KATARAK, mata kering dan merah, rabun dekat atau jauh, konjunktivitis serta ulser kornea adalah beberapa masalah kesihatan mata yang biasa diketahui umum. Namun, terdapat satu lagi kondisi berbahaya dan ramai yang terlepas pandang. Ia merujuk kepada glaukoma.

Merujuk Mayo Clinic, Amerika Syarikat (AS), glaukoma merupakan penyakit saraf (pada bahagian belakang mata) dan ia terjadi disebabkan tekanan tinggi pada mata. Keadaan tersebut boleh membuatkan seseorang hilang penglihatan dan mungkin boleh buta.

Tekanan yang dimaksudkan itu adalah proses bagi mengekalkan bentuk bola mata. Tahap tekanan normal adalah antara 10-21mmHg.

Ujar laman perubatan itu lagi, berdasarkan diagnosis yang dijalankan, kelazimannya pesakit tidak menunjukkan tanda-tanda awal sehinggalah urat mata mengalami kerosakan teruk dan menyebabkan medan penglihatan menjadi terhad.

Kredit foto: Anna Shvets

Glaukoma juga kata Mayo Clinic adalah antara punca utama kebutaan bagi golongan yang berusia 60 tahun ke atas.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2020) mendedahkan, terdapat sekitar 23 juta penduduk di seluruh dunia yang menderita glaukoma

Di AS sahaja, Department of Health and Human Services melalui kajian mereka yang bertajuk Reduce Vision Loss From Glaucoma memaklumkan, dianggarkan seramai 13 daripada 1,000 orang dewasa yang berumur 45 tahun ke atas mempunyai krisis kesihatan tersebut.

Sementara itu, di Malaysia, tiada data terkini yang dikeluarkan. Namun, berdasarkan penyelidikan National Eye Institute pada tahun 2014, penyakit glaukoma merupakan penyebab kebutaan ketiga iaitu sebanyak 7 peratus selepas katarak (58 peratus) dan diabetes (10 peratus).

Kredit foto: Subin

Bagi mengulas lanjut mengenai topik berkenaan, SinarPlus mewawancara Pakar Mata, Ikonik Eyes Specialist and General Health Centre, Dr Noor Aniah Azmi.

Terlebih dahulu, kata Dr Noor Aniah, saraf optik di belakang mata manusia normal berbeza dengan mereka yang menghidap glaukoma.

“Kebiasaannya, keadaan urat penghidap akan menjadi semakin menipis dan berkurang sehingga menyebabkan golongan itu tidak berupaya untuk melihat sedikit demi sedikit.

“Penglihatan itu juga akan terlihat seperti berada di dalam terowong kerana hanya berupaya untuk melihat benda yang ada di hadapan mata sahaja. Keupayaan untuk melihat dari sisi telah hilang,“ katanya.

Beritahu pakar itu lagi, mereka yang mempunyai keturunan berpenyakit glaukoma, tahap rabun tinggi, penghidap kencing manis dan individu berusia 50 tahun ke atas berisiko untuk menghidap masalah kesihatan itu.

Mengenai gejala glaukoma yang perlu diwaspadai adalah seperti berikut:

  • Nyeri pada mata dan sakit kepala.
  • Penglihatan yang makin menyempit sehingga akhirnya tidak dapat melihat objek sama sekali.
  • Mual atau muntah.
  • Mata kemerahan.
  • Mata berkabut (khususnya pada bayi).
  • Melihat bayangan lingkaran di sekeliling cahaya.

Bahaya ubat titis mata

Kredit foto: Victoria Akvarel

Ketika ditemui, Dr Noor Aniah mahu memperbetulkan tentang salah faham banyak pihak mengenai glaukoma.

Jelasnya, masalah itu sebenarnya tidak hanya disebabkan oleh tekanan di dalam mata. Ini kerana terdapat individu yang didiagnosis mempunyai penyakit itu, tetapi bukan disebabkan tekanan.

