'Barang disorok, dituduh mencuri' - Pelajar asrama penuh tertekan dibuli, terpaksa pindah sekolah sebelum SPM

No Image Caption
A
A
A

MELANJUTKAN pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP) menjadi impian kebanyakan pelajar yang mula melangkah ke sekolah menengah. Namun, kegembiraan remaja yang berjaya menempatkan diri di sebuah SBP penuh sewaktu Tingkatan Empat hanya seketika. 

Di sebalik impian besar, realitinya jauh berbeza. Zetty Anisa Mohammad Noor, menurut ibunya, Norhafidzah Muridan menjadi mangsa buli pelajar senior hingga mengalami tekanan emosi berpanjangan. 

Hantaran tular yang menerima 12,000 reaksi dan 3,400 perkongsian itu menceritakan kisah suka duka anaknya menghadapi pembuli hingga memaksa Zetty menukar sekolah ke sekolah menengah harian.

"Ini adalah gambar arwah anak semasa saya menghantarnya ke asrama penuh ketika dia di Tingkatan Empat. Kisah  Zara Qairina amat saya terasa.

No Image Caption

"Kes buli di asrama memang sering berlaku dan  anak saya juga menjadi mangsa.

"Cuma anak saya tidak dipukul tetapi pelajar lain di asrama masuk ke bilik menggunakan dan menyembunyikan barang-barangnya dan membuat tuduhan mencuri," coret Norhafidzah.

Menjelaskan itu kali pertama Zetty tinggal di asrama, enam bulan pertama semuanya berjalan dengan baik.  Namun, semuanya berubah selepas itu.

Artikel Berkaitan:

"Arwah anak saya pernah mengadu kepada warden dan pengetua. Tapi mereka hanya menjawab,

"Ala, itu biasa lah. Kawan-kawan nak bergurau dengan awak."

"Ada satu masa, arwah anak saya terlalu tertekan dengan sikap pelajar lain di asrama sehingga dia pengsan. 

"Semasa dia dibawa ke hospital, pihak sekolah langsung tidak maklumkan kepada saya. Nasib baik ada seorang rakan arwah anak yang telefon dan beritahu saya Zetty dimasukkan ke wad.

"Apabila saya tanya cikgu sekolah kenapa tidak menelefon untuk memaklumkan, jawapan yang saya terima sangat menyakitkan hati: "Zetty pengsan saja, lagipun kami boleh uruskan," kongsinya.

Malah, ujar Norhafidzah, kehadirannya untuk melawat ke asrama juga kurang disenangi.

“Saya selalu melawat masa awal-awal dia masuk. Sampai warden pun pesan, tak perlu datang selalu. 

"Tapi tak lama kemudian, Zetty mula mengadu kena buli. Senior ambil barang sesuka hati dan dia pernah dituduh mencuri apabila ada yang sengaja letak barang orang lain dalam bilik dia. Menangis-nangis dia cerita,” katanya lagi.

No Image Caption

Penderitaan Zetty akhirnya memuncak sekitar pertengahan tahun apabila dia membuat panggilan video kepada ibunya sambil menangis dan merayu untuk dikeluarkan dari asrama.

"Mama, tolong Zetty nak berhenti sekolah. Tak tahan sekolah dekat sini." Masa tu, hati saya tertanya-tanya, kenapa menangis sampai minta berhenti sekolah.

“Hari tu juga saya terus ke sekolah. Pengetua berat hati benarkan keluar tetapi syorkan cuti dua minggu. Dalam tempoh tu, Zetty luahkan semua… saya tak tunggu lama, terus tukarkan ke sekolah harian. Walaupun tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum SPM.”

"Semasa bawa balik ke rumah, Zetty ceritakan semua yang berlaku di asrama. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk berhentikan anak saya dan tukarkan ke sekolah biasa," kongsinya.

Selepas berpindah, Zetty mula menerima rawatan kaunseling untuk memulihkan trauma yang dialaminya. Menurutnya, perubahan ketara dapat dilihat apabila wajah anaknya kembali ceria dan semangat untuk belajar muncul semula.

“Syukur, dia pulih perlahan-lahan. Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sambung pengajian di sebuah kolej. 

"Tapi… ALLAH lebih sayangkannya. Zetty meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 8 September 2023, ketika berusia 19 tahun,” kongsinya.

Norhafidzah dalam hantaran yang sama berpesan kepada ibu bapa yang mempunyai perancangan untuk menghantar anak ke sekolah berasrama agar sentiasa peka.

“Kalau hantar anak ke asrama, jangan lepas tangan. Kena rajin bertanya khabar, dengar rintihan anak. 

"Bukan semua boleh hadap tekanan. Jangan terlalu harapkan mereka berdikari dan berjaya sampai kita butakan penderitaan mereka.

"Mohon semua doakan untuk anak saya. Al-Fatihah, syurga buat bidadari mama  Zetty Anisa Mohammad Noor," titipnya

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang