Tragedi MH17: Sedekad berlalu, ibu pramugari Nur Shazana masih trauma. 'Tiap kali dengar bunyi pesawat teringatkan arwah'

No Image Caption
A
A
A

TRAGEDI penerbangan 17 Penerbangan Malaysia (MH17/MAS17), juga dikenali sebagai Penerbangan 4103 KLM (KL4103/KLM4103) menjadi sejarah hitam buat rakyat Malaysia.

Ditembak dengan peluru berpandu pada 17 Julai 2014 hingga mengorbankan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal, insiden itu menggemparkan dunia.

Genap 10 tahun peristiwa melibatkan pesawat Boeing 777-200ER itu, rasa rindu dan sedih sentiasa menyelubungi ahli keluarga termasuk Sharom Bee Md Ibrahi, 67, yang merupakan ibu kepada pramugari MH17, Nur Shazana Mohamed Salleh.

Nur Shazana antara 15 anak kapal pesawat MH17 yang ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine, sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak.

Seperti baru semalam kehilangan anak sulungnya, warga emas itu terus terkenang Nur Shazana yang disifatkan sebagai seorang peramah dan mudah mesra.

No Image Caption

"Kalau tanya makcik, tiada satu pun keletah atau apa sahaja berkenaan Shazana yang makcik lupakan...sedih, sangat sedih dan rindu bila teringatkan arwah tambahan pula dia pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya dengan sebegitu.

"Kami sekeluarga sampai sekarang sentiasa mengunjungi kubur arwah di Putrajaya dan makcik sendiri memang akan minta anak-anak lain bawa ke sana untuk melepaskan rindu kepadanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perasaan sedih dan rindu sentiasa bertandang dan memuncak terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sharom Bee berkata, ketika umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran, hatinya diselubungi pilu kerana merindui anaknya itu, tambahan pula kejadian yang menimpa Nur Shazana berlaku pada bulan Ramadan.

No Image Caption

Wanita yang tinggal di Bayan Baru, Pulau Pinang berkata sehingga ke hari ini beliau mengalami masalah tidur pada waktu malam, kerana akan terjaga apabila terdengar bunyi kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang berada tidak jauh dari rumahnya, kerana masih trauma dengan insiden itu.

"Setiap kali melihat dan mendengar bunyi kapal terbang saya akan teringatkan arwah dan sehingga hari ini saya trauma mendengar bunyi pesawat.

"Saya juga buat keputusan untuk pindah dari rumah di sini kerana sehingga hari ini saya masih susah untuk tidur kerana sering mendengar bunyi kapal terbang," katanya.

Mengimbau kenangan ketika bersama Nur Shazana yang berumur 31 tahun ketika tragedi itu, Sharom Bee berkata semua semuanya akan terus tersemat kukuh dalam hati. Setiap kali rindukan Nur Shazana, beliau akan menatap gambar-gambar arwah.

No Image Caption

Beliau berkata kejadian nahas kapal terbang terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos tahun lepas, antara perkara yang membuatkan beliau turut terkesan dan serta merta mengingatkan Nur Shazana, kerana seorang daripada mangsa iaitu Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki ialah anak saudaranya.

Sharom Bee berkata malah Mohamad Taufiq, 37, juga merupakan antara sepupu yang rapat dengan Nur Shazana dan kedua-dua mereka 'pergi' meninggalkan keluarga dalam keadaan yang sama, iaitu ketika berada dalam kapal terbang.

Sementara itu, ibu kepada ketua pramugari MH17, Habibah Ismail, 75, pula masih mengharapkan keadilan buat anaknya Azrina Yakob, 41, dan sentiasa mengikuti semua perkembangan tragedi itu.

Beliau berkata walaupun sudah 10 tahun, tiada satu hari pun tiada perasaan rindu kepada anaknya itu.

"Rindu itu sudah pastinya sentiasa ada dan kuat..itu anak kita, mestilah rindu...arwah memang sibuk dengan kerjaya dan keluarganya, tetapi semasa dia masih ada memang selalu berhubung dengan saya," katanya.

Penerbangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik di timur Ukraine, menyebabkan kesemua penumpang terkorban.

Mangsa merupakan penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom.

Susulan kejadian itu, pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap dua warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine secara in absentia selepas mendapati mereka bersalah menyebabkan pesawat MH17 ditembak jatuh dan kesemua 298 penumpang terbunuh.

Sumber: BERNAMA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang