Pembedahan kurang dari 15 minit untuk atasi anak lidah pendek. Si kecil boleh bertutur tanpa cakap pelat

DALAM dunia bayi, masalah sukar untuk menyusukan ‘malaikat kecil‘ itu adalah antara yang kerap berlaku tidak kira di Malaysia atau di luar negara.

Apakah faktor yang mendorong hal tersebut terjadi? Menurut National Health Service (NHS), England dan beberapa rujukan lain, ia adalah disebabkan oleh kondisi lidah pendek (ankyloglossia).

Kadangkala keadaan itu didiagnosis semasa pemeriksaan fizikal bayi yang baru lahir, tetapi ia bukanlah mudah untuk dikesan, kata NHS.

“Ia mungkin tidak jelas sehingga bayi anda menghadapi masalah menyusu,“ jelas sumber itu.

Menurut Children‘s Hospital of Philadelphia, Amerika Syarikat, ankyloglossia telah menjejaskan hampir 5 peratus daripada semua bayi baru lahir. Situasi itu adalah tiga kali ganda lebih banyak berlaku ke atas kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Dalam pada itu, Cleveland Clinic berkata, lidah pendek boleh terjadi kepada kanak-kanak yang lebih besar termasuk golongan dewasa juga.

DR MOHD KHERMAN

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, SinarPlus mendapatkan padangan Pakar Klinikal dan Pensyarah Pusat Pengajian Pembedahan Mulut dan Maksilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA, Kampus Sungai Buloh, Selangor, Dr Mohd Kherman Suparman.

Dr Mohd Kherman berkata, apabila bayi dilahirkan dalam keadaan sebegitu, pergerakan lidah si comel itu akan menjadi terhad.

 

“Semasa dalam kandungan ibu, lidah janin pada peringkat awal bercantum dengan bahagian lantai mulut. Dengan perkembangan janin lidah akan mula bergerak dan berpisah dengan lantai mulut yang mana satu jalur nipis (lingual frenulum) akan terbentuk menghubungkan bahagian bawah lidah dan lantai mulut.

“Apabila bayi tersebut membesar, jalur nipis ini akan mengecut dan menipis. Kemudian ia akan bergerak ke bahagian belakang bawah lidah seiring dengan perkembangan lidah ke bahagian mulut.

“Dalam situasi lidah pendek, jalur tisu ini tidak mengecut dan akan kekal pada kedudukan hadapan bawah lidah menyebabkan ia (lidah) sukar digerakkan,“ katanya sambil memberitahu, punca permasalahan itu masih tidak dapat dipastikan.

Baca juga: Jangan lembapkan bibir kering yang mengelupas guna lidah. Ini sebabnya….

Pun begitu, terdapat sesetengah kes yang dilaporkan mempunyai perkaitan dengan genetik dalam keluarga.

“Ada kajian melaporkan kejadian lidah pendek mempunyai hubung kait dengan warisan berkaitan X kromosom. Oleh itu, jumlah bayi lelaki yang mengalami lidah pendek ini lebih ramai berbanding bayi perempuan. Namun demikian, majoriti menidakkan teori tersebut dan menyatakan keadaan tersebut adalah disebabkan oleh variasi anatomi,“ katanya.

Semestinya, ankyloglossia akan memberi impak kepada bayi. Masalah utama yang dialami si kecil adalah sukar mendapatkan susuan ibu.

Mengapa? Ini kerana bayi mengalami kepayahan untuk menekap ke payudara ibu. Oleh itu, tempoh susuan akan menjadi lebih lama dan tidak efektif.

“Kerumitan untuk menyusu menyebabkan bayi mengalami kekurangan berat badan dan membantutkan pertumbuhan yang tidak selari dengan usia mereka. Natijahnya, golongan itu lebih mudah terkena jangkitan kerana tindak balas sistem imun yang lemah,“ ujarnya.

Baca juga: Lidah terasa panas, terbakar. Disangkakan makan garam rupa-rupanya…

Pembedahan frenectomy

Dalam pada itu, merujuk Johns Hopkin Medicine dan Kids Health, terdapat beberapa implikasi lain yang boleh terjadi.

Antaranya:

  1. Bayi mengalami kesukaran mengangkat lidah.
    Susah untuk menjelirkan dan menggerakkan lidah dari sisi ke sisi.
  2. Menjilat bibir atau menyapu sisa makanan daripada gigi.
  3. Mendapat luka di bawah lidah apabila frenulum terperangkap di antara gigi hadapan bawah.
  4. Mengalami kerosakan gigi kerana tidak dapat membersihkan makanan daripada gigi dengan lidah mereka.
  5. Susah untuk bercakap dengan jelas atau menyebut bunyi tertentu (d, l, t, th).
  6. Susah menggerakkan lidah ketika makan seperti menjilat aiskrim.
  7. Berdepan kesulitan bermain alat muzik tiupan.

Baca juga: Sebahagian lidah terpaksa dipotong kerana kanser. Wanita ini dapat lidah baharu dari kulit kaki dan ototnya

Mengenai rawatan, Dr Mohd Kherman berkata, ia melibatkan pelbagai disiplin dalam perubatan dan pergigian seperti pediatrik, pergigian kanak-kanak, bedah mulut dan maksilofasial, telinga, hidung dan tekak serta ahli terapi pertuturan.

Iklan

Selain itu, rundingan dengan pakar laktasi juga diperlukan bagi membantu penyusuan susu ibu.

Ujar pakar berkenaan, biasanya penggunaan susu formula atau susu yang dipam secara manual adalah alternatif untuk si kecil mendapatkan cecair nutrisi itu.

Kepada satu soalan, Dr Mohd Kherman berkata, pembedahan minor ke atas lidah pendek boleh dilakukan.

Terdapat dua jenis pembedahan yang kebiasaannya boleh dilakukan iaitu:

  1. Frenotomy: Prosedur lingual frenulum dipotong dan dipindahkan pada kedudukan normal.
  2. Frenectomy: Prosedur untuk melepaskan ikatan lidah dengan memotong kesuluruhan lingual frenulum.

“Kedua-duanya boleh dilakukan secara sedar, bius separa sedar ataupun bius penuh. Pun begitu, kebiasaannya doktor akan mencadangkan pembedahan frenectomy dijalankan dalam keadaan bius separa sedar atau bius penuh memandangkan prosedur tersebut memerlukan ketelitian yang lebih serta manipulasi tisu yang lebih kompleks berbanding frenotomy.

“Selain itu, faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan kerjasama lebih-lebih lagi kanak-kanak yang masih kecil perlu diambil kira,“ katanya sambil memberitahu, kedua-dua prosedur itu mengambil masa yang singkat antara 10 hingga15 minit sahaja.

Sebaik-baiknya kata beliau, rawatan berkenaan boleh dilakukan seawal 10 hari selepas kelahiran bagi membantu proses penyusuan susu ibu dan pertumbuhan bayi berjalan lancar.

“Prosedur yang dijalankan sebelum pesakit boleh bertutur juga boleh membantu kanak-kanak berinteraksi dengan lebih baik tanpa pelat,“ katanya.

Iklan

Baca juga: Rendam kaki, sapu lidah buaya boleh bantu sejukkan badan! Cuba 4 teknik ini rasa segar musim panas

Baca juga: Bawah lidah Raja Urhan digunting sedikit sebab tongue-tie – Uyaina

Pun demikian, ujar Dr Mohd Kherman, lidah pendek boleh terjadi semula sekiranya lingual frenulum yang telah dipotong melekat semula pada bahagian bawah lidah.

Namun, situasi berkenaan jarang sekali terjadi dan ia hanya dilaporkan dalam 3 hingga 4 peratus sahaja.

Kejadian itu boleh berlaku sekiranya bayi tidak menggerakkan lidah dan penggunaan susu botol yang kerap selepas pembedahan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!