Kurang kasih sayang, fikir diri mereka sahaja hebat, tak boleh ditegur antara ciri-ciri seorang ada sikap narsisitik

SEBENARNYA, individu yang mempunyai sikap gangguan personaliti narsistik (NPD) memang wujud dan agak ramai di sekeliling kita.

Narsistik adalah kondisi gangguan keperibadian yang menyaksikan seseorang sentiasa menganggap dirinya sangat penting dan harus dikagumi.

Untuk berdepan dengan orang sebegitu tidak mudah. Masakan tidak, kita akan cepat berasa tidak selesa, mudah sentap dan sedih apabila kata-kata yang lahir daripada mulut mereka sangat tajam.

Penulis pernah mempunyai pengalaman buruk bersama dengan individu narsistik. Ia berlaku ketika penulis dalam proses memohon masuk universiti.

Secara tiba-tiba datang seorang lelaki dalam lingkungan 40-an menempelak dengan berkata: “Kau ingat keputusan macam ini layak untuk masuk universiti? Jangan nak berangan nak jejakkan kaki ke tempat orang terpelajar.“

Ungkapan itu benar-benar menghiris hati ini. Bagi penulis, lelaki tersebut tiada hak untuk memperkecil-kecilkan orang lain lebih-lebih lagi dengan pihak yang tidak dikenalinya.

Merujuk kepada penulisan Psychology Today, individu NPD biasanya mempunyai sikap kurang empati, sering digambarkan sebagai sombong, mementingkan diri sendiri dan gemar memanipulasi setiap perkara yang dilakukan.

“Golongan itu juga mempunyai tanggapan terhadap diri sendiri bahawa mereka sebenarnya berhak untuk mendapatkan layanan istimewa daripada orang sekeliling,“ tulis Psychology Today.

Menurut relationshipsmdd.com, dianggarkan sebanyak 0.5 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan penduduk United Kingdom atau seorang daripada 200 individu menghidap masalah tersebut.

Berdasarkan statistik, kaum lelaki yang lebih banyak mendominasi karakteristik itu berbanding wanita.

Bagi memperhalusi lebih lanjut tentang narsistik atau NPD, SinarPlus menemu bual Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Ahmad Rostam Md Zin.

Terlebih dulu, ujar Dr Ahmad Rostam, kita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk melabelkan seseorang mempunyai gangguan personaliti itu.

“Untuk menentukan seseorang itu NPD, pakar perlu lihat beberapa aspek. Jika mereka hanya menepati satu ciri, kita tidak boleh kata mereka ada NPD,“ ujarnya.

Berikut enam aspek yang perlu diambil kira:
-Individu narsistik selalu berasa diri amat penting daripada orang sekeliling dan mahukan layanan terbaik.
-Mempunyai tanggapan bahawa diri sendiri ialah seorang yang bijak, bagus dan berkuasa.
-Sukar untuk mendekati dan mempunyai hubungan dengan individu yang berpangkat kerana menginginkan pujian.
-Bersikap suka memanipulasi.
-Berasa diri mempunyai hak untuk membuat keputusan.
-Kurang rasa empati terhadap orang lain.
-Mempunyai sikap cemburu yang melampau terhadap kejayaan seseorang.
-Suka merendah-rendahkan perkara yang dilakukan oleh seseorang.

BACA LAGI: Adam dalam drama ‘Aku Tanpa Cintamu’ memang wujud, ketahui ciri-ciri gangguan personaliti narsistik

Jadi agresif

Mengulas lanjut, pakar itu berkata, seperkara tentang golongan narsistik, mereka mempunyai satu perangai iaitu tidak boleh menerima teguran orang lain.

“Mereka juga akan fikir diri sendiri saja betul dan hal itu akan buatkan golongan itu menjadi angkuh,“ katanya.

Memperhalusi penyebab berlakunya NPD, Cleveland Clinic dalam penulisan yang dimuat naik mengatakan, seseorang yang mempunyai trauma terdahulu terutamanya sewaktu kecil sama ada didera secara fizikal, seksual atau lisan, cenderung untuk mengalami gangguan personaliti itu.

