MUNGKIN kedengaran pelik, tetapi benar. Rakan penulis merupakan seorang yang tidak boleh melihat atau mendengar deruan ombak.

Suasana begitu ujar Ahmad Ikhwan Deraman, 40, akan mengingatkan peristiwa adik beliau yang hampir mati lemas di sebuah pantai.

“Ketika itu, kami sekeluarga menginap di sebuah calet. Kami telah diberi amaran untuk tidak mendekati pantai, apalagi berenang apabila hujan.

“Namun, disebabkan masih bergelar kanak-kanak, keinginan itu tinggi. Sedang seronok mandi-manda, saya tak pasti bagaimana ombak tiba-tiba saja ‘jadi besar‘ dan seolah-olah mahu ‘membaham‘ adik saya.

“Saya menjerit minta tolong, mujur penduduk setempat hulurkan bantuan. Sejak peristiwa itu, bukan sahaja tak boleh dengar atau lihat ombak, sehingga kini, kami tak pernah jejakkan kaki ke pantai lagi,“ katanya.

Perasaan yang dialami Ahmad Ikhwan itu sebenarnya dinamakan sebagai gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD).

PTSD merujuk kepada serangan panik yang dipicu oleh trauma daripada pengalaman pahit pada masa lalu.

Untuk mengulas lanjut mengenai PTSD, SinarPlus menghubungi Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri, Hospital Kulim, Dr Nurul Nadia Ismail.
Ujar Dr Nurul Nadia, definisi PTSD berdasarkan DS-5 Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental adalah salah satu diagnosis psikiatri yang major.

Ia selalunya boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada kejadian-kejadian yang tidak disangka, mengejutkan, menakutkan atau dalam situasi bahaya.

“Hal itu akan menyebabkan mereka rasa seolah-olah nyawa akan terancam dan boleh berlakunya kecederaan fizikal yang serius. PTSD juga kadangkala boleh terjadi disebabkan kekasaran dari segi seksual atau keganasan rumah tangga,“ terangnya.

Berdebar-debar

Mengulas lanjut, Dr Nurul Nadia memberitahu, di negara ini, tiada statistik terkini nasional jumlah pesakit PTSD, namun golongan yang memiliki emosi trauma memang ramai.

Pun demikian, satu penyelidikan yang dilakukan beliau bersama para penyelidik lain terhadap warga emas ketika banjir bah kuning yang melanda Kuala Krai, Kelantan pada tahun 2014 memberi beberapa jawapan bahawa PTSD boleh berlaku tidak mengira peringkat umur.

Hasil kajian mendapati, 35.5 peratus warga emas mengalami simptom trauma yang teruk, manakala 31 peratus daripada mereka mengalami kemurungan akibat malapetaka itu.

Di peringkat global pula, berdasarkan tinjauan sistematik menunjukkan peratusan yang besar pesakit PTSD iaitu daripada 0.6 hingga 44 peratus.

“Bagaimanapun, prevalen itu mempengaruhi banyak faktor iaitu di manakah kajian PTSD itu dilakukan, siapakah mangsa yang telah dipilih dan faktor masa dan bila kajian itu dilakukan?,“ terang Dr Nurul Nadia.

Selaku pakar dalam bidang psikiatri, pastinya beliau banyak mengendalikan pesakit yang mengalami PTSD.

Mengiakan hal itu, pakar itu menceritakan bagaimana beberapa pesakitnya mengaku trauma setiap kali hujan berterusan dan ketika mengetahui berlakunya kenaikan paras air sungai.

“Mereka akan jadi takut, tidur akan tidak semena-mena terganggu, berdebar-debar dan sudah mula bersiap sedia seolah-olah banjir akan berlaku,“ katanya sambil menambah, persediaan banjir itu perlu, tetapi ia tidak sampailah mengganggu fungsi kehidupan seharian seseorang.

