LAZIMNYA, ketupat pulut dibuat menggunakan daun palas, namun dek kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang wanita menjadikan daun pisang sebagai pengganti.

Idea unik itu lahir daripada kreativiti Aishah Sofiah Mohamad, 33.

Kata Aishah, beliau mahu menggandingkan juadah ‘baharu’ itu yang lekat dengan nama ketupat PKP dengan sajian rendang kaki ayam. Wah, memang kecur air liur dibuatnya!

Kepada SinarPlus, wanita itu memberitahu, juadah tersebut sangat menjentik hatinya. Masakan tidak, ketupat palas yang menjadi kegemaran tujuh beradiknya merupakan salah satu resipi berharga peninggalan air tangan arwah ibu tersayang, Halijah Shafein.

ketupat pkp

“Bila sebut ketupat palas, perasaan rindu dengan arwah sangat membuak-buak lebih-lebih lagi ketika memasak hasil resipi yang diperturunkan kepada kami,” katanya dalam nada sebak.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, pada tahun-tahun sebelumnya, beliau mendapatkan daun palas di hutan berhampiran kampungnya di Pahang.

“Bila seminggu nak raya, saya tengok susah betul nak cari daun palas. Di kampung saya di Pahang ada, tetapi disebabkan PKP, sesiapa pun tak boleh merentas negeri.

“Jadi, bila saya nampak pokok pisang, saya terfikir sesuatu. Mengapa tidak saya gunakan alternatif lain iaitu daun pisang sebagai ganti?” katanya.

ketupat pkp

Ternyata percaturannya berhasil. Namun, bagaimana cara memasaknya? Samakah seperti memasak ketupat daun palas?

Menurut Aishah, cara melipat ketupat menggunakan daun pisang sama tekniknya seperti daun palas.

“Daun pisang akan dipotong mengikut saiz yang sesuai, memang banyak kerja sedikit, tapi tak mengapa,” katanya.

Artikel berkaitan: Ini resipi ayam varuval untuk PM

Ujar beliau lagi, cara memasaknya juga sama iaitu direbus atau dikukus selama lebih kurang sejam.

Aishah berkata, kalau diikutkan, boleh sahaja beliau dan ahli keluarga tidak menyenaraikan ketupat daun palas sebagai sajian pagi raya. Namun, mengenangkan arwah ibunya, beliau tetap gigih membuatnya walau dengan sedikit kelainan.

“Kalau di kampung, biasanya ketupat ini hanya dibuat masa musim raya,“ ujarnya.

Iklan

Kata-kata ibunya dalam loghat Kedah yang berbunyi, ‘hangpa kena belajaq buat ketupat ni, kalau aku dah tak dak nanti senang tak payah nak susah-susah dok beli. Aku ni bukan selamanya hidup‘ tetap dikenang selama-lamanya.

Namun, ujar Aishah, idea menggunakan daun pisang untuk ketupat palas tidak kurang hebatnya!

ketupat pkp

RESIPI KETUPAT PALAS

Bahan-bahannya:

Iklan
  • Beras pulut
  • Santan pekat
  • Sedikit garam

Cara-caranya:

  1. Masak santan sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan garam dan pulut.
  3. Kacau sampai kering dan balut dengan daun pisang.
  4. Kukus sehingga pulut lembut.

RESIPI RENDANG KAKI AYAM

Bahan-bahannya:

  • 1 kilogram kaki ayam *
  • 4 batang serai *
  • 2 inci halia*
  • 2 inci lengkuas*
  • Cili padi ikut kepedasan*
  • 6 ulas bawang putih*
  • 5 labu bawang merah*
  • Kerisik (guna 1 biji kelapa)
  • 1 kotak santan (jenama Kara)
  • Garam
  • Gula
  • Ajinomoto (penyedap rasa)
  • Daun limau purut
  • Daun kunyit

Cara-caranya:

  1. Goreng kelapa parut sampai garing keperangan.
  2. Tumbuk sampai keluar minyak (untuk kerisik)
  3. Kisar semua bahan bertanda (*) dan tumis sampai pecah minyak.
  4. Masukkan daun limau purut, kerisik dan kaki ayam.
  5. Biarkan masak sampai empuk sebelum masukkan santan.
  6. Masukkan perasa dan masak sehingga kering.
  7. Tabur hirisan daun kunyit dan siap untuk dihidangkan.