Tragedi keropok beracun ragut 2 nyawa kanak-kanak, pekebun dakwa difitnah & datuk mangsa reka cerita? 'Keropok itu diletak pada pagar 4 kaki setengah...'
TRAGEDI keropok beracun yang merahut dua nyawa kanak-kanak di Kulim, Kedah, baru-baru ini menyentuh hati ramai.
Lebih sebulan menjadi perhatian rakyat Malaysia, pemilik kebun yang dikatakan sebagai punca kerana kelalaian menyebabkan kematian dua kanak-kanak itu akhirnya bersuara.
Pekebun berkenaan dikenali sebagai Uzair Shafawi mendakwa dirinya telah difitnah dan menegaskan penjaga sebenar kanak-kanak berkenaan masih belum diambil sebarang tindakan mahupun ditahan.
"Akulah si pekebun yang di tahan atas kelalaian emak dan juga penjaga kepada dua orang mangsa al-Fatihah. Aku berada 'di dalam' sana selama lapan hari.
"Cerita sebenarnya begini, keropok tersebut diletakkan di atas pagar yang tingginya empat kaki setengah.Tidak logik untuk kanak-kanak berumur dua atau tiga tahun mengambilnya dan keropok berkenaan tidak berada pada pagar di tepi jalan tetapi pagar yang bersebelahan dengan hutan kerana ia laluan kera yang masuk ke dalam kebun dan memakan pisang yang saya tanam.
"Penduduk kampung yang lain pun ada juga yang membuat umpan keropok yang sama dan gantung pada pokok. Kalau budak itu ambil dari pokok maka ia bukanlah yang saya punya. Mungkin tuan kebun yang lain letak. Di sini banyak kebun orang," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga mendakwa tiada wartawan menemuramahnya untuk mendapatkan cerita sebenar sebaliknya hanya mendengar cerita sebelah pihak sahaja.
Malah beliau tidak pernah melarikan diri sebaliknya memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kalau ada wartawan atau badan bukan kerajaan (NGO) mahupun wakil rakyat datang ke rumah, saya boleh ceritakan perkara sebenar.
"Namun yang datang hanya pihak polis sahaja namun mereka memang terbaik. Aku difitnah dan kalau ikut kehendak, mahu sahaja saya menyaman datuk mereka,"katanya.
Uzair turut mendakwa kedua-dua kanak-kanak berkenaan sering diabaikan. Malah katanya, mereka dilihat berkeliaran di hutan dan semak.
Beliau juga mendedahkan pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan kera yang merosakkan tanamannya sejak 2021 namun hal berkenaan tidak mendapat perhatian daripada jabatan terbabit.
Lelaki itu yang merasakan dirinya difitnah dan meminta agar kes berkenaan mendapat keadilan dengan menahan mereka yang terlibat. Malah beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga kanak-kanak berkenaan susulan cerita yang didakwa palsu.
Terdahulu, media melaporkan lelaki bernama Am yang merupakan jiran keluarga kanak-kanak yang termakan keropok mengandungi racun tikus ditahan selepas kematian mangsa pertama, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia.
Keesokannya, Muhammad Luth Syauqi Nur Sufian, 2, pula menyusuli abangnya.
Pemuda itu juga memaklumkan, telah membantu mangsa mendapatkan rawatan sebaik sahaja mengetahui kejadian berkenaan. Dalam keadaan cemas, Am memandu kereta membawa kedua-dua mangsa dan ibu mereka bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang