PENYANYI Wany Hasrita mengakui banyak meluangkan masa untuk dirinya sendiri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah masuk hari kelapan.

Menganggap tempoh tersebut sebagai ruang terbaik untuknya bermuhasabah diri, Wany yang mula dikenali menerusi lagu Menahan Rindu itu cuba memperbaiki kekurangan diri dengan menambah ilmu termasuk belajar memasak.

“Sepanjang tempoh ini saya banyak habiskan masa dengan diri sendiri. Tengok balik diri sendiri, muhasabah diri dan cuba memperbaiki kekurangan yang ada.

“Selama enam hari berada di rumah, saya cuba menambah ilmu dengan belajar pelbagai perkara termasuk memasak.

“Alhamdulillah setakat ini macam-macam menu masakan yang saya belajar, di mana sebelum ini jarang dapat dilakukan kerana banyak aktiviti di luar berkaitan kerjaya seni,” katanya kepada Sinar Plus.

Akui Wany, sepanjang temph PKP yang berkuat kuasa bermula 18 sehingga 31 Mac itu, dia langsung tidak keluar rumah dan mengikuti sepenuhnya arahan tersebut.

Iklan

“Barang keperluan dapur saya dah beli siap-siap dua hari sebelum arahan PKP dikeluarkan.

Iklan

“Melihatkan perkembangan semasa penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika itu, saya mengambil langkah untuk membuat persediaan awal dengan membeli barangan keperluan di rumah.

“Kalau kerajaan tak umumkan PKP pun, saya memang akan buat persediaan kerana tidak mahu selalu keluar rumah dalam keadaan Covid-19 yang semakin serius. Benda ini kita tidak boleh ambil ringan, apatah lagi ia dah jadi pandemik,” kata Wany.