'Tiba-tiba suara tersekat...' Kanak-kanak lima tahun maut tercekik biji rambutan dikupas kakak
SIAPA menyangka, asbab sebiji rambutan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun menghembuskan nafas terakhirnya. Malang tidak berbau, si kecil itu dilaporkan tercekik biji rambutan yang dikupas oleh kakak.
Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika kanak-kanak lelaki itu sedang menikmati buah rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
Kakak mangsa telah mengupas buah rambutan sebelum memberikannya kepada mangsa dan mereka makan bersama.
"Ketika sedang makan, tiba-tiba suara mangsa tersekat-sekat dipercayai akibat biji rambutan yang dimakan tersangkut di kerongkong," katanya.

Si kecil berkenaan selepas itu dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.50 petang.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disahkan akibat tercekik (choked) dan doktor turut mengesahkan terdapat biji rambutan di dalam kerongkongnya," kongsinya.
Sementara itu, PASTI Al-Furqan, Felda Neram 1 berkongsi ucapan takziah susulan pemergian si kecil yang bernama Muhammad Yusuf Arfan itu.
"Telah kembali ke rahmatullah anakanda Muhammad Yusof Arfan Ismail waktu Zohor tadi. Takziah buat ibu bapa, semoga tabah dan sabar menerima ujian ini. Sama-sama kita doakan semoga dicucuri rahmat," kongsinya.
INFO KESELAMATAN
Sekadar perkongsian, Public Health Malaysia sebelum ini pernah menekankan risiko tercekik dalam kalangan kanak-kanak, khususnya berusia empat tahun ke bawah yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
Ini kerana pada usia tersebut, kanak-kanak belum mahir mengunyah makanan dengan sempurna dan cenderung menelan makanan secara terus, sekali gus meningkatkan risiko tercekik.

Risiko meningkat apabila makanan keras dan bulat, saiz melebihi setengah inci, makan sambil berjalan dan bermain dan jika ia diambil di dalam kenderaan.
Antara makanan yang menjadi punca utama tercekik pada kanak-kanak ialah sosej, anggur, bertih jagung, gula-gula, marshmallow,dan kacang.
Langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tercekik:
-Jika anda ingin memberi makanan makanan seperti hot dog, buah anggur, sayuran dan buah pastikan ia di potong kecil dan memanjang.
-Pantau semasa mereka ketika mereka sedang makanan dan pastikan mereka duduk diam.
-Ambil tahu teknik bantuan kecemasan Heimlich untuk menyelamatkan kanak kanak tercekik.
Sumber: Sinar Harian, Facebook 1,2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

