung, jam 3.30 petang kelmarin, dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung.
Jenazah mangsa dibawa turun dari puncak gunung itu oleh pasukan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada jam 2.45 petang semalam, dengan helikopter.
Bedah siasat mendapati punca kematian Allahyarham adalah disebabkan hiportermia atau kesejukan melampau.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