“Ia boleh terjadi ‘angkara‘ dua perkara lain iaitu masalah fungsi medan penglihatan dan urat saraf yang kelihatan pucat,“ jelasnya.

Secara asasnya, glaukoma terbahagi kepada dua iaitu jenis primer dan sekunder.
Penyakit mata jenis primer berlaku disebabkan oleh struktur saraf optik dan ia terbahagi kepada dua kategori:

  • Glaukoma sudut terbuka: Sudut saliran di antara kornea dan iris terbuka. Ia berpunca daripada penyumbatan separa pada trabecular meshwork. Situasi itu akan mendorong kepada peningkatan tekanan mata secara perlahan-lahan.
  • Glaukoma sudut tertutup: Penyumbatan disebabkan oleh sudut saluran telah ditutup atau iris menonjol dan menyekat saluran cecair. Terjadi perlahan-lahan, tetapi boleh juga secara tiba-tiba dan menyebabkan kesakitan pada mata serta kurang penglihatan.
Kredit foto: Karolina Grabowska

Sementara itu, ujar Dr Noor Aniah, glaukoma sekunder pula biasanya berpunca daripada tindakan seseorang individu yang memakai ubat titis mata yang mengandungi steroid, traumatik dan keradangan.

Selain itu, merujuk Healthline, situasi itu juga boleh tercetus kerana pengambilan dadah atau masalah kesihatan lain seperti diabetes dan darah tinggi.

Adakah si cilik berpotensi mendapat glaukoma? Jawapannya, ya. Ungkap Dr Aniah, jika bayi mahupun kanak-kanak dikesan menghidap glaukoma sejak dari kecil, kondisi itu dikenali sebagai glaukoma kongenital.

Cara untuk mengesahkan mereka menghidap penyakit itu adalah apabila mata mereka berair dengan berlebihan, sensitif terhadap cahaya dan bahagian kornea (pada mata hitam) menjadi tidak jernih, dan kadangkala boleh menjadi terlalu besar.

“Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh didiagnosis dengan glaukoma kerana ia sejenis penyakit yang sukar untuk dikesan pada peringkat awal dan tiada petanda jelas seseorang bakal menderita masalah saraf itu,“ katanya yang menyarankan individu yang berusia 40 tahun ke atas untuk melakukan pemeriksaan mata untuk menyaring penyakit mata seperti glaukoma.

Elak jamu, suplemen mengarut

Kredit foto: Nataliya Vaitkevich

Bagi menelusuri informasi berkaitan dengan rawatan glaukoma, SinarPlus menemubual Pakar Perunding Oftalmologi Umum dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan MSU, Shah Alam, Selangor, Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah.

Ujar beliau, lazimnya doktor akan mengimplemenkan kaedah seperti ubat titis mata dan rawatan laser.

Namun jika kedua-dua kaedah itu tidak berhasil dalam menghentikan kerosakan saraf, maka jalan terakhir yang akan digunakan adalah melalui pembedahan yang dipanggil trabeculectomy.

Prosedur itu antara lain akan membuat saliran baharu untuk bendalir (humor akues) yang ada di dalam mata supaya tidak terlalu banyak dan tidak memberi tekanan yang tinggi kepada saraf optik.

Namun begitu, Dr Azlindarita mengingatkan kepada orang ramai bahawa mereka yang sudah kehilangan keupayaan untuk melihat dengan jelas, rawatan-rawatan tersebut tidak boleh mengembalikan penglihatan seperti sediakala.

Kredit foto: Nataliya Vaitkevich

Kepada SinarPlus, pakar berkenaan memberitahu, cara pemakanan penduduk Malaysia sememangnya boleh mendorong kepada glaukoma.

“Orang kita begitu gemar dan terpengaruh dengan jamu, herba dan suplemen, walhal semua ubatan tersebut tidak diketahui kandungannya secara jelas.

Iklan

“Masyarakat juga perlu memahami bahawa kebanyakan suplemen mengandungi steroid yang boleh memicu tekanan tinggi di dalam mata dan berpotensi menyebabkan seseorang berhadapan masalah penglihatan buta kekal. Ini bukan omongan, ya,“ katanya.

Serentak dengan itu, Dr Azlindarita mengingatkan orang ramai jangan sesekali menjebakkan diri dengan membeli ubat titis mata di pasaran.

“Memang salah satu kaedah merawat penyakit saraf optik itu dengan menggunakan ubat titis, tetapi setelah mendapat preskripsi daripada doktor, bukan semberono. Saya mohon kepada ahli farmasi, jangan sewenang-wenangnya menjual ubat-ubatan terutamanya yang mengandungi steroid. Pesakit perlu dapat pemeriksaan doktor terlebih dulu,“ ujarnya.

Baca juga: Stres, penat, migrain ketika bekerja, itu petanda diri ‘burn out’. Ini 7 cara mengawalnya

#kisahresponden

BAPA DR AZLINDARITA HILANG PENGLIHATAN PADA MATA KIRI, KANAN SEDANG DALAM PENGAWASAN

Kredit foto: Josh Sorenson

PAKAR Perunding Oftalmologi Umum dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan MSU, Shah Alam, Selangor, Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah berkongsi kisah bagaimana bapanya, Datuk Mohd Abdullah Basiron, 78, yang merupakan salah seorang penghidap glaukoma.

Ujar Dr Azlindarita, pada awalnya iaitu sekitar tahun 2011, lelaki itu tiada sebarang petanda kepada masalah tersebut, tetapi sentiasa melihat objek berterbangan di dalam mata.

Lama-kelamaan, bapa beliau mengadu mata kirinya seperti hilang keupayaan untuk melihat dengan menyeluruh.

“Kejadian itu berlaku sehari sebelum raya dan pada waktu yang sama negara sedang dilanda Covid-19 (tahun 2021). Apabila menerima panggilan telefon daripada ayah yang mengatakan mata sebelah kirinya tidak boleh melihat ketika pemeriksaan dilakukan, saya jadi celaru. Saya mahu melawatnya, tetapi Perintah Kawalan Pergerakkan sedang dijalankan,“ ujar Dr Azlindarita yang sedikit terkilan kerana tidak berpeluang menyelamatkan pancaindera bapanya, meskipun beliau ialah seorang pakar mata.

Iklan
Kredit foto: <a href

Selepas didiagnosis oleh doktor lain, Mohd Abdullah disahkan mengalami keradangan di dalam mata dan ia merupakan salah satu punca kepada glaukoma.
Menurut pakar tersebut, ayahnya penghidap glaukoma sekunder dalam kategori Uveitic Glaucoma (UG).

“Keradangan akan mendorong peningkatan sel darah putih di dalam mata sehingga aliran bendalir humor akueus tidak dapat disalur keluar kerana saluran (trabecular meshwork) itu telah tersekat. Masalah yang timbul itu telah mengakibatkan tekanan di dalam bebola mata menjadi tinggi,“ katanya.

Meskipun, radang mata yang dihidapi Mohd Abdullah berjaya dikawal, namun tekanan di dalam mata tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Disebabkan itu warga emas berkenaan masih berdepan dengan masalah UG dan memerlukan pengambilan ubat titis mata untuk mengelak situasi menjadi lebih teruk.

Kini, Mohd Abdullah masih lagi berada dalam proses rawatan bagi mengawal glaukoma yang ada pada mata sebelah kanan daripada menjadi lebih teruk.

Baca juga: 3 jenis kopi yang boleh hilangkan ketagihan. Ketahui juga baik, buruk minum minuman ini

Baca juga: Makanan berkeju tinggi kolesterol, boleh menyebabkan serangan jantung

Kredit foto utama: Jan Krnc 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.