KISAH Putera Al Waleed Khaled yang masih dilaporkan koma sejak tahun 2005 sememangnya menakjubkan.

Jika dicongak, anak saudara kepada jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal itu sudah 17 tahun tidak sedarkan diri sehingga sekarang.

Menurut laporan media antarabangsa, Putera Al Waleed yang digelar sebagai Putera Tidur telah dimasukkan ke hospital akibat kemalangan dan masih diberi bantuan mesin sokongan hayat.

Selain Putera Al Waleed, cerita wanita dari Emirah Arab Bersatu, Munira Abdullah turut menyentuh perasaan.

Kredit foto: RODNAE Productions

Selepas dilaporkan koma sejak tahun 1991 juga disebabkan kecederaan akibat kemalangan jalan raya, wanita itu tersedar dan mendapatkan hidupnya kembali selepas 27 tahun sebaik terdengar anak lelakinya bertekak di dalam bilik wad.

Kepada The National, Omar Webair berkata, selepas setahun dirawat di Jerman iaitu pada tahun 2018, ibunya membuat bunyi aneh dan tiga hari kemudian berupaya memanggil nama beliau.

Merujuk kepada istilah perubatan, koma merupakan satu situasi yang dialami oleh seseorang ketika dalam keadaan tidak sedar.

Kredit foto: Anna Shvets 

Difahamkan, jangka masa untuk seseorang terjaga kembali bergantung kepada penyebab terjadinya perkara itu.

Persoalannya, seseorang boleh berada dalam keadaan koma sehingga takat mana?

Setahun, dua tahun 20 tahun atau lebih dari itu? Adakah kondisi berkenaan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami kematian otak?

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, kami menghubungi Pakar Perubatan Dalaman dan Neurologi, Columbia Asia, Dr Guek Tai Yan.

Kredit foto: RODNAE Productions

Terang Dr Tai Yan, koma bukanlah satu penyakit, tetapi ia merupakan satu keadaan yang menyebabkan seseorang tidak sedar, tidak memberi tindak balas dan gagal melakukan sebarang arahan.

“Salah satu sistem terpenting dalam otak yang bertugas membangunkan kita disebut sebagai sistem pengaktifan reticular. Jika ia terjejas, maka saat itulah terjadinya koma,“ katanya.

Ujar pakar itu lagi, koma boleh terjadi berdasarkan beberapa faktor. Pada kebiasaannya, ia melibatkan gangguan pada struktur dalam otak.

“Pendarahan pada otak, jangkitan kuman, pengambilan dadah berlebihan, alkohol dan penyakit autoimun merupakan antara sebab berlakunya koma,“ katanya.

Kredit foto: Anna Shvets

Untuk mengenali seseorang yang sedang koma, berikut sifat-sifat lazim ditonjolkan. Antaranya seperti:

  • Mata tertutup.
  • Batang otak tertekan seperti tiada tindak balas terhadap cahaya.
  • Tiada tindak balas anggota badan kecuali pergerakan refleks.
  • Tiada respons terhadap rasa sakit.
  • Pernafasan menjadi tidak teratur.

Punca ‘tidur panjang‘

Dr Tai Yan turut membincangkan mengenai perbezaan antara koma yang terjadi disebabkan encephalopathy toksik metabolik, keadaan vegetatif yang berterusan dan akibat daripada perubatan.

Ujar beliau, encephalopathy toksik metabolik berpunca daripada penyakit atau toksik yang menyebabkan otak tidak berfungsi termasuklah jangkitan pada kawasan otak (encephalitis), kegagalan buah pinggang, hypoglycaemia (gula rendah) dan sebagainya.

Kredit foto: MART PRODUCTION

“Untuk keadaan vegetatif berterusan, ia merujuk kepada situasi koma yang menyaksikan seseorang tidak sedar dan tidak mampu bergerak, tetapi masih boleh bernafas, jantung berdegup dan organ lain tetap berfungsi,“ katanya.

Beritahu pakar itu lagi, penggunaan istilah koma adalah tidak tepat untuk menerangkan keadaan seseorang yang tidak sedar disebabkan ubat-ubatan.

Menjawab persoalan jangka masa seseorang itu koma, beritahu Dr Tai Yan, ia bergantung kepada punca, keterukan dan tahap kerosakan saraf dalam otak seseorang.

“Kadangkala, seseorang boleh sedar selepas beberapa hari koma. Ada juga yang mengambil masa berminggu-minggu atau bertahun untuk terus berada dalam keadaan sebegitu.

“Berlaku juga kes kematian selepas koma. Ia mungkin disebabkan berlakunya jangkitan atau kegagalan organ dalaman badan untuk berfungsi. Oleh itu, pemantauan rapi daripada doktor perlu untuk individu pulih sepenuhnya,“ katanya.

Kredit foto: MART PRODUCTION

Mengulas mengenai kes yang terjadi ke atas Putera Al Waleed Khaled, Dr Tai Yan menyifatkan kejadian seumpama itu memang jarang berlaku.

“Namun demikian, penting untuk kita tahu kerosakan otak yang bagaimana terjadi kepada beliau termasuk punca yang menyebabkan pakar merawatnya mengambil masa begitu lama untuknya sedar.

“Kebarangkalian penyakit yang dihidapi pesakit juga membolehkan otak untuk membaiki kerosakan dan selepas itu barulah beliau akan sedar dan sembuh,“ katanya.

Sokongan moral & komunikasi

SinarPlus turut mendapatkan pandangan Pakar Bedah Am, Hospital Pantai Laguna, Kedah, Dr Husna Syakirah Ab Rahman.

Kredit foto: RODNAE Productions

Ditanya adakah seseorang yang ‘terlalu lama tidur‘ akan mengalami kematian otak (brain death) dan adakah mereka masih mempunyai peluang untuk sembuh?

Jawab pakar itu: “Seseorang yang berada dalam keadaan koma yang mendalam ataupun keadaan vegetatif tidak berdepan dengan situasi itu.

“Dalam keadaan itu, pesakit masih mempunyai peluang untuk pulih walaupun tidak sepenuhnya kerana kecederaan otak yang dialami boleh menyebabkan ketidakupayaan pesakit untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian.“

Mengulas lanjut, ujar Dr Husna Syakirah, terdapat tiga peringkat kesedaran yang dilalui oleh pesakit selepas koma iaitu:

Kredit foto: Pavel Danilyuk

i) Peringkat pertama

  • Pada fasa ini, seseorang akan memberi respons yang sangat perlahan.
  • Pesakit akan mula membuka mata sendiri tanpa dikejutkan.
  • Pesakit juga akan menunjukkan fungsi terjaga, tetapi tidak memberi tindak balas kepada keadaan sekeliling dan memberi pandangan ‘kosong‘.

ii) Peringkat kedua

  • Pesakit mula memberi reaksi kepada bunyi atau cahaya, tetapi majoritinya masih belum boleh memahami perkara sekeliling yang berlaku.
  • Pesakit dalam keadaan bingung. Pada tahap ini, mereka sudah sedar dan boleh menjawab soalan, tetapi masih lemah.

iii) Peringkat ketiga

  • Pesakit mula memahami keadaan sekeliling dan boleh memberi reaksi kepada sesuatu perkara.
Kredit foto: Pixabay

Dalam pada itu, ujar Dr Husna Syakirah, meskipun golongan itu dilihat seperti tidur dan hanya terbaring di atas katil, masih terdapat risiko yang boleh tercetus jika durasi komanya terlalu lama.

Antara komplikasi boleh dihadapi adalah seperti paru-paru dijangkiti kuman disebabkan sentiasa terbaring.

“Bukan itu sahaja, pesakit juga sukar bernafas atau batuk untuk mengeluarkan kahak. Luka (pressure sore) juga boleh terjadi. Jika di hospital, biasanya jururawat akan membantu memusingkan badan pesakit bagi mengelakkan hal-hal itu berlaku,“ katanya.

Pada masa sama, ungkap pakar berkenaan, otot juga boleh mengecil kerana pesakit tidak menggunakan sepenuhnya (otot) untuk melakukan sebarang pergerakan.

Kredit foto: Ryutaro Tsukata

Sehubungan itu, Dr Husna Syakirah mencadangkan agar proses rehabilitasi dan fisioterapi kerap dilakukan ke atas pesakit untuk mengelakkan kaki atau tangan mereka menjadi keras.

Dari satu sudut, seandainya ada pihak yang menyatakan berkomunikasi dengan pesakit koma hanya membuang masa, lemparkan jauh-jauh pandangan negatif itu.

Beritahu Dr Husna Syakirah, bertutur dengan mereka sebenarnya merupakan salah satu metodologi untuk membantu kelompok itu sembuh.

Iklan

“Ahli keluarga sangat digalakkan untuk sentiasa bercakap dengan pesakit seperti menunjukkan gambar-gambar lama untuk membuat mereka mengingati kembali kenangan dulu.

Kredit foto: SHVETS production

“Selain membaca, sentuhan juga sangat membantu dalam memberi rangsangan kepada mereka sedar dan pulih daripada koma,“ katanya.

National Health Services (NHS), United Kingdom senada dengan pakar berkenaan.
Kongsi NHS, merujuk penyelidikan, mengusap mana-mana anggota badan dapat merangsang deria utama pesakit.

“Selain bercakap dan memegang tangan, anda mungkin boleh memainkan muzik kegemaran mereka dengan memasang fon kepala, meletakkan bunga di dalam bilik atau menyembur minyak wangi kegemaran pesakit,“ kata NHS.

Sementara itu, kongsi jurnal Scientific Reports, pendengaran pesakit koma masih berfungsi dengan baik.

“Mereka masih terus memproses suara dengan cara yang sama ketika masih sihat. Kata-kata yang diucapkan orang sekeliling mungkin masih didengari dan dapat membantu menghibur mereka sebelum pergi meninggalkan dunia,“ kata jurnal itu. -NUR SUHAIMA NORDIN

Baca juga: Kepala kanak-kanak terhentak di lantai beri implikasi serius. Ini ibu bapa perlu tahu

Baca juga: Glaukoma boleh ‘bunuh’ penglihatan, sesiapa pun tak kira umur boleh mendapat penyakit mata ini

#kesresponden

DOKTOR JANGKA 2 TAHUN KOMA, TAPI AMIR MOHSIN SEDAR SELEPAS 6 BULAN

Kredit foto: Anna Shvets

KEMALANGAN merupakan salah satu tragedi yang mengakibatkan seseorang boleh koma.

Sama ada peluang untuk seseorang untuk terus sedar dan sembuh seperti sedia kala adalah bersandarkan kepada punca dan tahap keterukan kondisi mereka.

Namun, terlalu banyak cerita tentang keajaiban dan kesudahan yang menggembirakan yang berlaku dalam kalangan pesakit koma. Biasanya, mereka dikhabarkan sudah tiada harapan untuk hidup, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Iklan

Salah satu individu yang bernasib baik itu ialah Amir Mohsin Mohd Bahrudin, 33.

“Doktor menjangkakan saya akan koma selama lebih kurang dua tahun, tetapi dengan kuasa ALLAH, saya sedar setelah enam bulan koma di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan,“ kata graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tokai, Jepun itu dengan nada kesyukuran.

Ketika dihubungi, Amir Mohsin tidak keberatan untuk mengimbau momen lama yang masih segar terpahat dalam ingatannya.

Ceritanya, insiden yang tercetus pada tahun 2018 itu terjadi ketika beliau sedang memandu kereta di kampungnya. Tanpa semena-mena kemalangan berlaku sehingga menyebabkan otaknya mengalami gegaran (Traumatic Brain Injury).

“Setelah dimasukkan ke hospital, doktor memberitahu keluarga bahawa peluang untuk saya sedar amat tipis. Ya, walaupun sedar, saya akan terlantar seumur hidup kerana Glasglow Coma Scale (GCS) saya berada pada tahap rendah,“ katanya.

GCS merupakan skala yang dipakai untuk mengetahui tingkat kesedaran seseorang.
Ditanya apakah perkara yang diingatinya sepanjang berada dalam keadaan koma, Amir Mohsin memberitahu, beliau sering bermimpi tentang kiamat.

“Sebahagian mimpi lain saya tak ingat. Namun apa yang pasti, sebelum sedar daripada koma, saya bermimpi dikejutkan jemaah untuk solat Zuhur,“ ujarnya sambil menambah, beliau juga sering mendengar orang bercakap dengannya dan akan mengalirkan air mata.

Kini, usahawan jenama busana jenama Hijabistaluxe masih menjalani fisioterapi di rumah walau sudah empat tahun sedar daripada ‘lena yang panjang‘.

“Saya dimaklumkan, ketika koma, saya diberi rawatan sama (fisioterapi) bagi mengelakkan kaki saya keras. Itu menjadi penyebab saya boleh berjalan dengan cepat selepas sedar,“ ujarnya yang bercadang untuk menubuhkan satu Persatuan Sokongan Orang Kurang Upaya atau P-SOKU untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Baca juga: 3 mitos tentang diabetes yang menjadi punca kes makin tinggi. Ini yang perlu pesakit elak

Baca juga: Kes sakit jiwa di Malaysia semakin merisaukan. Kenali gejala skizofrenia yang jadi penyebab penderita bunuh diri

Kredit foto utama: cottonbro 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi