Tular hayun tubuh rakan ke tiang undang kemarahan, pelajar IKBN mungkin digantung atau dibuang. 'Bergurau melampau juga buli'
MEDIA sosial dikejutkan dengan satu video tular menunjukkan insiden buli melibatkan pelajar di sebuah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di utara Sarawak.
Rakaman berdurasi lebih 10 saat itu menimbulkan kemarahan orang ramai.
Kira-kira lima pelajar dipercayai memegang kaki dan tangan mangsa sebelum dengan sengaja menghayunkan bahagian kelangkangnya ke arah tiang papan tanda tersebut.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan hari ini mendedahkan siasatan awal mendapati insiden itu berlaku pada 19 September 2025, kira-kira jam 4.30 petang, di IKBN Miri.

"KBS memandang serius perbuatan ini kerana ia menyentuh isu keselamatan, maruah dan disiplin yang menjadi asas kepada semua Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS). Buli bukan sekadar salah laku individu tetapi ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat dan selamat.
"Tindakan disiplin tegas termasuk penggantungan atau dibuang akan diambil terhadap pelaku tertakluk kepada peraturan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.
"KBS menegaskan bahawa tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS)," kongsinya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau tegas menyatakan budaya kekerasan atau buli di institusi di bawah KBS tidak akan dibiarkan atau diberi kelonggaran.
"Sebagai ibu, saya tidak boleh terima jika anak-anak kita melalui pengalaman dibuli. Sebagai menteri, saya tidak akan berkompromi dengan budaya kekerasan di ILKBS.
"KBS sudah arahkan siasatan menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil. Setiap pelajar berhak belajar dalam suasana selamat dan bermaruah," kongsinya di Facebook.
Dalam pada itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang lantang memerangi buli, menganggap bahawa perbuatan bergurau juga boleh membawa kepada perkara tersebut dan tiada toleransi berkaitan perilaku itu.

"Bergurau secara melampau juga satu bentuk buli.
"Perbuatan seperti ini tidak boleh sama sekali dikompromi atau didiamkan atas alasan gurauan. Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian sebelum bertindak?
"Harap pihak polis dapat segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua. #YouTouchYouGo #BuliSatuJenayah," kongsinya.
Video yang tular itu menimbulkan amarah warganet. Warga maya turut meluahkan rasa marah dan kecewa dengan perbuatan kumpulan berkenaan dan berharap diberikan hukuman seadilnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
