Magik Rompak jadi ujian getir Sharnaaz Ahmad, kenang pemergian bapa dan jasa Adrian Teh

No Image Caption
A
A
A

FILEM aksi baharu, Magik Rompak, mungkin menjadi antara naskhah yang ditunggu-tunggu peminat pawagam, namun buat pelakon popular Sharnaaz Ahmad, karya arahan Adrian Teh itu meninggalkan memori yang cukup menyayat hati.

Di sebalik babak penuh adrenalin yang dilakonkan, terselit ujian getir apabila bapa tersayang pergi menghadap Ilahi ketika penggambaran sedang berlangsung.

“Sebenarnya saya agak berat untuk bercerita mengenai filem ini kerana ia menggamit memori yang tidak best. Bapa saya sakit dan meninggal dunia ketika penggambaran.

“Masa sesi latihan, saya sudah tahu keadaan bapa kurang sihat. Ketika itu nawaitu saya mahu bekerja, tetapi fikiran memang tidak di situ,” katanya membuka cerita.

Sharnaaz menjayakan watak sebagai ahli silap mata bernama Hadini dalam Magik Rompak.
Sharnaaz menjayakan watak sebagai ahli silap mata bernama Hadini dalam Magik Rompak.

Tambah duda berusia 40 tahun itu, ada dua babak dalam filem tersebut yang cukup memberi kesan sehingga kini.

“Pertama, sewaktu babak di atas kontena, saya dapat tahu bapa nazak.

“Kemudian ada satu lagi babak flashback, itu sebenarnya dirakam dua hari selepas bapa meninggal dunia. Reaksi saya ketika itu memang natural sebab saya dalam mode autopilot.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, filem ini bagi saya memang ada memori yang tak best walaupun hasilnya tetap best,” ujarnya lagi.

Terhutang budi pada Adrian Teh

Lebih menyentuh hati, pengarah Adrian Teh sanggup berkorban besar dengan memberi pelepasan kepada Sharnaaz pulang ke kampung halaman meskipun terpaksa menanggung kerugian besar.

“Adrian rugi kira-kira RM100,000 pada hari itu sahaja sebab saya kena balik. Dia sudah sewa set, kontena, kren, lampu, semua tenaga kerja sudah ada.

“Saya memang rasa terhutang budi pada dia sebagai seorang kawan. Saya masih ingat ayatnya, kalau tak bagi, dia akan menyesal sampai bila-bila. 

"Dan betul apa yang dia cakap, sebab saya sempat juga luangkan masa sekejap dengan bapa walaupun masa sampai, arwah sudah tidak sedar,” jelas Sharnaaz.

Dari kiri : Nadhir, Sharnaaz dan Adrian.
Dari kiri : Nadhir, Sharnaaz dan Adrian.

Terdahulu bapa Sharnaaz, Allahyarham Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad, meninggal dunia pada awal pagi Rabu, 27 November 2024.

Menyedari dugaan sebagai anak seni bukanlah perkara mudah, Sharnaaz mengakui sudah lali dengan pelbagai cabaran sepanjang hampir dua dekad bergelar pelakon.

“Itu memang bayaran yang kita kena bayar. Orang luar tak tahu apa yang kami lalui.

“Orang akan cakap begitu begini, kononnya cerita tiru itu ini, tapi apa yang kami tempuhi orang tak tahu dan tak perlu tahu pun.

“Susah senang kami tidak semua mahu dikongsi. Apa yang orang nampak hanyalah senang kami. Walhal, ketika sedih pun, tetap kena kerja. Itulah dugaan anak seni,” katanya.

Menurut pelakon Juvana itu lagi, dia lebih memilih untuk berdiam diri daripada membalas kritikan.

“Sudah hampir puluhan tahun, saya telan sahaja. Kalau orang kutuk, saya setuju sahaja. Daripada bergaduh, nanti jadi panjang pula,” ujarnya penuh tenang.

Filem Magik Rompak menyaksikan Sharnaaz bergandingan dengan barisan pelakon hebat lain termasuk Zul Ariffin, Amelia Henderson, dan Nadhir Nasar.

Filem arahan Adrian Teh tersebut bukan sekadar menampilkan aksi mendebarkan tetapi juga gabungan elemen magis yang jarang diterokai dalam filem tempatan.

Naskhah itu mula ditayangkan di seluruh pawagam sejak 11 September lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang