KES anak selebriti Emma Maembong yang suka menggigit tangan bapa dan emak saudaranya, Chacha pernah menjadi pendebatan ramai.

Masakan tidak, rata-rata warganet meluahkan kerisauan kononnya perlakuan Shariq Gabriel yang baru berusia setahun ketika itu akan terbawa-bawa sehingga memasuki alam persekolahan.

Pun demikian, masih ada yang berfikiran positif. Kata mereka, perbuatan berkenaan mungkin disebabkan Shariq mengalami gatal gusi.

Pakar psikiatri yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria yang mempunyai jawapan yang konkrit mengenai kes tersebut.

Ujar Dr Rozanizam, tabiat menggigit adalah fasa normal bagi perkembangan kanak-kanak yang berusia di bawah tiga tahun.

Secara umumnya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada sikap tersebut.

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS.

“Sebagai contoh, bayi atau kanak-kanak di bawah umur setahun mungkin berdepan dengan ketidakselesaan atau kesakitan pada gusi semasa tumbuh gigi.

“Justeru, apabila mereka menggigit, ia boleh memberi sedikit kelegaan daripada tekanan yang mereka rasai di dalam mulut,“ katanya.

Reaksi itu sekali gus memberi pencerahan kepada kata-kata netizen yang memberi komentar kepada tingkah laku anak kesayangan pelakon berkenaan.

Golongan tersebut juga kata Dr Rozanizam masih belum memiliki kemahiran lisan untuk menyampaikan perasaan seperti kecewa atau marah dengan berkesan.

Atas sebab itu, mereka menggunakan gigitan sebagai cara untuk meluahkan keperluan, kekecewaan atau emosi yang sedang ‘bergelora‘. Pada masa sama, anak kecil juga masih menggunakan mulut untuk meneroka dunia di sekeliling.

“Disebabkan mahu mengetahui sebab dan akibat di atas perbuatan yang dilakukan, mereka mengacip menggunakan gigi.

Namun, kadang-kadang kanak-kanak ini bertindak agresif (dengan mengigit) bagi mendapatkan perhatian daripada orang dewasa atau rakan sebayanya,“ jelas beliau.

Dari satu sisi, Dr Rozanizam berkata, anak kecil terpengaruh dengan apa yang dilihat mereka. Mudah kata, mereka akan duplikasi semula aksi individu orang lain.

Ya, sudah resam kanak-kanak yang akan belajar apa yang dilihat mereka. Sesuatu yang perlu dipertimbangkan oleh masyarakat bahawa ‘malaikat kecil‘ itu tidak mengetahui impak dan akibat di sebalik perbuatan yang dilakukan lantaran masih kekurangan kawalan impuls.

“Kelakuan tersebut tidak lagi akan dibuat oleh anak-anak apabila mereka sudah boleh berkomunikasi dan menyatakan perasaan melalui lisan,”ungkapnya.

 

 

Lewat perkembangan

Pun begitu, seandainya perlakuan agresif masih berlanjutan selepas usia melepasi tiga tahun, pakar tersebut menasihatkan agar si cilik dirujuk kepada pakar.

“Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menggigit untuk memenuhi keperluan deria mereka. Ia juga boleh berlaku kepada anak-anak yang mengalami lewat perkembangan atau mempunyai masalah sensori seperti autisme.

“Ya, ia sesuatu yang membimbangkan, namun telatah berkenaan masih boleh diperbetulkan,“ katanya.

Sehubungan itu, Dr Rozanizam menyenaraikan beberapa tip yang boleh dipraktikkan oleh penjaga untuk menangani anak yang mempunyai sifat sedemikian rupa. Antaranya:

Iklan
  1. Mengawasi interaksi si anak ketika bermain supaya dapat mengambil tindakan segera jika mereka bertindak agresif.
  2. Mengajar komunikasi alternatif dengan menggalakkan mereka menggunakan kata-kata atau gerak isyarat yang sesuai untuk meluahkan perasaan.
  3. Memastikan kanak-kanak memahami bahawa menggigit adalah tingkah laku yang tidak boleh diterima.
  4. Menyediakan mainan tumbuh gigi yang selamat atau barangan sejuk untuk melegakan gusi kanak-kanak sedang tumbuh gigi.
  5. Menunjukkan cara yang positif dan sesuai untuk menangani kekecewaan serta konflik.
  6. Memuji tingkah laku positif anak apabila mereka memilih menggunakan perkataan untuk meluahkan perasaan dan dapat bermain secara bekerjasama tanpa menggigit.

Baca juga: Kanak-kanak lebih mudah marah, kurang daya tumpuan jika ‘menghadap’ gajet berjam-jam. Pakar beri amaran

Satu lagi inti pati signifikan adalah dilarang menggunakan kekerasan seperti memukul.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kanak-Kanak di Cleveland Clinic, Dr Kate Eshleman turut berkongsi tip.

Ujar Dr Eshleman, ibu bapa perlu kekal tenang sekiranya anak mereka menggigit kanak-kanak lain.

“Apa yang boleh dilakukan adalah mak ayah boleh menggunakan frasa mudah seperti ‘kita tidak menggigit‘ atau ‘menggigit adalah menyakitkan‘ berbanding memberikan penjelasan terperinci mengapa perbuatan tersebut adalah salah,“ katanya.

Bagi kanak-kanak yang sudah besar, ajar mereka untuk meminta maaf dengan rakan yang digigit.

Selain itu, alihkan perhatian anak dengan aktiviti lain atau snek sekiranya si kecil berasa lapar.

Iklan

Baca juga: Awasi anak-anak ketika cuaca panas, boleh sebabkan pendarahan organ

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS. 

Laman perubatan WebMD pula berpendapat, gigitan kanak-kanak tidak berbahaya dan jarang mendatangkan kecederaan pada kulit.

“Kalau luka sekali pun, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membersihkan kawasan cedera tersebut dengan sabun dan air. Jika luka ‘dalam‘, terus dapatkan rawatan kerana mereka mungkin memerlukan suntikan antibiotik atau tetanus (kancing gigi),“ katanya.

Baca juga: Malang tak berbau! Hati-hati bagi anak pakai kasut getah. Boleh jadi punca kecederaan di eskalator

SUMBER gambar hiasan daripada PEXELS. 

LANGKAH yang boleh diambil ibu bapa sekiranya anak kecil mengalami luka akibat digigit:

  1. Bersihkan luka dengan berhati-hati dengan sabun dan air.
  2. Sapukan antiseptik ringan seperti hidrogen peroksida.
  3. Maklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak (yang digigit dan yang menggigit).
    Semak sama ada kanak-kanak yang digigit telah diberi vaksin tetanus dan telah mendapat dos yang disyorkan.
  4. Pastikan kanak-kanak tersebut sudah lengkap vaksinasi hepatitis B dan segera dapatkan suntikan sekiranya belum divaksin.
  5. Pantau kesan luka yang dialami.
  6. Jika sudah kemerah-merahan atau membengkak, kanak-kanak itu perlu dibawa bertemu doktor.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!