Tragis! Anak status OKU saksi ibu ditikam bapa, hanya sempat lihat jasad tidak bernyawa. Ini kronologi menyayat hati
SAMPAINYA hati! Demikian perasaan yang menghantui orang ramai apabila membaca kisah tragis seorang ibu yang menemui ajal di tangan suaminya sendiri di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah ini.
Lebih memeritkan, kejadian pembunuhan kejam itu disaksikan secara langsung oleh anak kandung mangsa yang merupakan individu berstatus Orang Kurang Upaya (OKU)!
Memetik Sinar Harian, mangsa, Mastura Abdullah, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian hadapan dan belakang badan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Isnin.
Difahamkan, suspek dipercayai menikam Mastura menggunakan senjata tajam pada kira-kira jam 10 pagi di ruangan dapur rumah mereka.

Wanita itu yang merupakan isteri ketiga bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor dan telah berkahwin dengan suspek berusia 63 tahun itu selama 14 tahun dan pasangan tersebut mempunyai dua orang anak yang kini berusia 10 dan 12 tahun
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tanah Merah (HTM) untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
Difahamkan, suspek sempat mengambil anaknya dari sekolah sebelum menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh.
'Kakak baru sampai 9 pagi' - Adik mangsa

Menurut adik Mastura, Mohd Jony, 30, berkata, kakaknya baru tiba di kampung jam 8 pagi dari Selayang, Selangor dengan menaiki lori dipandu sepupu mereka.
"Kakak sampai di rumah dalam jam 9 pagi, selepas diambil adik bongsu kami di sebuah stesen minyak di Machang.
"Sepupu menurunkan dia di sana. Kemudian adik hantar ke rumah. Kami mengetahui kejadian ini dalam tengah hari, setelah abang ipar menyerahkan diri di balai polis.
"Sebelum itu dia sempat ambil anak lelakinya di sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometar dari rumah, dalam jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini pada Isnin.
Menurut Mohd Jony, mereka bergegas ke rumah kakaknya selepas mengetahui kejadian tersebut namun tidak dapat menghampiri jenazah mangsa kerana polis sedang melakukan siasatan.

Lebih memilukan, katanya, anak pasangan itu dikatakan merupakan orang pertama yang melihat si ibu dicederakan namun disebabkan orang kurang upaya (OKU), tiada sebarang tindakan diambil.
Mohd Jony turut memaklumkan walaupun bekerja jauh, kakaknya akan pulang bercuti setiap bulan, manakala suspek pula tidak bekerja.
"Dia (abang ipar) tidak bergaul dengan orang kampung. Jadi sukar untuk kami membuat apa-apa andaian.
"Kami hanya dimaklumkan arwah ditikam di bahagian hadapan dan belakang badannya banyak kali," katanya.
Suspek syak isteri ada kekasih

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa bertengkar dengan suaminya.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan baru sahaja tiba di rumahnya dari Lembah Klang pagi tadi,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 9 pagi Selasa untuk permohonan reman.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

