Nancy Shukri ulas babak dalam drama popular, pesan jangan normalisasi keganasan rumah tangga- 'Wanita jangan diam jika didera'

No Image Caption
A
A
A

“GERAM juga tengok babak dalam Dia Bukan Syurga tu... Tapi itulah hakikat hidup yang ramai wanita hadapi.”

Itu luahan jujur Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang tampil mengulas secara terbuka berhubung salah satu adegan tular dalam drama berkenaan yang kini bersiaran menerusi Slot MegaDrama di Astro Ria.

Menurut beliau, walaupun jalan cerita yang dipaparkan agak ‘kasar’ dan memberi kesan emosi, namun ia sebenarnya membuka ruang kesedaran terhadap isu keganasan rumah tangga yang masih berlaku dalam masyarakat hari ini.

No Image Caption

“Apa yang dipaparkan dalam drama itu boleh dijadikan pengajaran. Wanita perlu sedar, jangan biar diri diperlakukan sebegitu rupa. Ini bukan soal kelemahan, tapi soal seseorang mengambil kesempatan,” tegas Nancy menerusi satu hantaran video di TikTok.

Tak salah nak menjiwai cerita, tapi jangan sampai ikut bulat-bulat

Nancy turut menegaskan, biarpun lakonan dalam drama itu sangat berkesan dan berjaya menggugah emosi penonton, orang ramai tidak seharusnya meniru perlakuan yang dipaparkan, apatah lagi menjadikan ia sebagai contoh dalam kehidupan sebenar.

“Saya harap penonton faham bezakan antara lakonan dan realiti. Jangan ada yang jadikan adegan keterlaluan itu sebagai ‘normal’. Lelaki jangan ikut untuk menindas, dan wanita pula jangan terus berdiam diri bila disakiti,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru agar masyarakat lebih berani bersuara dan campur tangan apabila berlaku situasi penderaan di sekeliling mereka.

“Kadang-kadang orang sekeliling kena buka mulut. Jangan biar mangsa terus hidup dalam ketakutan. Setiap daripada kita ada peranan.”

Tambahnya lagi, ada saluran bantuan, justeru mangsa tidak perlu takut untuk tampil meminta pertolongan.

No Image Caption

Bahkan katanya lagi, mereka yang sedang mengalami penderaan atau tahu ada kenalan menjadi mangsa, Nancy mengingatkan bahawa bantuan sentiasa tersedia, antaranya melalui Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam.

“Kami di kementerian ada pelbagai program sokongan untuk bantu wanita keluar daripada penderaan. Jangan segan untuk telefon, kami bersedia untuk membantu,” katanya.

Sebelum mengakhiri video berkenaan, Nancy turut mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pelakon dan produksi drama itu yang disifatkan berjaya menjiwai watak dengan cemerlang.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pelakon. Lakonan anda memang ‘sampai’. Tapi ingat, lakonan bukan untuk ditiru, biarlah jadi peringatan dan pengajaran," ungkapnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang