'Mamaku bertemu jodoh lagi.' Penyanyi Asfan terima bapa baharu, syukur ibu kembali memiliki teman hidup
TAHNIAH buat penyanyi dan komposer Asfan yang menerima kehadiran bapa tiri dalam keluarga.
Berkongsi perkembangan itu di laman sosial, ibunya Azizan Ali, 64, dan suami, Daud Jais, 75 duduk di pelamin bersalaman dengan pelantun lagu Terhenti Di Sini itu ketika majlis berlangsung pada 17 November lalu di Masjid Seksyen 7, Shah Alam.
Pemilik nama Norasfan Shah Shah Rudin, 40, itu turut mendoakan kesejahteraan bonda tercinta.
"Mamaku bertemu jodoh lagi. Alhamdulillah.
"Selamat diijabkabulkan mama dan babah. Semoga dimudahkan urusan dunia akhirat. Aminn Ya Rabb.
“Ya ALLAH, jadikanlah perkahwinan mereka sebagai perkahwinan yang diberkati, kebahagiaan yang kekal, dan hubungan yang kuat di antara mereka,” kongsinya.
Memetik Harian Metro, penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu runut bunyi itu masih merindui arwah bapa, Allahyarham Shah Rudin Mohd Noor yang meninggal dunia pada 30 Disember 2022.
Pun demikian beliau bersyukur, sekurang-kurangnya ibu mempunyai peneman hidup dan figura bapa dalam keluarga.
"Mula-mula, tak semudah yang disangka sebab saya pun agak terkejut. Bapa saya meninggal tiga tahun lalu dan usia mak saya pun dah 64 tahun. Kemudian berjodoh pula dengan lelaki berusia 75 tahun.
"Saya pun fikir, adakah ini betul-betul. Biasalah, waktu itu saya teringatkan arwah bapa. Ada rasa tumpang gembira, pada masa sama, rasa cemburu. Waktu awal-awal itu, saya tak ada perasaan apa-apa walaupun kawan-kawan rapat tanya," katanya.
Malah kata Asfan, kerap berulang-alik menguruskan perkahwinan ibunya membuatkan ramai menyangka beliau berdepan masalah rumah tangga.
"Ketika dalam proses menguruskan perkahwinan itu dan saya berulang-alik ke pejabat agama, orang ingat saya bercerai dan ramai yang DM. Ada rakan-rakan media yang bertanya juga.
"Tapi, saya tak balas sebab rasa kosong, terfikir betul ke tidak, bahagia ke tidak. Sampai dah kenal rapat dengan bapa tiri ini, Alhamdulillah, saya tengok kedua-dua mereka dah bahagia. Saya letak kefahaman bahawa jodoh, ajal, maut ini semua Allah dah aturkan.
"Jadi, saya terima seadanya dan ambil keputusan bermesyuarat dengan adik-beradik yang turut berkongsi perasaan sama dengan saya. Saya jelaskan kepada mereka dan mereka terima. Kemudian saya dan isteri tolong uruskan," katanya.
Asfan yang pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 2017 berkahwin dengan Ain Sakinah Razali.
Rumah tangga mereka bahagia dengan empat cahaya mata.
Sumber: Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang