Tolong vaksinkan anak anda! Berdasarkan data UNICEF, vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak turun mendadak
SELAIN berita mengenai Covid-19 yang banyak diperkatakan di media sosial, wabak cacar monyet juga menjadi bualan hangat.
Lantaran itu, tahap kebersihan menjadi keutamaan ramai. Golongan kanak-kanak juga juga sudah terbiasa mengadaptasi amalan memakai topeng muka, mencuci tangan dan memastikan persekitaran mereka sentiasa bersih.
Kita hanya boleh lakukan yang terbaik di rumah, namun tiada jaminan bahawa anak-anak tidak akan terdedah kepada penyakit berjangkit yang merupakan punca utama kematian kanak-kanak-kanak.
Berdasarkan rekod, masalah cacar telah dihapuskan, sementara penyakit-penyakit lain berkurangan secara drastik melalui vaksinasi lebih dari 50 tahun lalu.
Malangnya, pada tahun 2020, terdapat penurunan mendadak dalam vaksinasi kanak-kanak di seluruh dunia gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
Hakikatnya, vaksinasi dapat membantu si cilik untuk kekal sihat dan cergas.
Perunding Pediatrik & Ketua Jabatan Pediatrik, Ara Damansara Medical Centre, Dr Rakhee Yadav memberi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berwaspada dengan kesihatan anak-anak.
"Seperti yang diuar-uarkan, kaedah yang mampu mengurangkan risiko kanak-kanak terdedah kepada penyakit berjangkit adalah melalui vaksinasi.
"Dengan pandemik dan kemunculan beberapa penyakit baharu, ibu bapa tidak boleh bersikap acuh tidak acuh tentang kesihatan anak-anak. Ramai dilihat tidak memvaksinkan anak-anak masing-masing dan ia adalah sesuatu yang merisaukan. Kita tidak boleh biarkan ia berterusan,” katanya.
Merujuk artikel yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesahkan, terdapat penurunan besar kadar vaksinasi kanak-kanak dalam satu generasi dan situasi tersebut boleh mengundang maut dalam diri si kecil. Situasi itu adalah satu amaran merah untuk kesihatan mereka!
Walaupun PKP dilaksanakan disebabkan Covid-19, ia bukan satu alasan untuk tidak membawa anak-anak mengambil suntikan vaksinasi.
“Kita perlukan imunisasi tambahan untuk jutaan kanak-kanak yang tercicir daripada mendapatkan vaksin atau kita bakal menyaksikan lebih banyak wabak yang akan melanda. Lebih ramai kanak-kanak dijangka sakit dan akan memberi tekanan yang lebih besar terhadap sistem kesihatan yang sudah sememangnya tegang," kata Dr Rakhee yang memetik kenyataan UNICEF.
Dapatkan vaksin tambahan
Malaysia telah lama membekalkan perkhidmatan imunisasi percuma untuk kanak-kanak bagi mencegah penyakit yang majoritinya menyerang golongan itu.
Program Imunisasi Kebangsaan misalnya, telah diperkenalkan pada awal tahun 1950-an diikuti oleh Program Perkembangan untuk Imunisasi pada tahun 1989.
Negara kini menyediakan imunisasi terhadap 13 penyakit majoriti yang memberi kesan kepada si cilik. Selain menguatkan sistem imun dengan merangsang sel pertahanan tubuh badan, program berkenaan akan melindungi mereka daripada komplikasi yang boleh mengancam nyawa.
Dalam pada itu, Dr Rakhee berkongsi vaksin tambahan yang disyorkan untuk lima jenis penyakit yang sering menyerang kanak-kanak yang mana ia tidak termasuk dalam senarai Program Imunisasi Kebangsaan. Berikut butirannya:
i) Rotavirus
-Satu penyakit berjangkit yang boleh menjangkiti kanak-kanak berusia lima tahun atau ke bawah. Virus akan menyerang lapisan usus dan menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk. Antara 22 hingga 50 peratus kes cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak Malaysia adalah disebabkan oleh Rotavirus.
ii) Varicella (cacar air)
-Jangkitan ini menyebabkan ruam, kulit melepuh dan rasa gatal yang tidak selesa. -Ia sangat menular dan mudah tersebar melalui sentuhan dan cecair pernafasan.
-Vaksin terhadap virus Varicella zoster mampu menghalang cacar air dan komplikasi serius yang lain.
iii) Influenza (selesema)
-Ia berbeza dengan selesema biasa kerana ia boleh menyebabkan jangkitan yang teruk pada saluran pernafasan termasuk tekak, hidung dan paru-paru. -Selain itu, simptom-simptomnya termasuk demam, sakit tekak, sakit otot dan keletihan.
-Kegagalan mendapatkan rawatan untuk kesan virus influenza boleh mendedahkan kanak-kanak pada risiko kesihatan lebih besar seperti radang paru-paru, penyakit paru-paru dan masalah jantung.
BACA JUGA: Influenza mampu dicegah dengan suntikan vaksin. Ini sebab kenapa kita perlu dapatkan vaksinasi
BACA JUGA: Vaksin percuma PICKids tamat, ini ibu bapa wajib tahu
iv) Hepatitis A
-Hepatitis A merupakan jangkitan hati jangka pendek yang amat menular disebabkan oleh virus hepatitis A.
-Ia boleh merebak melalui hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti penyakit ini atau makanan tercemar yang mengandungi virus.
-Walaupun ia jarang menyebabkan maut dalam kalangan anak kecil, penyakit ini boleh membawa komplikasi seperti sakit perut, kegagalan fungsi hati dan jaundis.
v) Meningokokus
-Meningitis meningokokus merupakan sejenis jangkitan kuman yang menyebabkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.
-Penyakit ini kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak dan remaja. Namun, 5 hingga 10 peratus yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala.
-Antara komplikasi yang boleh terjadi adalah masalah sistem saraf seperti lumpuh, pekak dan boleh menyebabkan kematian.
Jelas Dr Rakhee, kesemua lima penyakit yang disenaraikan itu tidak mempunyai rawatan khusus.
"Oleh itu, salah satu cara untuk mencegahnya adalah melalui vaksinasi. Penyakit-penyakit ini juga mudah tersebar di pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah. Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan lima vaksinasi tambahan itu untuk bayi dan kanak-kanak.
"Ingat, ia adalah sesuatu yang normal untuk anak-anak demam, rasa sakit pada bahagian dicucuk dan lesu selepas vaksinasi. Ini hanya ketidakselesaan sementara, namun faedahnya lebih baik untuk jangka masa lama," terangnya.
Bagi pakar itu, walaupun KKM dan Program Imunisasi Kebangsaan membekalkan perlindungan menyeluruh untuk komuniti dalam menghalang penyakit berjangkit, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membekalkan perlindungan maksimum untuk anak-anak mereka dengan vaksin tambahan yang disarankan.
"Sama-samalah kita menjaga kesihatan anak-anak dan orang di sekeliling kita. Mencegah sentiasa lebih baik daripada mengubati," katanya.
Artikel ini disokong oleh MSD Malaysia Sdn Bhd. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang