'Tunggu gaji baru daftar masuk’ – Kisah pilu pelajar yatim piatu kerja kilang demi ijazah, tak sangka akhirnya ditaja penuh
KESUNGGUHANNYA membuatkan ramai menitiskan air mata. Tidak hanya berserah kepada takdir, Nur Arissa Abdul Rahman, 20, membuktikan bahawa kehilangan bukan alasan untuk berhenti bermimpi.
Masalah yang datang bertimpa sejak kecil tidak pernah mematikan semangatnya untuk menuntut ilmu. Malah, kesukaran hidup selepas menjadi yatim piatu menjadi pendorong untuk dia bangkit dengan bekerja di kilang demi menyimpan wang bagi menyambung pelajaran ke menara gading.
Menerusi perkongsian laman sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), liku-liku yang dilalui Nur Arissa, pelajar Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian sebelum mendaftar bagi sesi pengajian 2025/2026 baru-baru ini cukup menyentuh hati.
"Nur Arissa bukanlah gadis biasa. Pada usia sembilan tahun kehilangan ibu tersayang, Salmah Harun akibat kanser ovari. Tatkala luka itu masih terasa, takdir meragut pula ayah tirinya, Ramli Sulaiman, ketika dia berusia 17 tahun.

"Sejak itu, Arissa yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan dan kakaknya hidup sebatang kara sebagai anak yatim piatu.
"Kakaknya yang sudah berkahwin tetapi tidak bekerja, lalu Arissa turut memikul tanggungjawab membantu keluarga kecil mereka," kongsinya.
Nur Arissa merantau untuk mencari rezeki, namun impiannya tidak pernah padam. Di dalam kesempitan hidup, dia tetap mengenggam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran.
"Dengan penuh tekad, Arissa menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan memperoleh keputusan cemerlang, PNGK 3.58, seterusnya ditawarkan melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian di UUM.
"Tetapi satu halangan besar membayanginya iaitu kewangan. Selepas STPM, Arissa ikuti sepupunya ke Klebang, Ipoh dan bekerja di sebuah kilang sebagai pemeriksa cip.
"Hampir lima hingga enam bulan bertahan dan mengikat perut, semata-mata untuk menabung wang yuran universiti.
“Alhamdulillah environment kerja okay. Saya kerja sebab nak sambung belajar. Itu saja niat saya,” katanya dengan suara yang sarat kesungguhan.

Artikel berkaitan:
- Isi barang dalam guni daftar universiti, pelajar cemerlang buat warganet menitis air mata. 'Fly high, stand tall Rafida'
- Ubah suai basikal guna tong sampah demi bawa anak ke sekolah, bapa terima hadiah motosikal. 'Biarlah pakcik berhujan, panas...'
- Duit hasil bawa teksi saksi 5 beradik berjaya ke menara gading, luahan anak akan pengorbanan ayah bikin sebak
Mencongak simpanan yang belum mencukupi, Nur Arissa asalnya mensasarkan untuk mendaftar masuk pada Oktober.
Perancangannya mudah tunggu gaji, baru daftar masuk UUM pada bulan Oktober. Namun, kasih seorang guru mengubah segalanya.
Pada malam 24 September 2025 (sehari sebelumnya adalah hari pendaftaran pelajar baharu UUM), bekas gurunya, Cikgu Rahimah dari SMK Sultan Yahya Petra 2 menghubungi hotline Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM (SSSD UUM) menceritakan nasib anak murid kesayangannya itu.
Berita itu sampai ke pihak universiti, dan tindakan segera diambil dengan menghubungi Arissa sendiri. Di hujung talian, gadis itu mengakui tidak meminta simpati. Dia hanya meluahkan hasrat tulus.
“Kalau UUM izinkan, saya nak masuk bulan ini juga. Saya tak nak tunggu lagi,” katanya.
Pada 27 September 2025, Pengetua Inasis Proton UUM, Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin sendiri turun ke Klebang Ipoh untuk menjemput Nur Arissa ke Sintok seterusnya mendaftar.
Dengan hanya doa, semangat dan segenggam harapan, Arissa meninggalkan rumah dan kakaknya untuk memulakan langkah baharu.

Difahamkan, individu wanita dermawan yang hanya mahu dikenali sebagai Hamba ALLAH dari Negeri Sembilan dengan penuh keikhlasan sudi membiayai yuran pengajian Nur Arissa sepanjang tempoh pengajiannya di UUM manakala beberapa orang lagi individu pemurah sudi menyumbang derma sebagai bantuan buatnya memulakan semester.
Sumbangan itu difasilitasi oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEPA) Universiti Utara Malaysia (UUM), yang memahami bahawa di sebalik pencapaian akademik para pelajar, ada cerita getir yang jarang sekali tersingkap di mata masyarakat.
Warganet terharu mengikuti kisah Nur Arissa mendoakan agar terus cemerlang pada masa hadapan, malah tidak kurang juga yang memuji cara universiti berkenaan berusaha bagi pihak Nur Arissa sehingga impian gadis itu terlaksana.
" Alhamdulillah, semakin banyak pentadbiran universiti kini menganjurkan usaha dan program yang bermanfaat seperti ini. Terima kasih hamba ALLAH yang menaja."
"MasyaAllah tabarakaAllah. Alhamdulillah rezek dikelilingi orang yang baik-baik dari peringkat sekolah hingga universiti. All the best."
"Tak sedar menitis air mata. Perjalanan yang sukar selalunya akan berakhir dengan kemanisan. Jangan alpa dan terus fokus Nur Arissa."
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