Salahkan diri & orang lain

Bagaimana untuk mengetahui adik beradik, saudara-mara atau rakan taulan sedang mengalami PTSD? Dr Nurul Nadia berkongsi empat simptom utamanya iaitu:

i) Gejala imbasan semula

Keadaan yang mana seseorang mengalami gangguan yang hadir berulang-ulang tanpa kerelaan selepas mengalami sesuatu episod trauma.
Kadangkala ia boleh hadir dalam bentuk imbas kembali atau mimpi. Apabila hal itu berlaku, mereka seperti sedang berhadapan dengan kejadian tersebut.
Akibatnya, mangsa mengalami perubahan dari segi fisiologi seperti bertindak melarikan diri dan bernafas dengan laju. Ketika itu, pesakit tidak sedar sebenarnya ia hanyalah memori dan bukan realiti.

ii) Gejala pengelakan

Individu yang mengalami gejala tersebut akan berusaha melupakan atau mengelakkan diri daripada terus-menerus mengingati kejadian lampau.
Mangsa juga akan berusaha melupakan kejadian ngeri dari segi mental dan perbuatan. Antaranya tidak memakai pakaian sama seperti dalam insiden lepas atau sesekali tidak akan melalui jalan atau tempat terjadinya hal itu.
Sebagai contoh, mangsa banjir berkemungkinan lebih takut kepada hujan lebat dan guruh.

iii) Perubahan negatif kepada kognitif

Individu akan merasakan dunia bukan lagi tempat yang selamat untuknya dan tiada sesiapa pun yang dapat membantu selain diri mereka sendiri.
Gangguan itu juga boleh menyebabkan mangsa menyalahkan diri sendiri atau menunding orang lain di atas sesuatu kejadian yang menimpanya. Mereka juga mempunyai sikap mahu seseorang bertanggungjawab terhadap peristiwa tersebut.

iv) Peningkatan kepekaan deria
Golongan itu biasanya mempunyai rasa syak wasangka, tindak balas keterlaluan terhadap sesuatu perkara, mudah terkejut dan lebih berjaga-jaga.
Pesakit biasanya menjadi pemarah dan seringkali cuba merosakkan diri.
Dalam kebanyakan hal, mereka akan hilang daya fokus dan sukar membuat keputusan. Adakalanya mengalami gangguan tidur.

Dr Nurul Nadia menegaskan, kesemua faktor yang disenaraikan itu bukan sahaja merujuk kepada mangsa banjir, tetapi kepada pesakit PTSD dengan situasi yang berbeza-beza.

“Namun, saya tak nafikan, bagi mangsa banjir yang menghadapi bencana alam itu buat pertama kali, sebagai contoh di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, risiko traumanya lebih besar berbanding mereka yang pernah mengalaminya.

“Masakan tidak, mungkin ada yang kehilangan ahli keluarga, harta benda musnah sama sekali atau berdepan dengan penyakit bawaan air yang tidak pernah mereka hadapi seumur hidup mereka sebelum ini,“ jelas beliau.

Sokongan psikososial

SinarPlus kemudian memanjangkan pertanyaan kepada Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri, Hospital UiTM Puncak Alam, Selangor, Dr Nor Hidayah Jaris mengenai solusi terbaik menangani PTSD.
Kata Dr Nor Hidayah, trauma boleh membawa kesan kepada masalah kesihatan mental PTSD sekiranya ia tidak ditangani sejak dari awal dan seharusnya tidak dibiarkan berlarutan lebih dari sebulan.

“Pesakit perlu menjalani rawatan profesional bersama doktor pakar psikiatri dan juga ahli klinikal psikologi.

“Sekiranya enggan berbuat demikian, seseorang boleh mengalami komplikasi penyakit lain yang lebih teruk seperti kemurungan atau kebimbangan yang melampau,“ katanya.

Ditanya durasi masa yang lazimnya diambil untuk proses penyembuhan dan pemulihan, ujar pakar itu, semuanya bergantung kepada individu yang mengalaminya.

Namun, lazimnya ia mengambil masa enam bulan atau lebih.
Dr Nor Hidayah kemudian menarik perhatian SinarPlus apabila berkongsi satu kajian yang dilakukan oleh seorang pakar dari China, Dr Wenjie Dai.

Ujarnya, Dr Wenjie mendapati, 19 peratus mangsa banjir mempunyai gejala PTSD lebih kurang 10 tahun lamanya selepas bencana banjir melanda diri mereka.

“Sememangnya implikasi banjir seperti kehilangan orang tersayang, mengalami kecederaan fizikal, status sosioekonomi yang rendah dan kemahiran terhadap daya tindak yang negatif sangat mempengaruhi kehidupan mangsa,“ katanya yang memberi komentar kepada penyelidikan itu.

Serentak itu juga, Dr Nor Hidayah berkongsi tip kepada mangsa banjir supaya trauma yang dilalui tidak menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan PTSD.

“Saya menyarankan mangsa untuk sentiasa berhubung dengan orang yang tersayang atau terdekat bagi mendapatkan sokongan daripada mereka dalam bentuk emosi dan fizikal.

“Sentiasa amalkan teknik pengurusan emosi yang positif dan mengelakkan diri daripada bersendirian. Sokongan psikososial itu sangat penting untuk membantu mangsa trauma pulih setelah berlakunya peristiwa yang tidak diingini,“ pesannya.

‘Setiap kali mahu pejam mata, saya ternampak air‘

SAIDILA Abdul Rahman, 35, merupakan antara salah satu daripada ribuan mangsa yang diuji dengan musibah banjir yang melanda Batu 13 Kampung Tengah , Puchong, Selangor pada penghujung tahun lalu.

Meskipun sudah beberapa bulan malapetaka itu berlalu, beliau masih dihantui perasaan takut dan berdebar-debar setiap kali hujan.
Ujar Saidila, bah yang baru sahaja berakhir itu adalah terburuk pernah berlaku di kawasannya.

“Setahu saya, kali terakhir yang dikatakan teruk kira-kira 40 tahun lalu. Memandangkan kejadian itu merupakan pengalaman pertama saya, bukan saya sahaja, malah ahli keluarga saya sangat terkejut dan masih trauma.
“Hampir dua hingga tiga minggu lamanya saya tidak dapat tidur malam dengan baik kerana setiap kali mahu pejam mata, saya ternampak air,“ akuinya ketika dihubungi SinarPlus.

Sejak peristiwa pahit tersebut, tatkala hujan, wanita itu akan sentiasa memerhatikan paras air longkang dan sungai berhampiran rumahnya.
“Saya tak tahu kenapa, walaupun ia (paras air) berada dalam keadaan terkawal, saya masih memikirkannya. Kalau hujan, lagilah susah saya nak tidur,“ ujarnya.

Ketika diajak kembali mengimbau detik banjir yang menakutkan itu, Saidila pada mulanya seperti tidak mahu bercerita kembali.
Namun, selepas beberapa ketika, beliau bersuara. Ujar wanita itu, kejadian berlaku sangat pantas dan air bah mengalir sangat deras.
Hampir 90 peratus barangan dalam rumahnya rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

“Ketika itu, lebih 11 jam saya dan tujuh ahli keluarga yang lain terperangkap di dalam stor khemah bersama 50 mangsa lain termasuk bayi dan ada juga antaranya yang lumpuh.

“Saya turut berusaha mendapatkan bantuan dengan menghebahkan melalui media sosial. Manalah tahu pasukan keselamatan dapat kesan lokasi kami walaupun rangkaian internet pada waktu itu sangat lambat.

“Bayangkan, apa yang kami lalui? Memang sukar dan mustahil pengalaman ini boleh dihapuskan begitu saja,“ ujarnya yang mempercayai dirinya sedang mengalami gangguan stres pascatrauma.

ANEKDOT

Alasan mengapa wanita lebih cenderung mengalami PTSD

i) Faktor genetik: Mereka yang mempunyai faktor genetik lebih berisiko mengalami gangguan daripada mereka yang tidak mempunyai faktor genetik.

ii) Keresahan: Kaum wanita lebih mudah mengalami kemurungan dan gangguan emosi sekiranya berada dalam keadaan tekanan.

iii) Faktor psikososial: Bagi sesetengah masyarakat, kedudukan wanita lebih rendah berbanding lelaki.

iv) Jangkaan yang tinggi: Sesetengah pihak menganggap wanita perlu bertindak melebihi daya kekuatan emosi dan fizikal. Oleh itu, mereka mudah mengalami PTSD dan trauma.

v) Mudah menjadi mangsa: Wanita lebih cenderung terdedah kepada perkara berbahaya seperti keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.

Sumber Pakar Psikiatri dan
Ketua Jabatan Psikiatri,
Dr Nurul Nadia Ismail