Gordon Ramsay dedah hidap kanser kulit, ini petanda awal yang ramai terlepas pandang

No Image Caption
A
A
A

CEF selebriti terkenal dunia, Gordon Ramsay mengejutkan peminat apabila tampil berkongsi keadaan dirinya selepas menjalani pembedahan membuang basal cell carcinoma (BCC).

Sekadar makluman, BCC merupakan sejenis kanser kulit yang sering berlaku akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.

Menerusi perkongsian di Instagram, pengacara rancangan popular Hell’s Kitchen itu memuat naik gambarnya dengan parut jahitan jelas kelihatan dari bahagian telinga hingga ke rahang.

Walaupun kelihatan mengerikan bagi sesetengah orang, Ramsay tetap mengekalkan sikap humor yang menjadi trademark dirinya. 

Sambil berseloroh, beliau menulis: “Tolong jangan lupa pakai sunscreen hujung minggu ini… dan bukan, ini bukan pembedahan tarik muka. Kalau betul pun, saya dah minta pulangan duit!”

Rasa syukur dan penghargaan

Di sebalik gurauan, Ramsay meluahkan rasa syukur kerana sel kanser itu berjaya dikesan awal serta dibuang dengan segera. Beliau berterima kasih kepada pasukan perubatan The Skin Associates yang bertindak pantas melakukan pembedahan.

“Saya berasa sangat bersyukur dan amat menghargai pasukan hebat di The Skin Associates serta tindakan pantas mereka,” tulisnya penuh kelegaan.

Bagi peminat setianya, perkongsian ini sedikit sebanyak membuka sisi berbeza seorang Gordon Ramsay yang biasanya digambarkan sebagai garang dan lantang. Kali ini, figura televisyen itu menunjukkan betapa rapuhnya kesihatan manusia, tanpa mengira siapa pun kita.

Apa itu Basal Cell Carcinoma?

Menurut pakar kesihatan, basal cell carcinoma (BCC) merupakan bentuk kanser kulit yang paling biasa berlaku. Ia tumbuh perlahan dan jarang merebak ke organ lain, tetapi jika dibiarkan, ia boleh merosakkan tisu di kawasan terbabit termasuk wajah, hidung atau telinga.

Walaupun tidak seagresif melanoma, BCC tetap memerlukan rawatan segera. Pembedahan biasanya menjadi pilihan utama untuk membuang sel kanser sepenuhnya.

Tanda-tanda awal kanser kulit:

Pakar menyarankan orang ramai agar lebih peka terhadap perubahan pada kulit kerana tanda awal kanser sering kali kelihatan tetapi diabaikan. Antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah:

  • Ketulan atau tompokan kecil berwarna cerah atau merah muda yang tidak hilang.
  • Luka yang tidak sembuh-sembuh walaupun sudah berminggu-minggu.
  • Kulit bersisik, gatal atau berdarah tanpa sebab jelas.
  • Tahi lalat yang berubah bentuk, warna atau saiz.
  • Parut kecil atau garis halus yang semakin melebar dari masa ke masa.

Sekiranya tanda-tanda ini wujud, pemeriksaan doktor amat digalakkan. Rawatan awal bukan sahaja meningkatkan peluang sembuh, malah boleh mengurangkan risiko parut besar atau kerosakan kekal pada kulit.

Cara mencegah kanser kulit

Dalam dunia moden hari ini, ramai yang gemar beraktiviti luar sama ada bersukan, bercuti atau sekadar berjalan-jalan. Namun, pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari tanpa perlindungan boleh meningkatkan risiko kanser kulit. Antara langkah pencegahan mudah yang boleh diamalkan ialah:

  • Gunakan pelindung matahari (sunscreen) setiap hari dengan SPF 30 ke atas, walaupun cuaca mendung.
  • Pakai topi, kaca mata hitam atau pakaian berlengan panjang jika berada lama di luar.
  • Elakkan pendedahan ketika matahari terik antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.
  • Periksa kulit secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan luar biasa.
  • Rujuk pakar dermatologi sekiranya ada luka, tompokan atau tahi lalat mencurigakan.

Ingatan mesra dari Ramsay

Walaupun parut pada rahang jelas kelihatan, Ramsay tidak menjadikannya sebagai alasan untuk berdiam diri. Sebaliknya, beliau menjadikan pengalaman itu sebagai peringatan buat jutaan pengikutnya di seluruh dunia.

Bagi cef berusia 58 tahun itu, sunscreen bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Kesedaran yang cuba dibawanya wajar dijadikan iktibar kerana kanser kulit bukanlah isu kecil, malah semakin meningkat di seluruh dunia.

Pesan Ramsay ringkas tetapi berkesan: jangan lupa pakai sunscreen setiap kali keluar rumah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang