PERUBAHAN altitud merupakan salah satu punca ramai orang berhadapan dengan masalah telinga tersumbat.

Keadaan itu sememangnya mendatangkan ketidakselesaan pada tubuh kerana ketika itu deria pendengaran seolah-olah tidak berfungsi dengan baik.

Ia sering berlaku sewaktu kapal terbang baru sahaja berlepas meninggalkan landasan atau melakukan aktiviti mendaki gunung.

Kredit foto: Pexels

Menurut Mayo Clinic, masalah berkenaan terjadi apabila tekanan udara pada telinga tengah dengan tekanan persekitaran tidak seimbang.

Tulis laman perubatan itu lagi, telinga tersumbat boleh berlaku pada kedua-dua belah telinga dan orang ramai tidak boleh ambil mudah sekiranya timbul rasa ketidakselesaan, pendengaran tersekat selama beberapa hari sehingga timbul gejala yang teruk.

SinarPlus kemudian merujuk satu perkongsian Pengasas MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin tentang cara mengatasi kemelut berkenaan dengan menggunakan kaedah vasalva maneuver. Berikut antara saranan yang diberikan:

Kredit foto: Pexels

i) Tutup hidung dengan kaedah mencubit.
ii) Tutup mulut.
iii) Hembus nafas seperti ingin meniup belon.
iv) Lakukan teknik itu kira-kira 15 saat.

Jelas Dr Khairul Hafidz, kaedah itu dapat membantu menyeimbangkan kembali tekanan udara di dalam telinga.

Pun demikian, masalah telinga tersumbat dalam kalangan orang dewasa boleh diatasi dengan mudah kerana mereka tahu cara untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu.

Namun, tidak bagi kanak-kanak kerana keadaan telinga tersumbat dalam kalangan mereka berbeza dengan orang dewasa.

Ini kerana kata Children’s Hospital Los Angeles (CHLA), Amerika Syarikat, kanak-kanak mempunyai lebih banyak tisu dalam adenoid di belakang tekak yang mana ‘berfungsi’ boleh menyekat telinga.

Kredit foto: Pexels

Tambah laman perubatan itu lagi, pembentukan tiub dalam telinga yang membantu menyamakan tekanan juga berbeza di antara kanak-kanak dan orang dewasa.

Baca juga: Anak tak boleh berenggang dengan bantal busuk? Pakar ini saran 5 cara berkesan untuk selesaikan masalah

Tiub telinga kanak-kanak adalah lurus dan tidak melengkung serta mengalir ke bawah.

Justeru, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengelakkan sakit telinga pada si kecil seperti yang disyorkan CHLA. Berikut inti patinya:

i) Ketahui keadaan anak anda, jika mereka selesema atau mengalami jangkitan saluran pernafasan, elak perjalanan menggunakan kapal terbang. Namun, jika tiada pilihan, pastikan si kecil minum dengan banyak sebelum penerbangan.

Kredit foto: Pexels

ii) Sekiranya telinga mereka mula tersumbat, berikan susu botol atau air untuk diminum.

Iklan

iii) Jika anak-anak sudah besar, boleh memahami apa yang diperkatakan, maka galakkan mereka mengunyah sesuatu. Keadah itu perlu dilakukan supaya telinga tersumbat dapat dikurangkan dengan cara menelan, membuka rahang atau menguap sekurang-kurangnya empat kali.

iv) Ibu bapa boleh berikan si kecil straw kecil atau permainan kincir untuk mereka tiup.

v) Kejutkan anak atau bayi yang sedang tidur semasa berlepas dan mendarat kerana telinga boleh menjadi lebih sakit ketika tidur.

Kredit foto: Pexels

Telinga tersumbat mungkin dilihat sebagai perkara yang tidak begitu membimbangkan bagi orang dewasa, tetapi tidak bagi kanak-kanak.

Kena ingat, situasi berkenaan boleh menyebabkan koyakan pada membran timpanum atau gegendang telinga.

Iklan

Justeru, bagi ibu bapa yang ada anak kecil dan ingin melakukan perjalanan menggunakan kapal terbang, pastikan anda tahu cara mengendalikan masalah berkenaan. Jangan sesekali ambil mudah.

Baca juga: Anak terdedah kepada masalah mental jika masih tidur satu bilik dengan mak ayah. Ini kata pakar

Baca juga:  Salah makan ubat, kurang minum air, stres, kafein punca migrain. Ini cara paling ampuh atasinya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan