PELAKON popular Bollywood, Deepika Padukone menempelak kumpulan paparazi di India yang mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan menyebarkan foto dan video mayat Sushant Singh Rajput ketika kematiannya baru-baru ini.

Apa yang membuatkan Deepika berang, gambar dan video tersebut diambil tanpa kebenaran ketika mayat Sushant di bawa keluar dari kediamannya ke hospital.

Menurutnya, mereka sepatutnya menghormati keluarga si mati dengan tidak menyebarkan video tersebut kepada umum.

Bintang filem Padmavaat itu menyuarakan rasa tidak puas hati apabila melihat hantaran dimuat naik salah seorang paparazi terbabit di laman sosial yang menegah orang ramai menggunakan foto dan video tersebut tanpa kebenarannya.

Deepika menerusi ruangan komen telah mengherdik pemilik akaun terbabit dengan mengatakan apa yang dilakukan oleh paparazi itu adalah salah.

Iklan

“Benar. Tapi adakah OK untuk kamu mengambil video itu yang bukan hanya menyiarkan, tetapi mungkin juga menjana keuntungan tanpa kebenaran keluarganya (Sushant ),” tulis Deepika.

Kenyataan tesrebut bagaimanapun tidak dibalas pemilik akaun tersebut, sebaliknya hantaran dihujani komen warganet yang rata-ratanya menyokong apa yang diperkatakan Deepika.

Iklan

Terdahulu sebelum itu, aktor Sushant Singh Rajput, 34, ditemui meninggal dunia di kediamannya di Bandra, Mumbai, India, pada 14 Jun lalu, dipercayai kerana membunuh diri.