Tambah laman perubatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu, punca terjadinya NPD juga boleh disebabkan hubungan awal di antara ibu bapa, rakan dan saudara mara dan keturunan.

Bersetuju dengan kenyataan berkenaan, Dr Ahmad Rostam berkata, secara umumnya, individu narsistik terdiri daripada mereka yang kurang kasih sayang dan perhatian.

Menjelaskan lebih terperinci, pakar berpengalaman tersebut berkongsi dua jenis NPD yang biasanya terjadi. Antaranya:

Grandiose narcissist: Individu dalam kumpulan itu ialah mereka dilayan dengan baik sewaktu kecil dan sentiasa dapat apa yang diinginkan.

Vulnerable narcissist : Mereka yang didiagnosis dengannya adalah disebabkan oleh peristiwa lampau yang buruk seperti menjadi mangsa dera.

Menurut Dr Ahmad Rostam, golongan grandiose narcissit sentiasa mahu diberi perhatian persis pada zaman kanak-kanak yang pernah dilaluinya.

Jika apa yang didambakan tidak diperoleh, mereka boleh bertindak agresif.
“Seseorang dalam kategori vulnerable narcissist pula akan cuba untuk mengelak peristiwa lampau dari berulang kembali. Atas faktor itu mereka mudah berasa cemas dan marah jika diperlakukan seperti hamba,“ ujarnya.

Pengaruh media sosial

SinarPlus turut menemubual Pakar Perunding Psikologi, CPC International, Dr Noor Aishah Rosli.

Dr Noor Aishah mendedahkan, platform media sosial boleh mempengaruhi seseorang untuk memiliki sikap narsistik.

“Pada masa kini, kita boleh lihat ramai orang menggunakan medium media sosial sebagai tempat untuk berkongsi aktiviti harian. Dengan berbuat demikian, individu NPD terutamanya akan rasakan diri mereka secara tidak langsung mampu meraih perhatian ramai orang,“ katanya.

Memperkukuhkan lagi fakta yang diutarakan, jurnal bertajuk Visual Social Media Use Moderates the Relationship Between Initial Problematic Internet Use and Later Narcissism yang diterbitkan pada 2018 menyatakan, individu yang berkongsi gambar di laman sosial cenderung mempunyai NPD.

Kajian tersebut antara lain telah menemu bual 74 responden yang berumur 18 hingga 34 tahun. Dalam tempoh empat bulan, pengkaji menggunakan piawaian Narcissistic Personality Inventory untuk mengukur sifat narsistik setiap ahli daripada kumpulan itu.

“Hasil penyelidikan mendapati, seseorang yang berkongsi foto dan suka berswafoto menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus sifat narsisistik dalam diri mereka,“ kata jurnal berkenaan.

Journal Narcissism and Social Networking Web Sites pula melaporkan, sifat berkenaan mula terbentuk apabila seseorang mengetahui keupayaan media sosial yang boleh menambat perhatian warga maya yang tidak terhitung jumlahnya.

“Biasanya komuniti itu akan menggunakan platform seperti Facebook atau TikTok untuk mempromosikan diri dengan tujuan untuk menambah lebih ramai pengikut,“ kongsi jurnal dari Amerika Syarikat itu.

Persoalannya, adalah penghidap NPD boleh mengubah tabiat yang sudah sebati dengan jati diri mereka?

Iklan

Menjawab persoalan tersebut, ujar Dr Noor Aishah, cara untuk merawat golongan berkenaan memerlukan kesabaran yang tinggi terutama dalam kalangan individu yang rapat dengan mereka.

“Misalnya, NPD terjadi kepada seorang wanita yang sudah berkahwin, si suami perlu bantu dan beri sokongan kepada isteri untuk menjalani terapi.

“Ia bukanlah satu proses yang mudah kerana NPD memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya dan paling penting penghidap tidak boleh melangkau jadual terapi yang telah ditetapkan,“ ungkapnya.

 

Berikut antara rawatan yang boleh diberikan kepada penghidap NPD, antaranya:

-Terapi tingkah laku kognitif: Ia merupakan terapi yang digunakan untuk mengubah corak pemikiran dan tingkah laku yang tidak sepatutnya.
-Pemberian ubat-ubatan: Tidak semua individu yang ada NPD dibekalkan ubat-ubatan. Biasanya ia diberikan hanya untuk mengurangkan rasa cemas.
-Terapi berkumpulan: Terapi berkumpulan merupakan idea yang terbaik kerana ia membuatkan golongan berkenaan berasa tidak berseorangan.

Nasihat Dr Noor Aisyah, orang ramai seharusnya tidak membiarkan individu dengan NPD hanyut dalam dunia mereka sendiri.

“Walaupun sikap yang ditonjolkan oleh mereka menyakitkan hati, tetapi sebenarnya setiap daripada mereka memerlukan bantuan sewajarnya.
“Sebagai individu paling hampir, anda perlu berusaha untuk membawa mereka menjalani terapi,“ tuturnya.

BACA JUGA: Ada sebab mengapa anak-anak tak dengar cakap ibu dan bapa. Ketahui punca-puncanya

BACA JUGA: Kenapa si anak susah nak dengar cakap mak ayah? Ini tip jadi ibu bapa yang awesome

#kesresponden

3 kali gagal dalam perkahwinan, tak pernah ada kerja tetap

SUDAH berkahwin tiga kali, namun setiap kali mahligai dibina, ia akan hancur pada pertengahan jalan.

Iklan

Demikian cerita seorang pesakit wanita yang dirawat oleh Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Ahmad Rostam Md Zin, yang menghidap masalah gangguan personaliti narsistik (NPD).

Berkongsi cerita dengan SinarPlus, Dr Ahmad Rostam berkata, pada asalnya, wanita berkenaan hadir mengadakan konsultasi dengannya bukan atas kesedaran diri sendiri. Namun, beliau telah dipaksa oleh ahli keluarga.

“Pada mulanya, saya memang tidak tahu bahawa pesakit saya ini merupakan penghidap NPD sehinggalah saya mendengar segala yang diceritakan. Gaya percakapannya memang berbeza berbanding manusia normal.

“Apa yang saya lihat dia terlalu berbangga diri dengan pencapaian yang dia miliki. Menerusi perbualan itu juga, saya dapat lihat secara kasar bahawa dia mempunyai ciri-ciri NPD,“ katanya.

GAMBAR hiasan.

Sebagai langkah awal, Dr Ahmad Rostam mengumpul maklumat daripada pesakit. Selepas itu, beliau menjalankan soal jawab bersama ahli keluarga dan rakan terdekat pesakit.

“Setelah saya membuat analisa, segala yang diberitahu oleh wanita itu dilihat tidak seimbang dengan apa yang diceritakan oleh individu yang hampir dengannya.

“Jika wanita tersebut maklumkan bahawa dia seorang ibu dan isteri yang baik, mengapa anak-anak tidak mahu tinggal bersamanya dan ikatan pernikahan gagal di tengah jalan? Dengan meneliti segala susunan jalan cerita, saya dapati bahawa pesakit ini sah menderita NPD,“ ujarnya.

Bercerita lanjut, Dr Ahmad Rostam berkata, selepas diselidiki lebih mendalam rupa-rupanya punca penceraian wanita itu dengan tiga orang bekas suaminya adalah disebabkan sikap besar kepala yang terlalu menonjol.

“Sepanjang perkahwinan, saya difahamkan wanita itu tidak pernah setuju dengan keputusan yang dibuat oleh si suami. Segala arahan dan keputusan, dia yang putuskan, bukan ketua keluarga.

“Tak hanya itu sahaja, dia juga kurang gemar sekiranya orang lain mendapat perhatian lebih daripadanya. Pesakit ini juga tidak boleh terima kenyataan jika si suami dinaikkan pangkat,“ tuturnya.

Angkara sikap narsistik yang wujud dalam diri sejak sekian lama telah membuatkan orang sekeliling tidak selesa dengannya. Lebih menyedihkan, wanita berkenaan tidak pernah mempunyai kerja tetap. -SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

BACA LAGI: 8 panduan yang betul untuk bercakap dengan anak supaya mendengar kata

BACA LAGI: 7 tanda anda ibu bapa narsistik, jangan sampai hidup anak jadi tertekan

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.